CMCF Gesa Rakyat Malaysia Berhenti Sebar Video Kemalangan Ada Unsur Visual Grafik
Orang awam dan media diingatkan tentang impak kemudaratan di sebalik visual kemalangan yang mengerikan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menggesa agar media dan orang ramai untuk lebih bertanggungjawab dan sensitif susulan penyebaran kandungan melibatkan kemalangan kecederaan parah atau kehilangan nyawa
Menerusi sebuah kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, 3 April, CMCF memaklumkan perkara ini susulan beberapa insiden kebelakangan ini yang menarik perhatian luas orang ramai, termasuk satu kes maut melibatkan seorang penunggang motosikal yang didakwa dilanggar oleh pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Rakaman insiden tersebut telah tular secara meluas di media sosial.
Walaupun laporan mengenai insiden sedemikian memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan menyokong akauntabiliti, CMCF menegaskan bahawa liputan mestilah dikendalikan dengan berhati-hati, terutamanya apabila visual yang dipaparkan boleh menyebabkan trauma atau menjejaskan maruah mereka yang terkesan.
"Dalam situasi yang melibatkan kehilangan nyawa, maruah dan sifat ihsan mestilah diutamakan. Apa yang dikongsikan bukan sekadar kandungan semata-mata, tetapi ia merupakan realiti pahit yang dilalui oleh individu dan keluarga yang sedang berdepan kehilangan besar," kata CEO CMCF, Puan Mediha Mahmood.

CEO CMCF, Puan Mediha Mahmood.
Image via Content Forum (Facebook)Imbangi kepentingan awam dengan tanggungjawab etika
CMCF mengiktiraf peranan kritikal media dalam menyampaikan maklumat yang pantas dan tepat. Namun, dalam situasi yang melibatkan tragedi, perkara ini mestilah diimbangi dengan rasa tanggungjawab etika yang jelas.
Penggunaan visual yang mengerikan (grafik) atau bersifat sensasi selalunya tidak perlu dan boleh menyebabkan tekanan perasaan yang ketara kepada keluarga mangsa serta masyarakat umum.
"Realitinya, walaupun penonton mungkin melihat kandungan grafik di platform lain, mereka lebih mempercayai institusi yang menunjukkan kawalan diri. Kredibiliti media juga dibina berdasarkan apa yang mereka pilih untuk tidak tunjukkan," kata Mediha.
CMCF seterusnya menegaskan bahawa setiap mangsa mestilah dilayan dengan bermaruah, termasuk selepas kematian. Pengamal media dan pencipta kandungan digesa untuk mengelakkan visual yang memaparkan mangsa secara jelas dan tidak mendedahkan identiti tanpa asas editorial yang kukuh. Pelaporan tidak sepatutnya menjejaskan maruah, privasi, atau kesejahteraan mereka yang terkesan.

Utamakan empati dan pertimbangan kemanusiaan
Menurut CMCF, dalam mendepani tragedi, empati mestilah menjadi panduan dalam setiap pelaporan. Ini memerlukan liputan berasaskan fakta yang disampaikan dengan penuh hemat, mengelakkan sensasi dan spekulasi serta sentiasa peka terhadap kesan emosi kepada keluarga mangsa dan orang awam.
Pendekatan sedemikian menyokong pelaporan yang seimbang serta mengurangkan risiko berlakunya tekanan perasaan lanjut atau salah tafsir. Selain media arus perdana, CMCF turut menonjolkan peranan orang awam yang semakin berkembang dalam persekitaran digital hari ini. Rakaman yang diambil di lokasi kejadian sering dikongsi tanpa memikirkan impak etika dan kemanusiaan.
Orang awam digesa untuk mengamalkan kawalan diri, mengelakkan perkongsian kandungan yang mengerikan atau sensitif, mempertimbangkan potensi kemudaratan sebelum memuat naik hantaran serta mengutamakan bantuan berbanding merakam atau menyiarkan insiden tersebut.
Pendekatan ini selaras dengan prinsip-prinsip di bawah Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang menekankan pertimbangan editorial, budi bicara dan sifat berhati-hati dalam penyebaran kandungan sensitif. CMCF menegaskan bahawa kepercayaan awam terhadap media dan kandungan digital dibentuk melalui tanggungjawab yang ditunjukkan dalam cara maklumat dilaporkan dan dikongsi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via