[GAMBAR] Pesawat MH01 Bergegar, Anak Kapal Dan Penumpang Cedera Akibat Pergolakan Udara
Pesawat itu dikatakan mengalami 'Clear Air Turbulence' (CAT).
Semalam, beberapa penumpang dan anak kapal mengalami cedera ringan apabila pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH01 menghadapi situasi turbulence atau gelora udara yang teruk
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku semasa pesawat berada dalam penerbangan dari London menuju ke Kuala Lumpur ketika berada di ruang udara Teluk Bengal, India.
Difahamkan seramai 378 penumpang dan anak kapal berada di dalam pesawat tersebut semasa kejadian berlaku
Kebanyakan penumpang menganggap mereka akan menemui ajal mereka ketika gegaran menakutkan itu berlaku.
Menurut laporan Harian Metro, salah seorang penumpang yang hanya dikenali sebagai Mary berkata, gegaran udara itu berlaku kira-kira lima minit dalam masa tiga jam sebelum pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Saya duduk di bahagian dek atas. Pesawat itu seakan-akan terhentak ke bawah sebelum melambung semula ke atas. Ketika itu, anak kapal hendak mengedarkan makanan kepada penumpang... saya lihat bungkusan makanan bertaburan daripada troli makanan.
"Saya juga nampak seorang pramugari terhantuk kepalanya sebelum terjatuh dan luka di lutut," katanya sambil memberitahu juruterbang turut membuat pengumuman meminta semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan semasa insiden itu.
Bagaimanapun, pesawat jenis Airbus A380 itu dilaporkan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 6 petang
Sebilangan penumpang dan anak kapal yang cedera telah dihantar ke Hospital Putrajaya sebaik pesawat itu mendarat di KLIA, lapor Malaysia Airlines Berhad (MAB)
Pihak MAB telah memohon maaf atas sebarang kesulitan yang disebabkan keadaan cuaca yang di luar kawalan syarikat tersebut
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!