COVID-19: Arab Saudi Gantung Visa Umrah, Lebih 130 Jemaah Terkandas Di KLIA
Yang sudah berlepas pagi tadi turut diarah berpatah balik.
Sekumpulan 36 rakyat Malaysia dan 100 jemaah dari Indonesia terkandas di KLIA
Kejadian ini berlaku susulan daripada keputusan kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah.
Para jemaah hanya dimaklumkan tentang penggantungan ini selepas waktu Zuhur tengahari tadi. Mereka sepatutnya akan berlepas je Jeddah pada sebelah petang hari ini.
Lebih memilukan, sekumpulan 33 jemaah yang sudah berlepas ke Jeddah pada pagi tadi turut akan pulang semula ke KLIA selepas pengumuman tersebut
Seorang jemaah, Mahayani Ishak, 58, berkata pada awal mereka sekeluarga sedih kerana tidak dapat menunaikan umrah, namun menerima dengan hati terbuka kerana yakin ada hikmah di sebaliknya.
“Pihak pelancongan berjanji akan menguruskan semula pemergian kami ke Makkah dan selepas ini kami akan pulang semula ke kampung pada jam 1 pagi dengan bas yang disediakan pihak ejen,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 15,000 jemaah Malaysia dianggar akan terjejas sehingga bulan depan
Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata Kementerian Luar Malaysia wajar mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur bagi meyakinkan keadaan negara yang tidak terjejas teruk berikutan wabak COVID-19.
“Saya harap Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar mengambil peranan, apatah lagi pada ketika ini tidak ada menteri dalam kerajaan yang boleh membantu.
“Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur perlu diperjelaskan keadaan negara kita adalah selamat, cuma dua baki rakyat yang positif COVID-19 dengan 20 daripadanya sudah pulih sepenuhnya,” katanya.