"Biadap" - Guna Cetakan Ayat Al-Quran Untuk Bungkus Barang, 3 Lelaki Mengaku Salah
Difahamkan, bungkusan itu dihantar melalui perkhidmatan kurier.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengurus, operator percetakan dan pembungkus barangan mengaku salah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan dengan sengaja menggunakan balutan yang bercetak dengan tulisan ayat al-Quran, pada 5 Jun lalu
Menurut Berita Harian, tertuduh, Chin Chang Swee, 44, Kanu Anil Sah, 29 dan San Thay Aung, 24, telah membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Chia Huey Ting.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa peruntukan hukuman penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh mengaku bersalah dan akui lakukan perbuatan itu dengan sengaja
Dipercayai, kejadian itu berlaku pada jam 11.30 pagi, 5 Jun lalu ketika mereka berada di DHL Warehouse Sungai Tiram, Bayan Lepas.
Mereka dengan sengaja telah mencapai niat bersama menghantar tiga bungkusan dari pejabat mereka di Kuala Lumpur ke Ayer Itam, Pulau Pinang dengan menggunakan balutan yang bercetak tulisan ayat al-Quran bagi melukakan perasaan keagamaan kepada orang itu.
Gambar tersebut telah tular di media sosial sejak beberapa hari sehingga mendapat perhatian pihak berkuasa.
Difahamkan, bungkusan itu dihantar oleh sebuah syarikat percetakan di Jalan Tun Razak, Cheras ke Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan kurier.
Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM5,000 setiap seorang atau lima bulan penjara jika gagal bayar denda.
Semua tertuduh kemudian membayar jumlah denda yang dikenakan terhadap mereka.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, laporan polis dibuat oleh penghantar kurier berusia 41 tahun itu selepas melakukan pemeriksaan terhadap tiga bungkusan berkenaan.
"Bimbang berikutan ayat suci al-Quran digunakan di tempat tidak sepatutnya dan disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab, pengadu menukar pembalut itu sebelum membuat laporan polis," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!