Filem Seram 'Anak Kunti' Bakal Menghantui Pawagam Malaysia Mulai 20 Februari Ini
Pelakon, Nita Gunawan dakwa boleh lihat makhluk halus duduk sebelahnya ketika penggambaran.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Buat julung-julung kalinya, ST Media dengan kerjasama Drias Film Production, sebuah syarikat penerbitan yang berpengkalan di Jakarta, bersama platform digital KipasKipas mempersembahkan filem seram terbaharu 'Anak Kunti'
Filem seram ini merupakan arahan pengarah prolifik Indonesia, Bambang Drias dengan naskah skrip yang ditulis oleh Baskoro Adi.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan rangkaian kandungan kreatif ke peringkat antarabangsa, ST Media mengambil langkah besar dengan menerbitkan bersama filem 'Anak Kunti' bersama Drias Production, KipasKipas dan Horizon Film Entertainment.
Ini merupakan filem Indonesia kedua terbitan bersama ST Media berganding dengan syarikat penerbitan terkemuka Indonesia.
Selain daripada Tayangan Gala di Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu, 'Anak Kunti' turut akan mengadakan Tayangan Gala di dua kota di Indonesia, iaitu di Jakarta pada 11 Februari 2025 dan di Surabaya pada 18 Februari 2025.
Transformasi kreatif legenda kunatilanak
Dengan berlatar masa tahun 90-an, 'Anak Kunti' membawakan interpretasi moden terhadap legenda Kuntilanak atau lebih dikenali sebagai Pontianak di Malaysia.
Filem ini mengisahkan Sarah (Gisellma Firmansyah), seorang pelajar pesantren yatim piatu yang kembali ke Desa Wonoenggal untuk menyelidiki masa lalu dan asal-usul keluarganya.
Kepulangannya mencetuskan kengerian di kawasan desa apabila muncul Kuntilanak yang dipercayai jelmaan ibu kandungnya, yang meninggal dunia ketika melahirkan anak kembar di tengah-tengah kekacauan desa.
Dengan tempoh tayangan selama 94 minit, filem ini menggabungkan elemen ketegangan psikologi dan 'supernatural', serta didokong oleh teknologi audio Dolby Atmos untuk mencipta pengalaman menonton yang lebih imersif.
Kolaborasi pasukan kreatif dan pelakon yang berdedikasi
Filem ini menandakan kolaborasi pertama antara Afif Shari dan Furqan Adnan (Pengarah Urusan ST Media) sebagai penerbit eksekutif bersama dengan Drias Film Production.
"Ini adalah kolaborasi pertama saya dengan Bambang Drias. Hasilnya di luar jangkaan, dan saya yakin penonton akan terpesona dengan estetik sinematografi terutamanya naratif penceritaannya," ujar Afif Shari.
Sementara itu, Furqan Adnan meluahkan rasa terujanya: "Sebagai peminat filem, ‘Anak Kunti’ bukan sekadar filem seram biasa namun ianya juga mempunyai lapisan cerita kritikan sosial yang boleh diangkat sebagai cerita seram yang unik."
Nita Gunawan: Tanggungjawab Sepenuhnya Sebagai Karakter Kuntilanak
Nita Gunawan, yang membawa watak Wati/Kuntilanak, melalui proses penggambaran yang mencabar. Bambang Drias selaku sutradara filem memilihnya kerana raut wajahnya yang memiliki karisma unik—boleh kelihatan cantik tetapi menyeramkan pada masa yang sama.
Antara babak paling sukar bagi Nita adalah melakonkan adegan melahirkan anak dan adegan aksi tanpa pelakon lagak ngeri.
"Penggambaran pada waktu malam yang mencabar sehingga terlibat dengan beberapa kecederaan kecil namun hasilnya sangat berbaloi," katanya.
Abun Sungkar & Iwa K: Dedikasi di Sebalik Tabir
Abun Sungkar, yang memegang watak sebagai seorang doktor pelatih muda, melakukan penyelidikan mendalam dengan merujuk kepada kehidupan doktor sebenar.
Sementara itu, Iwa K (Hasan) mengalami insiden sebenar ketika penggambaran:
"Ini adalah pengalaman pertama saya bekerja sehingga benar-benar terlibat dengan kecederaan kerana terlalu menjiwai watak, bukan sekadar efek solekan," katanya.
Gisellma Firmansyah & Wavi Zihan: Menghadapi Cabaran Bahasa
Gisellma Firmansyah (Sarah) perlu membahagikan masa antara penggambaran dan pengajian di universiti, manakala Wavi Zihan (Azizah) banyak mempelajari gaya lakonan daripada pelakon lebih senior seperti Jajang C. Noer dan Ruth Marini.
Kedua-duanya juga menghadapi cabaran besar dengan perlu bertutur dialog dalam bahasa Jawa yang cukup kompleks.
Jangan lupa saksikan 'Anak Kunti' yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 20 Februari ini
Selain daripada tayangan di Asia Tenggara, ‘Anak Kunti’ turut menyasarkan pasaran di seluruh Asia Tenggara.
Filem ini juga bakal ditayangkan serentak di 9 buah negara; bukan sahaja di Indonesia, tetapi juga di Malaysia, Singapura, Brunei, Pakistan, dan Bangladesh.
Selain itu, 'Anak Kunti' dijadualkan untuk tayangan di Thailand, Vietnam dan India menjelang bulan April 2025 termasuk di Turki pada bulan Jun 2025, bersama beberapa negara lain yang merupakan pasaran strategik bagi kandungan Asia Tenggara.
Filem ini juga diterbitkan oleh gabungan penerbit-penerbit berpengalaman dari Malaysia dan Indonesia iaitu Khairul Kassim, Noah EH, Harith Baharudin, Avesina Soebli, Wendy Christian, Izwan Daini, Shahir Sulaiman dan Jonathan HM, dengan sokongan teknologi digital daripada Nuon dan Blueray Cargo.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!