seismik

Daripada Langsung Tiada Ilmu Bisnes, 'Cala Qisya' Kini Antara Jenama Fesyen Muslimah No. 1

Jenama 'Cala Qisya' kini antara yang terbesar di Malaysia.

Cover image via Instagram @calaqisya

Sebelum kita terjun ke dalam sesuatu bidang, perkara paling utama yang perlu kita ada semestinya ilmu atau knowledge

Image via giphy.com

Nak memandu kena ada ilmu, nak cari kerja kena ada ilmu, nak kahwin kena ada ilmu, nak meniaga pun kena ilmu. Senang kata, semua benda pun memerlukan ilmu.

Tapi, tak semestinya ilmu kena cukup dulu baru boleh kita mulakan sesuatu. Kalau nak tunggu sampai ilmu cukup, sampai bila-bila pun kita tak akan mula. Ilmu itu kan satu perjalanan yang tak akan tamat.

Inilah approach yang digunakan oleh pengasas jenama pakaian Muslimah 'Cala Qisya' pada awal pembabitan dalam dunia perniagaan dulu. Ilmu meniaga tiada langsung, tapi beliau tetap mahu mencuba nasib.

Pengasas 'Cala Qisya', Farah Ilyana Khairuddin.

Image via Instagram @yanakhairuddin

Pengasas 'Cala Qisya', Farah Ilyana Khairuddin memulakan perniagaan ketika masih menuntut dalam jurusan Sarjana Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 2009. Pada waktu itu, perniagaannya hanyalah bersifat kecil-kecilan dan produk tudung serta shawl hanya dijual kepada rakan-rakan di universiti.

"Setiap kali balik ke kampus, kawan-kawan selalu tanya saya di mana saya dapatkan tudung atau shawl yang cantik-cantik. Dari situlah tercetusnya idea untuk memulakan perniagaan. Sebelum balik ke Johor, saya akan singgah ke Jalan TAR dahulu untuk membeli belah beberapa helai tudung untuk dijual sana. Saya mulakan dengan modal RM100 saja dulu," kata Farah Ilyana atau lebih mesra dengan panggilan Yana.

Salah satu faktor mengapa Yana memilih untuk menjual produk Muslimah adalah disebabkan kepayahan untuk mendapatkan pakaian berkonsep Islamik pada ketika itu

"Waktu itu memang susah nak dapatkan pakaian Muslimah. Kalau ada sekali pun, kebanyakan fabrik adalah jarang dan see through, dan juga mahal. Pelajar memang tak mampu nak beli. Oleh itu, saya mempunyai misi untuk menyediakan pakaian Muslimah dengan harga berpatutan, pada masa yang sama mendidik para wanita agar berpakaian mengikut syariat Islam.

"Sejak kecil lagi, ibu memang suka hiaskan saya dan adik beradik. Ibu akan pakaikan baju yang cantik-cantik, siap dengan stokin, headband, dan macam-macam lagi aksesori. Sebenarnya dari kecil lagi orang dah boleh nampak yang kami ini memang suka berfesyen. Ini juga menjadi salah satu sebab kenapa saya terjun ke dalam bidang fesyen Muslimah," kata Yana.

Yana mengakui pada mulanya beliau memang tak tahu apa-apa langsung tentang berniaga. Dia yang bekerjasama dengan adiknya hanya "hentam kromo" sahaja asalkan produk mereka terjual dan ada sedikit keuntungan.

"Semakin lama semakin ramai pula orang yang berminat. Jadi, saya bersama adik saya, Farah Mislina buka satu akaun di Facebook dengan nama 'Oh! Saya Gila Shawl!'. Kami mendaftar syarikat pun menggunakan nama yang sama di SSM. Tetapi, SSM tidak benarkan penggunaan perkataan 'Gila' dalam nama syarikat. Jadi kami tukarkannya kepada 'Oh Saya Suka Shawl'. Nama syarikat, akaun bank, dan buku bank semuanya menggunakan nama yang sama.

"Kami sendiri tak sangka tiba-tiba ramai yang suka dengan produk kami. Padahal pada waktu itu, kami hanya mengambil produk dari Jalan TAR dan mengambil gambar produk-produk tersebut menggunakan kamera digital biasa sahaja, bukan kamera DSLR. Kualiti gambar memang tak menarik.

Contoh gambar-gambar yang digunakan di awal pemabitan dalam bidang perniagaan melalui akaun 'Oh! Saya Gila Shawl!'.

Image via Hazwan Faiz/Facebook

"Kemudian gambar-gambar yang kami ambil itulah yang kami muat naik ke laman FB. Kami tak ada duit nak beli DSLR, nak tempah studio, dan nak tempah model. Semuanya dilakukan secara 'hentam kromo' asalkan ada orang beli.

"Mujur ketika itu saya dan suami sudahpun mempunyai pengikut masing-masing melalui blog 'hentakbelipat'. Dari situ juga saya dan suami dapat mempromosikan produk-produk jualan saya," jelas Yana.

Mujur juga pada waktu itu, mereka mempunyai hubungan baik dengan pengasas 'Radiusite', satu lagi jenama tudung yang begitu popular. Menurut mereka, Radiusite lah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka.

"Radiusite dah mula meniaga lebih awal dalam setahun lebih. Mula-mula, kami rasa hairan bila tengok mereka buat duit tanpa perlu keluar rumah. Pada masa yang sama kami rasa sangat curious macam mana mereka boleh survive.

"Kami meminta pertolongan dari mereka untuk memberikan sedikit tunjuk ajar dalam bidang perniagaan. Selepas itulah baru kami membuat keputusan untuk mula serius berniaga secara full-time dan untuk menjadikan perniagaan ini sebagai sumber pendapatan utama kami. Modal kami pun meningkat dari RM100 ke RM200 ke RM500 dan seterusnya," ujar Farah Mislina atau Farah.

Setelah bilangan pengikut mencecah ribuan orang, nama ''Oh! Saya Gila Shawl!'' ditukar kepada 'Cala Qisya' pada 2011 yang memberi maksud 'Kehidupan Yang Baik Dalam Istana'

"Nama 'Cala Qisya' itu kami dapat melalui Google search sahaja sebenarnya. Cala bermaksud 'istana', manakala Qisya pula bermaksud 'kehidupan yang baik'. Bila digabungkan maka terbentuklah jenama 'Cala Qisya'.

"Bermula dari detik itu, kami menggelar para pelanggan kami sebagai 'Cala Queens', pekerja-pekerja kami sebagai 'Cala Soldiers', dan produk-produk kami juga dimulakan dengan perkataan 'Cala' seperti 'Calashoes'. Logo kami pula ada gambar istana," kata mereka.

Salah satu kelebihan yang ada pada 'Cala Qisya' ialah jenama ini antara yang terawal mengeluarkan rekaan jubah moden yang lari dari konsep jubah hitam Abaya

"Kami merupakan antara trendsetter terawal dalam menghasilkan jubah moden. Sebelum ini jubah hanya sinonim dengan warna hitam dan berkonsep Abaya. Tetapi kami 'lari' sedikit dari konsep tersebut dengan mengeluarkan koleksi jubah moden pelbagai gaya dan warna.

"Kami juga antara yang pertama menggunakan fabrik satin. Bila dah ramai orang ikut, kami bertukar pula ke fabrik lain, dan mulakan pakaian kasual. Selepas itu, kami beralih kepada blouse panjang kerana sudah terlalu banyak blouse pendek di pasaran.

"Konsep kami mudah. Kami hanya bayangkan baju apa yang senang dipakai setiap hari, kemudian kami design rekaan baju kami sendiri, dan jadikan ia kenyataan. Jenama kami sememangnya memfokuskan kepada jenis pakaian everyday wear sama seperti H&M atau Uniqlo. Harga yang kami letakkan juga amat berpatutan dan tidak terlalu mahal," kata Yana dan Farah.

Selain itu, 'Cala Qisya' juga merupakan salah satu pelopor dalam mengadakan sale atau jualan murah sehingga orang ramai sanggup beratur panjang di luar kedai

Zaman sekarang memang sudah menjadi trend dimana orang ramai sanggup beratur sehingga berjam-jam di luar butik semata-mata tak nak lepaskan peluang menikmati potongan harga pada pakaian kegemaran mereka.

Tetapi apa yang ramai tak tahu, trend ini sebenarnya bermula beberapa tahun lalu semasa 'Cala Qisya' mengadakan 'Student Sale' dengan diskaun sehingga 70%. Dan sehingga kini, 'Student Sale' semakin meriah dengan begitu ramai pelanggan.

"Sambutan sangat memberangsangkan! Kami sendiri tak sangka orang akan sanggup beratur untuk mendapatkan produk kami. Itulah salah satu detik yang melonjakkan lagi dan menjadikan jenama 'Cala Qisya' lebih terkenal. Setiap tahun kami akan adakan sale seperti ini khas buat para pelanggan setia kami," ujar mereka.

Sejak daripada itu, jualan produk 'Cala Qisya' semakin lama semakin meningkat dan konsisten. Tetapi mereka sedar bahawa mereka perlu memperkasakan lagi jenama ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"Sebelum ini, kami memang tak tahu apa-apa tentang marketing. Modal yang kami ada pun banyak dihabiskan kepada penghasilan pakaian. Kami tak pernah terfikir pun nak sewa studio, upah model, dan upah jurukamera untuk photoshoot. Macam yang kami terangkan tadi, kami hanya menggunakan kamera digital biasa dan bantuan rakan-rakan.

"Promosi kami hanyalah melalui ikon-ikon insta famous di Instagram. Marketing cost yang kami keluarkan pun sangat sedikit. Kemudian baru kami sedar bahawa kuasa marketing itu amat penting. Kami pun mula mengambil model Muslimah untuk peragakan pakaian kami, buat photoshoot di studio, dan macam-macam lagi yang berkaitan.

Booth 'Cala Qisya' di Mood Republik yang diadakan di PWTC pada Disember 2015.

Image via Instagram @calaqisya

"Dan pada 2015, kami mengorak langkah ke hadapan dengan memasuki radio Hot FM pada bulan Ramadhan dan mengambil slot berbuka puasa. Itulah kali pertama kami melakukan satu kelainan dari segi pemasaran bagi jenama 'Cala Qisya'," kata mereka lagi.

Meskipun begitu, 'Cala Qisya' dihimpit satu kontroversi besar apabila kasut keluaran mereka 'Calashoes' didakwa diperbuat daripada kulit babi disebabkan oleh three dots yang terdapat pada kasut berkenaan

"Ada satu akaun Instagram yang selalu bawa mulut tentang berita-berita panas dan sensasi. Kebanyakannya hanya berkisar mengenai kontroversi selebriti Malaysia. Tetapi entah macam mana tiba-tiba nama 'Cala Qisya' pun terselit sekali. Kami ini bukannya selebriti.

Dakwaan penggunaan kulit babi oleh sebuah akaun di Instagram.

Image via www.beritapremium.com

"Akaun itu menuduh produk 'Calashoes' kami diperbuat daripada kulit babi kerana terdapat three dots pada kasut berkenaan. Ya, memang ada three dots tapi tak semestinya itu adalah kulit babi. Sebenarnya, three dots itu hanyalah kesan cetakan daripada mesin.

"Isu ini telah kami selesaikan pada 2014 lagi. Tetapi pada 2015, akaun itu tiba-tiba mengangkat semula isu tersebut. Dan tak semena-mena jenama 'Cala Qisya' tercalar sekali lagi. Lebih buruk, akaun tersebut mempunyai ratusan ribu pengikut. Jadi kesannya amat besar," kata mereka.

Walau bagaimanapun, tuduhan tidak berasas itu dapat dipatahkan. Mujur peminat-peminat 'Cala Qisya' tidak mudah percaya dengan fitnah sebegitu.

"Kasut yang ada three dots itu adalah keluaran lama kami. Produk 'Calashoes' yang baru semuanya custom made dan tiada lagi three dots tersebut.

"Kami bersyukur kerana mempunyai fan base yang sangat kuat. Mereka semua memainkan peranan yang besar dalam menyokong kami ketika kami sedang dihimpit kontroversi. Akhirnya, akaun tersebut telah dipadam hasil daripada 'serangan' penyokong kami.

"Imej kami sedikit tercalar tetapi buat seketika saja. Kami mengambil langkah untuk tidak melayan segala tuduhan yang tidak berasas terhadap kami. Mereka tunggu saja masa untuk kami 'meletup' tetapi kami tetap mendiamkan diri. Akhirnya, mereka sendiri yang terus senyap.

"Ura-ura ada mengatakan bahawa akaun tersebut telah dibayar untuk menjatuhkan kami. Mungkin sebab itulah nama 'Cala Qisya' tiba-tiba terselit dikalangan selebriti lain," jelas mereka.

Salah satu usaha kami untuk jelaskan yang material kasut @thecalashoes bukan diperbuat daripada kulit babi. Material yang dikatakan diperbuat daripada kulit babi (oleh seorang individu di instagram) sangat tidak munasabah. Jika dilihat di sini, kulitnya mudah terbakar menunjukkan kasut kami adalah l dari material PU leather iaitu campuran getah artificial. Dan bila bakar bau sangat kuat dearies.Harap penjelasan ini sedikit sebanyak menjernihkan keadaan.

Posted by Cala Qisya on Thursday, August 6, 2015

Kini, 'Cala Qisya' sudah mempunyai 4 butik di 4 lokasi berbeza iaitu di Shah Alam, Bangi, Ipoh, dan Johor Bahru. Perniagaan mereka nampaknya semakin lama semakin maju.

"Bukan mudah untuk kami sampai ke tahap sekarang ini. Pelbagai dugaan dan cabaran perlu kami tempuhi. Walaupun kami langsung tiada ilmu meniaga, kami tetap bersemangat dalam membangunkan jenama ini, dan sentiasa belajar dari hari ke hari tanpa jemu.

"Kami sudah mempunyai 4 butik di 4 lokasi berbeza, dan kami juga mempunyai pekerja kami sendiri. Namun begitu, kami tetap perlu 'turun padang' setiap hari bagi memastikan perniagaan berjalan lancar. Kami bina jenama ini dari bawah. Jadi mustahil jika kami hanya mahu 'lepas tangan' dan biarkan saja ia beroperasi secara auto pilot," kata mereka.

Akhir kata dari Yana dan Farah:

"Tidak kiralah siapa pun kamu, sentiasalah jaga hubungan baik dengan semua orang kerana mereka adalah nyawa kita yang tidak ternilai. Itulah salah satu rahsia untuk berjaya."

Farah Mislina (kiri) dan Farah Ilyana.

Image via Farouq Johari/SAYS

Follow 'Cala Qisya' di:

1. Instagram @calaqisya
2. Facebook Cala Qisya
3. Twitter @calaqisya

Lagi kisah inspirasi di SAYS SEISMIK:

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

You may be interested in: