'Elok Manja Daripada Degil' - Lelaki Ini Seru Kaum Bapa Jadi 'Best Friend' Buat Anak-Anak
Pesanan buat bapa semua :)
Artikel ini ditulis oleh Dr Syahr Musafir di laman Facebook, kemudian diambil dan dikongsi semula di SAYS atas kebenaran beliau.
Apabila saya berada di rumah atau di kedai makan, saya lebih suka menyuap anak-anak makan berbanding membiarkan mereka makan sendiri. Bukan 24 jam sehari saya bersama mereka, lebih-lebih lagi kebanyakan harinya anak-anak sudah pun siap makan pakai setiap kali saya pulang dari kerja.
Jadi, menyuap makan adalah salah satu cara 'engravement' atau 'bonding' yang baik antara seorang ayah dan anak-anak kecil. Gembira dapat tengok anak-anak berselera makan apabila kita yang suapkan.
Apabila di luar, di shopping mall dan seumpamanya, anak-anak berpimpin tangan dengan saya. Ibarat tak pernah lepas tangan, asyik berkepit saja. Kalau saya ke kaunter cashier pun, anak-anak akan menurut.
Biasalah, ada orang yang kata saya terlalu manjakan anak-anak. Lebih-lebih lagi si Kakak, puteri pertama kami yang berusia 5 tahun. Makan pun nak bersuap. Sepatutnyalah boleh makan sendiri. Sudah besar.
Hari itu saya pulang ke rumah mertua, sengaja saya berseloroh kepada Ma (panggilan saya kepada ibu mertua), "Ada orang kata Papa (saya) terlalu manjakan anak-anak. Macam betul jugalah, anak-anak manja. Selalu apabila Papa di rumah, anak-anak akan makan bersuap, tidur tengah hari minta didodoikan, baca buku pun minta ditemankan.. Padahal kalau dengan Mama (isteri saya), anak-anak buat sendiri semuanya."
Isteri saya langsung menambah, "Itulah, manja betul dengan Papa."
Lantas Ma memberi respon, bersahaja, "Biarlah anak-anak manja asalkan mendengar kata. Lebih baik anak-anak manja dengan kita, daripada manja dengan orang lain. Lebih baik anak-anak manja, daripada dapat anak-anak yang degil. Lebih-lebih lagi si Papa yang mengepalai keluarga..."
Kata-kata dan nasihat Ma ini, saya pegang, sejak hari itu, sampai bila-bila.
Ayah, Papa, Abah, Bapak, Daddy, harus jadi sahabat paling rapat, teman paling akrab, sahabat paling setia dan idola sepanjang hidup kepada anak-anaknya.
Biar nanti jadi 'Ayahku Boyfriendku" daripada si anak perempuan mencari belaian manja daripada lelaki-lelaki di luar sana yang mempunyai risiko merosakkan dirinya.
Biar nanti jadi "Ayahku Best-friendku" daripada si anak lelaki melepak tak tentu hala dengan kutu-kutu rayau di luar kawalan kita.
Elok manja, daripada degil.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!