Dulu Hidup Miskin Dengan Hanya RM25 Sebulan, Kini 'Hannah On Earth' Jadi Pengembara Dunia
Hidup miskin dan serba daif tidak menghalang Hadhinah untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang pengembara sepenuh masa.
Selalunya, bila kita lihat orang yang kerap mengembara sana sini, kita mesti akan anggap bahawa orang itu dilahirkan dalam keluarga yang mewah atau ada banyak duit
Setuju atau tidak, inilah satu persepsi yang pasti ada dalam benak fikiran masing-masing. Kalau tak banyak, mesti akan ada juga sekelumit tanggapan sebegitu. Setuju?
Persepsi ini tidak semestinya benar. Bukan semua orang yang selalu travel ini hidup serba mewah sejak kecil. Sesetengah mereka mungkin hidup lebih susah daripada kebanyakan orang lain.
Salah satu contoh yang boleh kita lihat ialah kehidupan gadis traveller dari Malaysia ini yang menggelar dirinya sebagai Hannah On Earth
Hannah On Earth atau nama sebenar Hadhinah Fawwazah Nasaruddin merupakan seorang pengembara sepenuh masa di USA. Beliau kini telah menjelajah 47 daripada 50 negeri di USA dan bakal melengkapkan penjelajahannya tidak lama lagi.
Mengembara ke semua 50 negeri di USA bukan satu perkara mudah, malah penduduk di USA sendiri pun belum tentu mampu melakukannya. Selain USA, Hadhinah juga telah mengembara ke lebih daripada 20 negara di serata dunia.
Sejak kecil, Hadhinah tidak pernah diberi apa-apa kemewahan kerana hidup serba kekurangan. Beliau yang lahir dalam keluarga miskin hanya tinggal dalam rumah pondok sahaja.
"Saya dilahirkan dan dibesarkan di Sandakan, Sabah dalam keluarga yang miskin dan tidak mempunyai apa-apa kemewahan. Tinggal pun hanya di dalam rumah pondok sahaja bersama ibu bapa dan adik beradik yang lain.
"Saya bersekolah di SK Kem Tentera Sandakan dari darjah 1 sehingga darjah 6. Saya sedar keluarga saya hidup susah. Saya hanya boleh mengubah nasib keluarga saya melalui pelajaran sahaja. Jadi, saya berusaha bersungguh-sungguh ketika di bangku sekolah untuk menjadi yang terbaik.
"Alhamdulillah, saya mendapat keputusan cemerlang iaitu 5A dalam UPSR dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke MRSM Kuching, Sarawak. Hanya 5 pelajar sahaja yang mendapat 5A ketika itu dari sekolah saya, dan saya salah seorang daripadanya," ujar Hadhinah membuka cerita.
Ketika di MRSM Kuching, Hadhinah sekali lagi cemerlang apabila berjaya mendapat 8A dalam PMR. Kemudian, beliau bertukar sekolah ke MRSM Kota Kinabalu, Sabah kerana lebih mudah untuk menjenguk keluarga di Sandakan.
"Waktu itulah saya berpeluang untuk mendaki Gunung Kinabalu. Ia merupakan salah satu requirement untuk setiap pelajar di MRSM KK. Saya begitu gembira dan berasa sangat teruja. Tak sangka orang miskin macam saya akan dapat peluang sebegini.
"Saya masih ingat, ketika itu duit belanja saya hanyalah RM25 sebulan. Bila dibahagi kepada empat minggu, saya boleh belanja RM6.25 sahaja seminggu. Inilah antara detik hidup yang saya rasa paling mencabar.
"Saya dikelilingi rakan-rakan yang lebih mewah. Kebanyakan mereka akan membelanjakan wang untuk membeli ais krim dan makanan lain. Saya pula terpaksa bergantung 100% kepada makanan di dewan makan. Mujur mereka menghidangkan makanan 6 kali sehari," kata Hadhinah.
Namun begitu, walaupun hidup miskin, ibu bapa Hadhinah sentiasa mengingatkan beliau untuk tidak meminjam wang dari sesiapa, dan sentiasa mendoakan kebahagiaan orang lain
"'Lebih baik tak ada duit daripada pinjam duit,' pesanan ibu bapa saya yang saya sentiasa pegang sejak kecil. Ibu bapa saya selalu berpesan, walaupun hidup miskin dan tidak bernasib baik seperti orang lain, ingatlah bahawa rezeki Tuhan ada di mana-mana.
"Daripada kita mencemburui, adalah lebih baik jika kita doakan kebahagiaan mereka. Itu rezeki mereka. Ibu bapa saya juga sangat terapkan nilai berkongsi. Masa kecil dulu, bila kanak-kanak lain dapat mainan baru, kami tak dapat apa-apa. Kami hanya bermain dengan mainan lama yang kami ada dan sentiasa berkongsi bersama adik beradik.
"Tetapi syukur saya katakan, hidup saya sekeluarga sentiasa gembira. Kami tak ada rumah mewah, kami tak ada pakaian berjenama, tetapi kami sentiasa cukup makan dan boleh hidup bahagia disamping orang tersayang," kata Hadhinah lagi.
Hidup Hadhinah mula berubah apabila beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama 6 tahun. Di situlah bermula segalanya.
"Saya mengambil jurusan software engineer walaupun saya tak tahu apa-apa tentang komputer. Syukur keputusan saya memberangsangkan selama 3 tahun setengah mengambil Ijazah di UTeM sehingga melayakkan saya untuk menerima biasiswa bagi meyambung pelajaran ke peringkat Masters di universiti yang sama.
"Saya mula hiking semasa di tahun ke-3. Waktu itu saya memang aktif. Saya mendapat tempat kedua dalam pertandingan 'Merdeka Eco Challenge UTeM 2008' dan juga merupakan salah seorang atlet bagi sukan kayak yang bertanding dalam MASUM bersama pasukan KLASKA," katanya.
Indonesia merupakan negara pertama yang menjadi pilihan Hadhinah untuk dijelajah. Dan pada tahun 2012, beliau sudah berjalan hampir ke semua destinasi popular di Kepulauan Jawa.
"Saya mula travel ketika tahun pertama Masters. Waktu itu mampu pergi ke Indonesia atau Thailand saja dulu. Itulah masanya saya discover yang saya sebenarnya sangat suka naik kapal terbang. Saya tanam cita-cita untuk pergi ke destinasi lebih jauh yang memakan masa sehingga berbelas-belas jam. Saya tak kisah habiskan masa yang lama untuk "terbang".
"Ibu bapa saya galakkan saya untuk mencari sumber kewangan sendiri tanpa perlu mengharapkan orang lain. Jadi, disebabkan minat travel itu sudah melekat dalam diri, saya rajinkan diri melakukan kerja part time di kafe dan sebagainya.
"Pernah dalam satu tempoh masa, saya belajar dari Isnin hingga Jumaat di UTeM, kemudian bekerja secara part time di Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad. Tiap-tiap minggu saya akan ulang-alik dari Melaka ke KL. Memang penat tetapi ini jalan yang saya pilih," katanya.
Hadhinah adalah seorang yang begitu menitikberatkan amalan menyimpan. Duit gaji yang beliau terima hanya digunakan tak sampai 20%. Baki 80% itu akan beliau simpan.
"Duit memang amat diperlukan untuk mengembara tetapi tak semestinya dalam jumlah yang banyak. Dengan RM1,000, saya boleh mengembara ke dua buah negara berbeza. Saya pernah bawa RM1,000 saja untuk travel ke Indonesia dan Thailand selama 3 minggu. Mustahil bunyinya kan?
"Saya tidur di airport, tidur di hostel dengan harga RM10 satu malam, dan saya juga membuat kenalan baru untuk sertai mereka melakukan aktiviti. Selalunya mereka akan bersetuju kerana masing-masing mahu jimat. Perkara yang saya lakukan ini bukan mudah dan bukan semua orang sanggup buat," katanya.
Selain bekerja di kafe, Hadhinah juga pernah bekerja sebagai event manager selepas tamat belajar. Beliau sangat sukakan kerja itu tetapi terpaksa akur untuk berhenti kerana desakan ibu bapa.
"Ibu bapa saya tak berapa gemar saya bekerja dalam bidang ini kerana kerja ini memerlukan saya untuk bertemu dengan ramai orang pada waktu siang mahupun malam. Mereka rasa, pekerjaan sebegini tidak begitu sesuai untuk dilakukan oleh seorang gadis seperti saya. Jadi saya terpaksa akur kepada permintaan ibu bapa saya," katanya.
Walaubagaimanapun, ada hikmah di sebalik kejadian. Selepas berhenti kerja, Hadhinah bertemu dengan cinta hatinya iaitu seorang jejaka 'Mat Salleh', Joe dari USA.
"Kami berdua bertemu secara dalam talian. Saya berada di kemuncak stress ketika itu. Saya tak tahu nak mengadu pada siapa, jadi saya pilih untuk bercakap kepada strangers di Internet. Saya tak terfikir pun nak mencari pasangan pada waktu itu. Hakikatnya, saya berborak dengan ramai orang dan kebanyakan mereka sudi melayan saya dengan baik.
"Kemudian saya jumpa Joe. Saya memberitahu mengenai hasrat saya untuk melanjutkan PHD di United Kingdom dan meminta khidmat nasihat daripadanya. Daripada jawapan yang dia berikan, saya boleh nampak beliau memang seorang yang matang, terpelajar, dan cukup minat dalam pelajaran. Joe juga mempunyai minat mendalam yang sama seperti saya iaitu mengembara. Joe bukan seorang 'Mat Salleh' yang hanya sukakan parti dan perempuan.
"Kami akhirnya bertemu secara face to face di KL. Ketika itu, Joe berada di Thailand dan tidak boleh pulang ke USA disebabkan Visa telah luput. Jadi, beliau datang ke KL untuk renew Visa tersebut dan itulah kali pertama saya bertemu dengannya," kata Hadhinah.
Selepas mengenali Joe, Hadhinah berhasrat untuk melebarkan sayapnya ke USA. Tetapi, perjalanan yang terpaksa beliau tempuh tidaklah semudah yang disangka.
"Saya teringin sangat nak mengembara di USA tetapi agak sukar untuk memasuki negara itu pada mulanya kerana tiada alasan untuk saya beri kepada mereka yang membuktikan saya akan pulang semula ke Malaysia. Maklumlah saya tak kerja, saya tiada kereta, saya tiada rumah, dan saya tiada apa-apa komitmen langsung di negara sendiri. Jadi, mereka menganggap saya akan bekerja di sana secara haram.
"Ketika itu, saya sedang menjelajah negara-negara di Eropah bersama Joe dan rakan-rakan lain. Semasa di Berlin, Joe mencadangkan untuk kami melangsungkan perkahwinan supaya lebih senang untuk saya masuk ke USA di bawah 'Fiance Visa'. Ya, inilah Visa yang membenarkan saya masuk ke negara itu.
"Tetapi proses untuk memohon Visa tersebut memakan masa yang terlalu lama sehingga 9 bulan. Sementara menunggu, saya pun tinggal di Thailand keseorangan selama 5 bulan manakala Joe pula tinggal di USA. Sangat sukar pada masa itu tetapi perkara inilah yang merapatkan lagi hubungan kami. Selepas 9 bulan, dia terbang ke Thailand untuk bertemu saya dengan segala paperwork dan syukur segalanya berjalan lancar. Akhirnya, saya berjaya memasuki USA pada Mei 2014," jelasnya.
Mereka berdua akhirnya berkahwin di Johor dan mengadakan majlis perkahwinan mengikut adat resam Melayu yang begitu unik dan bermakna
"Boleh kata, dialah penyelamat saya daripada kemelut stress yang saya pada waktu itu. Rupa-rupanya, keputusan saya untuk berhenti kerja dan akur kepada permintaan ibu bapa saya mempunyai hikmah yang begitu besar. Siapa sangka perkara sebegini akan terjadi kepada saya. Apa-apa pun, saya berasa amat bersyukur kepada Tuhan di atas pemberian nikmat ini," ujar Hadhinah.
Bercakap mengenai travel di USA, Hadhinah memberitahu kos yang diperlukan untuk mengembara di sana tidaklah terlalu mahal sebenarnya
"Menjelajah sekitar USA tidak memerlukan jumlah wang yang besar pun. Kos sewa kereta di sana hanyalah $18 sehari untuk sebuah kereta sedan lengkap, $36 sehari untuk kereta Mustangs, dan $56 sehari untuk kereta convertible (boleh buka bumbung). $20 di sana membolehkan saya membeli pelbagai jenis groceries dalam satu bakul besar untuk digunakan selama dua hari untuk dua orang.
"Satu jam bekerja secara part time di McDonald's akan dibayar sebanyak $10. Bayangkan jika bekerja sepenuh masa di USA, gaji minimum adalah sebanyak $3,000 sebulan. Dan GoPro pula hanya berharga $499. Masih ada banyak lagi baki bukan? Kuasa membeli di sana amat besar jika dibandingkan dengan Malaysia.
"Namun begitu, ada juga yang mahal. Sebagai contoh New York City. Kami menghabiskan lebih banyak duit dengan hanya tinggal di New York sahaja. Dengan wang itu, kami sebenarnya boleh melawat ke 2 hingga 3 bandar berbeza dengan kos yang lebih rendah.
"Nampak tak, staying is actually more expensive than travelling. Sebab itu kami pilih untuk sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain. Kami tak ada rumah, kami tak ada kereta, kami tak ada apa-apa komitmen, jadi kami sentiasa bergerak," katanya.
Hadhinah juga memberitahu bahawa layanan penduduk USA terhadap Muslim tidaklah seteruk seperti yang dilaporkan di media. Beliau sendiri mengakui tidak rasa seperti orang asing pun ketika berada di sana.
"Tak ada masalah untuk menjadi seorang Muslim di USA. Tapi kadang-kadang ada juga yang pandang pelik, tapi bukan kerana saya Muslim, cuma sebab saya nampak berbeza daripada mereka. Kini, semakin ramai orang yang boleh bertolak ansur dengan Muslim. Saya sendiri tak sangka pada mulanya.
"Saya faham, ramai orang Islam yang takut untuk menjejakkan kaki di bumi USA disebabkan Islamophobia dan macam-macam lagi isu berkaitan. Tetapi percayalah, mereka bukan orang jahat, malah mereka sebenarnya lebih mesra berbanding orang kita.
"Mereka tidak segan untuk menegur strangers di jalanan atau melemparkan senyuman. Bahkan, budi bahasa mereka juga begitu tinggi. Saya rasa kedatangan saya sangat dialu-alukan di sini dan tak rasa seperti orang luar pun. Mereka melayan saya dengan begitu baik sekali," kata Hadhinah.
Meskipun begitu, Hadhinah turut mengakui bukan mudah untuk berhijrah ke negara lain, terutamanya negara yang begitu jauh dari tempat tinggal asal
"Bukan mudah untuk tinggal berjauhan dengan keluarga dan berada di negara orang lain. Ada juga waktunya di mana saya menangis kerana terlalu rindukan keluarga. Tetapi saya sanggup korbankan semua itu demi mengejar cita-cita saya.
"Saya rindukan negara saya, keluarga saya, adik beradik saya, ibu bapa saya, rumah saya, tempat tinggal saya, dan macam-macam lagi. Cuma, apa yang boleh saya katakan, saya melakar lebih banyak detik gembira berbanding detik duka selama saya berhijrah. Oleh itu, saya bersyukur," ujar Hadhinah.
Apabila bertanya bagaimana cara beliau simpan duit, Hadhinah hanya menjawab, "Elakkan beli macam-macam benda"
"Ramai orang tanya saya bagaimana caranya untuk simpan duit dan berjimat cermat. Jawapan saya mudah iaitu, 'Just don't buy a lot of things.' Jangan pergi minum kopi mahal, jangan pergi tengok wayang selalu, jangan beli baju tiap-tiap bulan, dan elakkan beli barang bersifat "kehendak".
"Simpan duit bukanlah sesuatu yang magik. Kalau nak tahu lebih lanjut macam mana cara nak uruskan wang, pergilah melancong. Selagi duduk rumah, selagi itulah susah nak belajar. Pergi keluar, cuba, dan jangan terlalu memikirkan tentang duit. Kalau sayang duit, sampai bila pun tak akan keluar rumah. Always leave room for spontaneous things in life," katanya.
Akhir kata dari Hadhinah:
"Tuhan ciptakan dunia terbentang luas di hadapan mata kita untuk kita teroka seluas-luasnya, bukan untuk kita duduk di satu tempat sahaja. Jadi mengembaralah, kerana air yang mengalir lebih baik daripada air yang bertakung." :)
Follow Hannah On Earth di:
1. Instagram hannahonearth
2. Facebook Hadhinah Felice
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!