Doktor Kongsi Kisah Rakan Setugas Terpaksa Diuji Covid-19 Lepas Pesakit Tipu Sejarah Sakit
Jangan pentingkan diri sendiri, tolonglah!
Setakat 19 Mac 2020, Malaysia telah mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 900 kes positif Covid-19 selepas 110 kes baru direkodkan semalam
Bagi mengatasi wabak itu, sudah pasti individu yang berada di barisan hadapan ataupun frontliners paling merasai tekanannya bagi memastikan setiap pesakit dirawat dengan baik dan jumlah kes dapat dikurangkan.
Pelbagai ujian serta tekanan terpaksa dilalui golongan ini khususnya para doktor dan keseluruhan pegawai perubatan ketika waktu-waktu genting seperti ini.
Namun, tekanan itu sudah pastinya dapat dikurangkan sedikit jika masyarakat turut memberikan kerjasama yang sebaiknya kepada mereka.
Kerjasama yang dimaksudkan termasuklah dengan memberikan maklumat yang betul dan tepat kepada golongan profesional ini bagi memastikan proses saringan ujian Covid-19 dapat dijalankan dengan lancar dan tidak menyusahkan individu lain kelak.
Seperti perkongsian yang dibuat oleh seorang doktor, beliau menceritakan semula kejadian di mana tindakan seorang pesakit menipu sejarah sakitnya telah mengakibatkan ramai rakan setugasnya terpaksa membuat ujian saringan Covid-19
Dalam perkongsian yang dibuat di laman Facebook miliknya, doktor Ahmad Luqman Bukhari berkata berbelas-belas rakan setugasnya perlu membuat ujian saringan Covid-19 bagi memastikan mereka bebas daripada wabak itu supaya ia tidak dijangkiti kepada individu lain.
Kurang 24 jam ia dikongsikan, kisah tersebut telah mendapat lebih daripada 8 ribu shares.
Untuk kisah penuh, teruskan membaca di bawah:
"Sakit woih! Rasa macam nak meletup kepala aku!
Terbatuk-batuk terus lepas batang swab tu dia keluarkan dari hidung aku. Mujur tak termuntah je."
Masih jelas lagi raut wajahnya yang tak selesa tu. Padahal prosedur pengambilan sample COVID-19 tu dah selesai lama.
Kesian betul. Dia antara rakan setugas aku yang terpaksa jalani ujian saringan COVID-19.
Bukan seorang dua, tapi berbelas-belas kawan aku yang terpaksa hadapi saringan tu.
Terpaksa relakan lubang hidung dijolok dengan alat penguji hingga betul-betul sampai ke hujung rongga hidung.
Semata-mata nak kena pastikan diri bebas jangkitan. Supaya ia tak tersebar pula pada orang lain.
Lihatlah gambar yang aku kongsikan tu. Semuanya terpaksa lakukan test gara-gara ada pesakit yang positif jangkitan, tapi menipu sejarah sakit. Dah mula ada simptom sejak awal, tapi masih tegar berjalan-jalan ke sana ke mari. Siap terbang ke luar negara lagi.
Lepas tu, bila datang untuk jalani pemeriksaan, tak beritahu maklumat sebenar pada staff kesihatan. Akhirnya dedahkan risiko jangkitan pada ramai staff hingga sebahagian terpaksa dikuarantin.
Akibatnya, staff yang bertugas makin berkurangan menyebabkan beban kerja makin bertambah.
Beliau berharap agar semua individu tidak mementingkan diri sendiri dan mengikuti arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan ketika ini
Sebab tu kami marah benar bila ada yang tak patuhi arahan KKM dan kerajaan. Galak berjalan ke sana ke mari. Lepas tu sesuka hati cakap, "kalau kami sakit kami pergilah hospital."
Rude! Selfish! Tolonglah ikut perintah kawalan pergerakan betul-betul buat masa ni. Tak usah keluar ke taman rekreasi. Tak usah ke masjid atau surau. Tak usah pulang ke kampung.
Jangan dedahkan orang tua pada risiko jangkitan. Bayangkan orang tua kita terpaksa hadapi rasa tak selesa diambil sample disebabkan kedegilan kita.
Apatah lagi jika tiba-tiba keputusannya positif. Nauzubillah. Itu belum kira masalah-masalah yang timbul pada staff kesihatan akibat kedegilan kita.
Kawan-kawan, patutnya ujian wabak ni jadi medan kita bermuhasabah, kesabaran kita membasuh dosa-dosa lalu.
Bukan kita menambah lagi senarai dosa-dosa baru ke dalam kantung amalan kita. Yang dah lepas kita ambil jadikan pengajaran.
Tapi dalam perjalanan menuju ke hadapan, kita mesti ingatkan seramai mungkin agar selalu jaga satu sama lain. Saling ingat memperingati.
Nampak ada yang terlalai, kita tegur. Yang terus berdegil, kita serahkan pada pihak berkuasa. Fahamkanlah kata-kata Tuhan. Kita ini sentiasa duduk dalam kerugian.
Melainkan sesiapa yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh, serta tak jemu berpesan tentang kebaikan dan kesabaran.