seismik

Lebih 300 Orang Berkampung Di Mahkamah Seremban, Akhirnya Cikgu Azizan Dibebaskan

#PrayForCikguAzizan akhirnya dimakbulkan.

Cover image via SAYS via Terengganu Times

Ternyata doa kebanyakan warga pendidik dan rakyat Malaysia dimakbulkan apabila mahkamah Majistret Seremban sebentar tadi telah membebaskan Azizan Manap, 44, atau lebih lebih dikenali sebagai Cikgu Azizan

Orang ramai dianggarkan lebih 300 orang telah mula berkumpul di Mahkamah Seremban bagi memberi sokongan dan sebagai solidariti kepada Azizan seawal jam 8 pagi tadi.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, guru terbabit didapati telah menyebabkan cedera pada pipi sebelah kiri seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun pada 6 April 2017, jam lebih kurang 7 pagi di hadapan tapak perhimpunan Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Cikgu Azizan melahirkan rasa syukur terhadap keputusan mahkamah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dari seluruh negeri yang memberi sokongan.

Beliau juga berkata beliau telah memaafkan pelajar tersebut dan keluarganya malah tidak menyimpan sebarang dendam.

"Saya hargai semua sokongan dan anggap anda semua sahabat dan saudara saya. Insya-ALLAH moga-moga kita dirahmati.

"Untuk anak murid saya pula, saya doakan dia berjaya suatu hari nanti dan menjadi anak yang baik," katanya.

Kes Cikgu Azizan menjadi tular sejak beberapa hari lepas dan hashtag #PrayForCikguAzizan telah dilancarkan sebagai tanda sokongan kepada guru tersebut

Tonton video pembebasan terhadap Cikgu Azizan di bawah:

Sumber: Harian Metro

You may be interested in: