Bentuk Kerajaan Baru? 139 Ahli Parlimen Sokong Dr M, Najib Nafi Tandatangan Akuan Berkanun
Moga yang terbaik buat Malaysia.
Semalam pada tanggal 23 Februari 2020 memperlihatkan senario politik yang agak mendebarkan selepas Perdana Menteri dan sebilangan ahli parlimen membuat pertemuan bersama Yang Di-pertuan Agong di Istana Negara
Pertemuan itu secara tidak langsung menguatkan lagi desas-desus yang mengatakan bahawa satu ikatan baru bakal ditubuhkan membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), UMNO, PAS, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta sebahagian Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selain itu, khabar angin juga turut beterbangan dengan menyatakan bahawa rombakan kabinet bakal berlaku yang mana ia didakwa bakal menamatkan penglibatan DAP dalam Kerajaan Persekutuan selepas ini.
Senario politik semakin memuncak apabila terbaru Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan telah mendapat persetujuan daripada seramai 139 ahli parlimen ketika ini yang seterusnya membolehkannya untuk membentuk kerajaan baru menerusi pakatan baru tersebut.
Sumber yang memetik laporan Harian Metro berkata jumlah itu dicapai melalui persetujuan kolektif parti membabitkan PPBM, UMNO, PAS, Warisan, GPS dan juga serpihan PKR.
Menurut sumber itu, kehadiran beramai-ramai ke Hotel Sheraton Petaling Jaya malam tadi telah menunjukkan bahawa kesepakatan sudah dicapai dan ia bukan hanya cakap kosong mana-mana pihak.
“Ia juga akan membabitkan perubahan di beberapa negeri iaitu Kedah dan Perak. Apapun ini adalah sejarah negara dan simbol penyatuan di negara ini. Ini adalah penyatuan keluarga besar umat Islam dan kita harap ia akan menjadi manfaat kepada rakyat,” kata sumber.
Apa yang lebih menarik, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak juga dikatakan turut menyokong pembentukan gabungan baru itu
Laporan Sinar Harian yang memetik The Malaya Post berkata, Najib mengesahkan sudah menandatangani akuan berkanun (SD) bagi membolehkan Dr Mahathir membentuk gabungan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional namun ianya bersyarat.
“Ya, saya sudah tandatangan, namun bersyarat,” katanya kepada The Malaya Post.
Namun terbaru, menerusi satu posting di laman Facebook miliknya beberapa jam lalu, Najib seakan-akan menafikan dakwaan laporan yang dibuat portal tersebut.
“Saya tak pernah cakap dengan ‘The Malaya Post’ pun. Kenapa tiba-tiba petik nama saya?” tulisnya ringkas.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dikhabarkan akan menghadap Yang Di-pertuan Agong di Istana Negara tengah hari ini
Memetik laporan Malaysiakini, Anwar dan isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada jam 2 petang.