"Saya Sangat Menderita" - Luah Pelajar Homoseksual Dan Ateis Ini Setelah Dibuang Keluarga
Terlalu berat nampaknya masalah ini.
Dibuang oleh keluarga sendiri, hidup seorang pelajar Malaysia di Kanada ini hancur berkecai dan huru-hara
Setelah ibunya mendapati bahawa dirinya adalah seorang homoseksual dan ateis, Hazim Ismail dibuang keluarga dan sejak daripada itu langsung tidak menerima apa-apa pembiayaan.
Hazim telah dibiayai oleh ibunya sehingga akhir tahun lalu apabila ibunya menemui gambar-gambar dia dan rakan-rakannya di sebuah gay bar di Winnipeg, Kanada.
Dalam kemarahan, ibunya menarik segala pembiayaan dan meninggalkan Hazim seorang diri. Kini, dia terpaksa menyara hidupnya sendiri di negara asing.
Hazim mengakui kehidupannya selepas itu begitu kucar-kacir dan tidak ada hala tuju. Dia juga bergelut dengan kecelaruan personaliti yang dihadapinya.
"Saya telah bergelut dengan kecelaruan personaliti. Dan selepas dibuang keluarga, saya sangat menderita sehinggakan keupayaan saya untuk menghadapi cabaran hari-hari menjadi terlampau ekstrem," ujar Hazim.
Hazim tidak tahu apa akan terjadi kepada masa depannya. Dia memutuskan untuk mengharunginya satu hari ke satu hari.
"Keluarga saya perlukan masa untuk sembuh. Saya harap mereka akan sedar bahawa menjadi seorang homoseksual dan ateis tidak ada perbezaan dengan orang biasa," jawab Hazim setelah ditanya mengenai reaksi keluarganya.
Setelah buntu, Hazim terpaksa merayu kepada pengikut talian GoFundMe sejak November, dalam usaha terdesak untuk mendapatkan wang bagi membiayai semester musim sejuk pada 2016
Hazim beralih kepada pengumpulan dana dari orang ramai melalui halaman GoFundMe supaya dia boleh meneruskan pengajian dalam bidang psikologi di Universiti Winnipeg, dan mengekalkan status imigresen di Kanada.
Hazim memberitahu CTV Winnipeg, dia sangat bersyukur di atas sokongan yang diterimanya daripada masyarakat Winnipeg dan juga Universiti Winnipeg yang telah mengeluarkan kenyataan sokongan.
"Hazim adalah seorang yang berani dan pintar, dan kami berbangga dengan kehadiran beliau sebagai pelajar kami. Kami akan memantau kempen GoFundMe dan kami akan memastikan dia dapat menyempurnakan semester musim sejuk di sini," kata kenyataan itu.
Ramai orang mengkritik sikap terbuka Hazim mengenai orientasi seksual serta fahaman ateis beliau. Disebabkan itu, Hazim berasa takut untuk pulang ke Malaysia.
Walau bagaimanapun, rakan-rakan Hazim di Malaysia amat bimbangkan keselamatan Hazim di sana.
"Ada di antara mereka yang memberi mesej sokongan dan perpaduan. Sesetengah juga bantu menyumbang sejumlah wang kepada GoFundMe," katanya.
Sebagai seorang Muslim, Hazim diajar homoseksual itu adalah sesuatu yang luar biasa dan di luar tabii'.
"Dengan hanya mempersoalkan kewujudan Allah sudah tidak boleh diterima. Dan sekarang, saya fikir mesti dah tak ada cara untuk saya diterima semula seperti dulu bila saya pulang nanti," katanya lagi.
Hazim bagaimanapun berkata, dia sentiasa berhasrat untuk pulang ke Malaysia bagi membantu menyumbang perubahan positif kepada tanah air tercinta, dan membantu orang ramai untuk "bangun"
Sumber: Free Malaysia Today, CBC News Canada, GoFundMe
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!