Bayi 5 Bulan Ditemui Mati Dalam Peti Ais Pengasuh & 4 Lagi Kes Jenayah Melibatkan Pengasuh
Kesian bayi-bayi yang tidak bersalah ini.
Bayi lelaki berusia lima bulan yang sebelum ini dilaporkan diculik seorang lelaki menyamar sebagai bapanya, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, semalam, 3 Julai
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat bayi yang bernama Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui disorokkan dalam bahagian beku peti sejuk di rumah pengasuh tersebut kira-kira pukul 11 malam.
Memetik kenyataannya dalam laman portal Berita Harian, mayat mangsa tersebut lengkap dengan pakaian dibalut dengan kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.
Mangsa yang ditemui anggota polis yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
"Mayat bayi ditemui selepas siasatan polis mendapati keterangan pengasuh terbabit meragukan.
"Polis kemudian membawa pengasuh berkenaan ke rumahnya sebelum ditunjukkan lokasi mayat bayi itu disimpan," kata Ketua Polis Daerah Gombak terbabit.
Beliau berkata, pihaknya sudah menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun dan kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada petang Isnin yang lalu, orang ramai dikejutkan dengan tersebarnya berita kehilangan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dipercayai dilarikan individu tidak dikenali dari rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves.
Kehilangan bayi bernama Adam Rayqal itu disedari ibunya selepas dihubungi pengasuh memaklumkan anaknya sudah diambil seseorang yang mengaku sebagai bapa bayi tersebut.
Di bawah adalah video Unit Forensik PDRM Selangor membawa keluar bungkusan dipercayai mengandungi mayat Adam Rayqal.
Sejak akhir-akhir ini, banyak kes melibatkan kecuaian, penderaan malah pembunuhan berlaku melibatkan bayi dan pengasuhnya
Berikut merupakan beberapa kes penganiayaan bayi melibatkan pengasuh yang berlaku sejak awal tahun ini:
1. Pengasuh didakwa bunuh bayi 24 bulan di Seremban
Berita Harian melaporkan seorang pengasuh berusia 39 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di atas pertuduhan membunuh bayi berusia dua tahun di rumahnya di Taman Tuanku Jaafar pada 13 Jun lalu, walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Majistret menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan laporan bedah siasat.
Dalam kejadian 13 Jun lalu, bayi tersebut telah mengalami kesukaran bernafas dan kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar oleh pengasuh terbabit dan suaminya sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Seorang bayi berusia tiga bulan mengalami keretakan pada peha kiri selepas diambil dari rumah pengasuhnya di sebuah apartmen di Jalan Parang, Seksyen 19, pada 12 Jun lalu.
Bapa bayi tersebut, Muhamad Muhsin Zaidi, 29, berkata dia menyedari paha kiri anaknya patah ketika menjemput anaknya selepas dihubungi pengasuh.
"Saya perasan kaki anak saya patah ketika mengambilnya dan bertanya kepada pengasuh bagaimana ia berlaku.
"Bagaimanapun pengasuh menafikan kemungkinan anak saya ada terjatuh malah memberitahu saya bahawa tiada apa-apa berlaku sepanjang anak saya berada dalam jagaannya," katanya.
3. Bayi perempuan 6 bulan meninggal dunia disyaki didera di Lumut, Perak
Menurut laporan Berita Harian, seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Seri Manjung pada 24 Mac yang lalu dipercayai akibat didera.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, bayi yang berada dalam keadaan lemah tersebut telah dihantar ke Hospital Seri Manjung oleh pihak penjaga pada pukul 2 pagi, 24 Mac.
“Rawatan awal telah diberikan namun bayi itu meninggal dunia pada pukul 6.45 pagi tadi. Pihak doktor mengesyaki kemungkinan berlakunya penderaan terhadap bayi tersebut,” katanya.
Susulan kes itu, polis telah menahan empat suspek iaitu ibu dan bapa tiri mangsa serta pengasuh dan suaminya yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.
4. Bayi 13 bulan meninggal dunia di rumah pengasuh di Kuantan, Pahang
Seorang bayi lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15 pada 11 Januari yang lalu.
Bayi yang diberi nama Ahnaf Hanafi Mohd. Haniff itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Indera Mahkota 5, seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, bapa mangsa, Mohd. Haniff, 28, menghantar anak tunggalnya itu ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat pada pukul 8.10 hari yang sama sebelum menerima panggilan menyatakan anaknya sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.
"Ketika tiba di klinik berkenaan, bapa mangsa melihat anaknya dalam keadaan kebiruan dan dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa anaknya itu sudah meninggal dunia," kata Ketua Polis Daerah terbabit.