[GAMBAR] Masjid Kristal Dan 13 Masjid Lain Yang Paling Mempersonakan Di Malaysia
Di sebalik kisah masjid-masjid yang sangat mengagumkan.
Di Malaysia ada banyak masjid yang cantik. Tetapi, sejauh mana anda tahu tentang kewujudan masjid-masjid yang cantik dan unik di negara ini?
1. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga dikenali sebagai 'Masjid Besi' terletak di Putrajaya.
Nama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin diberi semperna nama Yang Di-Pertuan Agong yang ke-13 iaitu Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
70% seni bina masjid tersebut dibina dengan besi dan sebab itulah ia juga dikenali sebagai 'Masjid Besi'
Seni bina Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah kombinasi seni bina China dan Jerman, dan bukannya seni bina Timur Tengah seperti kebanyakan masjid. Ia juga tidak mempunyai menara seperti masjid-masjid lain.
2. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Masjid Beijing), Kelantan
Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra terletak di Rantau Panjang, Kelantan.
Masjid ini sangat unik kerana seni binaannya yang menyerupai seni bina dari China.
Ia dibina pada tahun 2005 untuk memperingati sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Kelantan yang ke-28 iaitu Sultan Ismail Petra.
Bahagian luarnya mempunyai bumbung dan menara pagoda hijau dan panel merah. Bahagian dalamannya pula direka mengikut elemen reka bentuk India dan Uzbekistan.
Masjid ini digelar 'Masjid Beijing' kerana reka bentuknya seakan-akan Masjid Niujie di negara China.
3. Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung), Terengganu
Lokasi terletaknya Masjid Tengku Tengah Zaharah ini adalah di Kuala Terengganu.
Ia terletak di sungai Terengganu dan merupakan salah satu seni bina moden hasil salah seorang putera Diraja Terengganu. Masjid putih berkilauan turut menjadi ikon baru dalam seni bina Islam di negara ini.
Pembinaan masjid ini sebenarnya adalah inspirasi Almarhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Masjid ini dinamakan sempena ibunya, Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Kedamaian masjid ini turut terserlah dengan keindahan Laut China Selatan, menjadikan ia suatu destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu.
Dikenali sebagai 'Masjid Terapung', seni binanya merupakah gabungan pengaruh moden dan seni bina 'Moor'. Masjid Tengku Tengah Zaharah dibina di atas pelantar terapung, memberikan ia sudut unik yang membuatnya kelihatan terapung di atas air.
4. Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah
Satu lagi 'Masjid Terapung' yang diberi nama Masjid Bandaraya Kota Kinabalu adalah sebuah masjid yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah.
Masjid ini mempunyai ciri-ciri reka bentuk Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah.
70% daripada kawasan masjid ini dikelilingi air menyebabkan ia kelihatan seolah-olah terapung di atas air.
5. Masjid Terapung Tanjung Bungah, Pulau Pinang
Masjid Terapung Tanjung Bungah yang terletak di Pulau Pinang adalah satu lagi masjid yang dibina di permukaan air.
Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina di dasar laut di Malaysia, tidak seperti masjid terapung di tempat lain yang dibina di permukaan tasik.
Masjid ini dibina untuk menggantikan Masjid Tanjung Bungah yang lama.
Ia mempunyai satu menara masjid dengan ketinggian bersamaan dengan bangunan tujuh tingkat.
6. Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor
Masjid Negeri Sultan Abu Bakar di Johor Bharu ini merupakah satu lagi masjid yang tidak mengikut reka bentuk masjid konvensional yang terdapat di Malaysia.
Ia mengikut ciri-ciri menara jam British dari kurun ke-19. Masjid ini banyak dipengaruhi oleh seni bina kolonial English-Victorian.
7. Masjid Jamek An-Nur, Labuan
Masjid Wilayah Persekutuan Labuan atau dikenali sebagai Masjid Jamek An-Nur yang terletak di Labuan ini adalah satu-satunya masjid di Malaysia yang mempunyai reka bentuk yang sangat moden seakan-akan 'futuristic'.
Seni binanya kelihatan seperti bulu tangkis atau kapal angkasa. Masjid Wilayah Persekutuan Labuan adalah mercu tanda yang terkenal di Labuan.
Masjid ini menggunakan seni bina Melayu Brunei dan Turki dengan menggunakan elemen kontemprori seperti gril dan cermin lutsinar untuk pengudaraan dan membenarkan cahaya semulajadi masuk ke bahagian dalamnya.
8. Masjid Diraja Ubudiah, Perak
Masjid Diraja Ubudiah yang berbentuk oktagon ini mempunyai ciri-ciri menarik seperti kubah emas dan juga pintu gerbang yang menggunakan gaya seni bina 'Moor'.
Masjid ini terletak di Kuala Kangsar, Perak. Seni binanya merupakan Indo-Saracenic.
Masjid ini mula dibina setelah Sultan Perak ke-28 iaitu Sultan Idris Murshidul'adzam Shah bertekad untuk membina sebuah masjid jika baginda sembuh dari penyakitnya. Walaubagaimanapun, baginda mangkat setahun sebelum masjid ini siap dibina yang memakan masa empat tahun untuk siap.
9. Masjid Kristal, Terengganu
Selain Masjid Terapung, satu lagi masjid yang menjadi tarikan di Kuala Terengganu adalah Masjid Kristal.
Ia dikatakan adalah antara masjid yang tercantik di Malaysia kerana keunikannya dibina daripada kaca dan keluli malah masjid ini lengkap dengan segala kemudahan yang berteknologi tinggi dan liputan WIFI untuk memudahkan pengunjung untuk mengakses internet.
Kebanyakkan pengunjung mengagumi keindahan Masjid Kristal ini. Ia akan berkilau apabila terkena sinaran pancaran matahari.
10. Masjid Zahir, Kedah
Masjid Zahir terletak di Alor Setar, Kedah. Masjid Zahir adalah salah satu masjid tertua di Malaysia terbina pada tahun 1912. Masjid ini dibina di atas tapak persemadian pahlawan-pahlawan yang gugur pada tahun 1821.
Kubah Masjid Zahir kelihatan hitam tetapi bila dilihat lebih dekat kubah masjid sebenarnya berwarna 'ruby' merah gelap. Warna hitam muncul dalam cahaya yang terang, memberi Masjid Zahir penampilan yang menarik. Ia sering di senaraikan sebagai antara 10 Masjid tercantik di dunia.
Masjid Zahir mempunyai 5 menara yang melambangkan 5 rukun Islam. Inspirasi seni bina dari Masjid Azizi di Langkat, Sumatera Utara, merupakan visi Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II.
11. Masjid Jamek Kuala Lumpur
Masjid Jamek Kuala Lumpur ini merupakan antara masjid yang tertua di Malaysia. Ia dibina pada tahun 1907.
Masjid Jamek Kuala Lumpur mempunyai ciri-ciri reka bentuk seni bina masjid Neo-Moor sama dengan bangunan kolonial di utara India.
Kubah-kubahnya berbentuk bawang dengan gerbang seperti ladam kuda.
12. Masjid Kampung Hulu, Melaka
Masjid Kampung Hulu telah dibina di Melaka sejak 280 tahun lalu oleh seorang Cina Muslim bernama Arom @ Harun.
Ia merupakan satu lagi masjid yang unik di Malaysia dimana ia kelihatan seperti menara menyerupai pagoda yang juga kelihatan seperti menara kubu dan rumah api.
Seni bina Masjid Kampung Hulu ini unik dengan gabungan seni bina Sumatera, Cina, Melayu Melaka dan reka bentuk Hindu.
13. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak di Shah Alam ini merupakan masjid terbesar dan terunggul di Malaysia.
Masjid yang juga dikenali sebagai 'Masjid Biru' di kalangan pelancong ini mempunyai ciri-ciri seni bina yang menarik dengan hiasan dalamannya yang menakjubkan.
Masjid ini berdiri megah dengan lanskapnya yang indah dan terletak di sebahagian Tasik Shah Alam yang memisahkan masjid ini dengan Pusat Sivik Shah Alam.
14. Masjid Kampung Laut, Kelantan
Masjid Kampung Laut merupakan sebuah masjid yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.
Masjid yang asalnya tidak seperti yang dilihat pada hari ini. Ia dahulunya merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia.
Pada akhir abad ke-19, masjid ini menjadi satu pusat agama yang penting dan masjid itu diperbesar untuk merangkumi bilik sembahyang tambahan, peran, serambi dan menara. 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan ini.
Binaan tambahan ini menggunakan teknik ‘Tebuk Pasak‘ yang amat unik. Ia dibina daripada kayu tetapi tidak menggunakan walau sepucuk paku sekalipun. Atap daun rumbianya digantikan dengan atap genting.