"Berhenti Banding-Banding!" - Kes Anak Didera Di Rumah Pengasuh Buat Ramai Wanita Terguris
"Sebab itu saya sanggup berhenti kerja pentingkan nyawa anak" - Netizen.
Baru-baru ini rakyat Malaysia telah digemparkan dengan kes seorang bayi berusia lima bulan telah meninggal dunia di bawah jagaan pengasuhnya. Bayi itu telah dijumpai di dalam sebuah beg berwarna hijau di kediaman pengasuh tersebut oleh pihak polis.
Selepas kes tersebut, ramai wanita yang mengeluarkan kenyataan yang membuatkan ramai wanita terguris hati dengan kata-kata yang dilontarkan di media sosial. Contohnya seperti, "sebab itu saya sanggup berhenti kerja pentingkan nyawa anak" dan sebagainya.
Kata-kata itu membuatkan ramai wanita berasa seolah-olah mereka yang masih bekerja tidak mementingkan nyawa anak-anak yang dihantar di rumah pengasuh.
Seorang wanita telah memuat naik satu status di laman Instagram yang menjelaskan situasi sebenar yang difahami masyarakat mengenai isu seperti ini melalui instagram-story.
Baca status penuh di bawah:
Berhenti membuat perbandingan, tak semua orang senasib. Mengikut kadar ekonomi negara sekarang, semua orang perlu bekerja termasuklah ibu-ibu yang ada anak kecil.
Tidak semua orang yang berniaga dan tidak semua orang juga mampu untuk menjaga anak sendiri di rumah
Lebih baik anda keluarkan idea sendiri untuk syarikat masing-masing tubuhkan pusat jagaan kanak-kanak tersendiri. Lebih berguna untuk semua.
Sudah-sudahlah berasa bangga kerana mampu berhenti kerja untuk jaga anak sendiri. Lebih baik fikir cara untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku kepada anak anda.
Kalau diikutkan, tiada wanita yang tak nak jaga anak sendiri. Namun, rezeki masing-masing. Berhentilah sikap suka banding-banding ini.