Gajet Untuk Anak: Perlu Atau Tidak Mak Ayah Beri Kepada Mereka?
Memang susah nak jawab soalan ini.
Pada masa kini, di mana-mana sahaja, situasi kanak-kanak bersama gajet boleh dianggap sebagai satu pemandangan atau keadaan biasa
Kebanyakan kanak-kanak zaman sekarang sememangnya celik IT. Seiring dengan peredaran zaman, gajet lebih menjadi pilihan kanak-kanak berbanding permainan atau sesuatu aktiviti yang melibatkan fizikal.
Malah kebanyakan ibu bapa yang memberi gajet kepada anak adalah dengan alasan kerana tidak mahu anak membuat bising, merengek dan menangis terutama ketika berada di tempat awam.
Baik buruk gajet
Terdapat pelbagai perdebatan di kalangan pengkaji, pendidik, pakar kanak-kanak dan ibu bapa mengenai kebaikan dan keburukan gajet sejak bertahun-tahun. Berikut adalah beberapa daripadanya:
Kebaikan:
- Meningkatkan kemahiran bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris. Kebanyakan video atau permainan adalah dalam bahasa Inggeris. Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran bercakap, memahami dan menulis dalam bahasa Inggeris.
- Menambahkan rasa ingin tahu tentang sesuatu yang baru serta membantu meluaskan pengetahuan dan kefahaman mengenai dunia. Membantu kanak-kanak mengenal tentang masyarakat, tempat dan alam semulajadi.
- Kemahiran menekan kekunci dan skrin sentuh akan membantu meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak dengan meningkatkan koordinasi mata dan tangan mereka. Ini termasuk melukis dan mewarna secara digital memberikan kecekapan gerakan tangan selain menjadi anak lebih kreatif.
- Mendidik mengenai tindakan dan kesannya. Apabila kanak-kanak menekan butang atau memilih ikon pada skrin, sesuatu berlaku. Ini akan mengajar mereka setiap perbuatan yang dilakukan ada kesannya.
- Kanak-kanak lebih mudah faham dan cepat belajar melalui imej yang bergerak dan bunyi. Ia juga membantu perkembangan intelektual dan pemahaman kanak-kanak.
- Aplikasi yang digunakan sebagai alat pembelajaran memberi kelebihan kepada kanak-kanak kerana selalunya ia lebih menarik, tidak membosankan dan mudah bagi kanak-kanak untuk belajar secara sendiri.
Keburukan:
- Kanak-kanak boleh terpengaruh dengan ideologi buruk dari internet. Perkembangan daya fikir dan minda kanak-kanak pada usia ini amat mudah dipengaruhi dan terikut-ikut. Berkemungkinan besar boleh menyebabkan tindakbalas agresif hasil daripada bermain permainan atau menonton video ganas.
- Mempengaruhi daya aktif dan pengerakan kanak-kanak, yang akhirnya menyebabkan perkembangan sistem kognitif dan sosial kanak-kanak prasekolah akan pasif.
- Mempengaruhi perkembangan kesihatan mental dan sosialnya. Kemahiran komunikasi juga akan terganggu dan boleh mengakibatkan sifat suka menyendiri kerana sukar berkomunikasi dengan orang sekeliling dan lebih gemar bersama dengan gajet.
- Kebergantungan kepada gajet, dan tidak boleh berdikari dalam menyelesaikan masalah.
- Berpotensi mengganggu waktu tidur, kerana kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam waktu tidur setiap hari untuk membesar secara sihat.
- Membawa kepada ketagihan gajet yang sukar dibendung.
Capai keseimbangan
Seperti yang kita dapat lihat, teknologi mempunyai kebaikan dan keburukan terhadap perkembangan kanak-kanak. Adalah mustahil untuk menyekat atau melarang penggunaan gajet sepenuhnya.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan keseimbangan dalam penggunaan gajet. Cara terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan mengajar kanak-kanak menggunakan gajet dengan bertanggungjawab seperti:
- Mengenakan peraturan penggunaan gajet yang tegas. Contohnya, tidak boleh menggunakan gajet di meja makan, dan mengawal jumlah masa penggunaan gajet.
- Memantau aplikasi, permainan ataupun video yang digunakan dan ditonton anak anda.
- Jangan membiarkan anak kecil anda melayari internet tanpa penyeliaan, kerana tidak semua yang berada dalam talian adalah mesra kanak-kanak. Ibu bapa perlu sentiasa berwaspada.
- Sentiasa berkomunikasi setiap masa dengan anak anda mengenai gajetnya. Beri peluang pada dia untuk berkongsi pendapat mengenai apa yang dirasainya. Dengan cara ini, dapat meningkatkan komunikasi dua hala antara anda dan anak anda.
Beri contoh teladan
Secara kesimpulannya, penggunaan gajet itu ada kebaikan dan keburukan dan ianya bergantung kepada ibu bapa sama ada ingin memberi gajet kepada anak anda atau tidak. Namun ibu bapa perlu sentiasa berwaspada dan mengawasi penggunaan gajet anak anda.
Dan seperti yang kita tahu, kanak-kanak akan mengikuti perlakuan ibu bapanya. Maka setiap perbuatan kita sebagai ibu bapa akan menjadi ikutan dan teladan buat anak anda.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh SAYS atas keizinan.
Hello Doktor: Laman web rasmi | Facebook