Boleh Ke Paksa Orang Melutut Minta Maaf Dalam Islam? Ini Jawapan Mufti Wilayah Persekutuan
Harap semua faham dan cakna ya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kebiasaannya, kita akan saling bersalaman tanda ingin meminta maaf dan berdamai dengan orang yang kita pernah bertengkar atau berselisihan faham
Namun, perbuatan melutut sebagai tanda minta maaf kini sudah seperti dinormalisasikan oleh segelintir orang.
Baru-baru ini, seorang individu telah bertanya kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai apa hukumnya dalam Islam jika meminta orang melutut kepada kita.
Berikut di bawah merupakan jawapan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan di laman sesawang rasminya.
Hak mutlak Allah SWT ke atas hamba-Nya
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan memaksa orang lain melutut untuk membuat permohonan maaf adalah dilarang dalam Islam kerana ia merupakan hak mutlak Allah SWT ke atas hamba-Nya apabila semua manusia dibangkitkan pada hari akhirat kelak.
"Perbuatan saling bermaafan antara satu sama lain merupakan amalan yang amat dituntut dalam Islam. Namun, ia mestilah dilakukan dalam kerangka yang harmoni dan mendamaikan tanpa perlu menyakiti hati dan menghina mana-mana pihak.
"Sebarang nasihat dan teguran juga boleh dilakukan secara tegas dan berhemah tanpa perlu memalukan pihak-pihak tertentu," katanya.
Manakala, perbuatan merendahkan sedikit tubuh mengikut sesetengah adat masyarakat setempat sebagai tanda memuliakan golongan yang dihormati adalah dibenarkan selagi ia tidak dilakukan secara berlebih-lebihan hingga menyerupai perbuatan menyembah sesuatu selain daripada Allah SWT.
Bertentangan dengan konsep bermaaf-maafan sesama manusia
Dalam syariat Islam, perbuatan melutut yang membawa maksud penyembahan kepada Allah SWT terhasil menerusi pergerakan dalam solat seperti rukuk, sujud, iftirasy (duduk antara dua sujud) dan ketika berdoa.
Dalam erti lain, perbuatan ini hanya dikhususkan apabila bertujuan menunaikan ibadah kepada Allah SWT sahaja. Setiap manusia akan melutut apabila dihimpunkan di hadapan-Nya pada hari akhirat.
"Oleh yang demikian, perbuatan memaksa orang untuk meminta maaf dalam keadaan melutut dan menundukkan badan atau kepala adalah dilarang kerana ia bertentangan dengan konsep bermaaf-maafan sesama manusia.
"Tambahan lagi, perbuatan sedemikian juga mencerminkan satu penghinaan terhadap si pemohon maaf dalam masa yang sama boleh menjatuhkan maruahnya," katanya.
Bercanggah dengan tuntutan syarak
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga, perbuatan melutut bercanggah dengan tuntutan syarak supaya memberi kemaafan dengan berlapang dada sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Walau bagaimanapun, merendahkan sedikit tubuh mengikut sesetengah adat masyarakat setempat sebagai tanda memuliakan golongan yang dihormati dalam kalangan masyarakat seperti ulama, orang soleh, ibu bapa, guru dan seumpamanya adalah dibenarkan dalam Islam
Namun begitu, ia mestilah dilakukan dalam keadaan yang terhormat supaya tidak menyerupai perbuatan seolah-olah ingin menyembah atau mengagungkan sesuatu melebihi Allah SWT.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kita tidak mengamalkan perbuatan memaksa orang melutut sebagai tanda minta maaf :)
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!