Gua Niah Kini Secara Rasmi Diiktiraf Sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia UNESCO
Pengiktirafan itu menyaksikan Malaysia kini mempunyai lima Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini, Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak telah diiktiraf secara rasmi sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)
Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) mengumumkan bahawa 21 ahli Jawatankuasa Warisan Dunia memberikan pengiktirafan berprestij itu semasa sesi ke-46 mereka di New Delhi, India, dari 21 Julai hingga 31 Julai 2024.
Difahamkan, proses pencalonan Kompleks Gua Negara Niah sebagai tapak UNESCO bermula pada 2019, dengan senarai tentatif dokumen diserahkan kepada UNESCO pada 22 Januari 2021.
Dokumen rasmi telah diserahkan kepada Sekretariat UNESCO di Paris pada 31 Januari 2023.
Kompleks Gua Negara Niah, juga dikenali sebagai Gua Niah merupakan tapak rangka manusia tertua yang ditemui di Asia Tenggara, menjadikannya mercu tanda arkeologi dan bersejarah yang penting
Kompleks gua batu kapur telah meninggalkan tengkorak yang dianggarkan berusia 40,000 tahun, serta artifak, lukisan di dinding gua, keranda berbentuk bot, dan perhiasan yang diperbuat daripada tulang, batu, atau tanah liat.
Dengan pengiktirafan terbaru ini, Malaysia kini mempunyai lima Tapak Warisan Dunia UNESCO
Ini termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka dan George Town (2008), dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).
Malaysia kini sedang berusaha untuk mencalonkan beberapa lagi kawasan lain sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, termasuk Taman Hutan FRIM Selangor, Taman Negeri Royal Belum, dan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN).
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!