Hilang Kerja Sebagai Pereka Tudung, Pemegang Ijazah Ini Kerja Angkat Sampah Dengan Caj RM1
Asalkan sumber pendapatannya adalah halal bukan?
Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang besar kepada ekonomi di seluruh dunia termasuk Malaysia
Di negara ini sahaja, laporan menyatakan bahawa tahap pengangguran serta peratusan individu yang kehilangan pekerjaan meningkat berkali ganda berbanding biasa ekoran daripada krisis yang berlaku susulan pandemik Covid-19.
Kesannya, ramai dalam kalangan kita terpaksa melakukan pelbagai cara semata-mata untuk mencari wang dan bertahan demi kelangsungan hidup selepas kehilangan pekerjaan.
Buktinya, di media sosial, ramai yang sudah mula mengiklankan kerja yang sanggup dilakukan mereka untuk mencari sumber pendapatan seperti menjadi dropship, agen sesuatu produk, menjual bakeri dan banyak lagi.
Seperti kisah ini, seorang gadis sanggup melakukan kerja mengutip sampah selepas dia kehilangan pekerjaan sebagai pereka tudung
Memetik laporan, Wan Nur Elisa Adreena Wan Jusoh yang baru berusia 24 tahun tidak sedikit pun berasa malu dan sanggup menawarkan khidmat mengangkat sampah khusus buat penduduk di Apartmen Cempaka Sari, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi semata-mata untuk mencari rezeki yang halal.
Apa yang lebih menyentuh hati, pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seni bina ini hanya mengenakan caj bagi perkhidmatan itu sebanyak RM1 sahaja.
"Saya baru tawarkan khidmat angkat sampah secara sambilan hasil inspirasi rakan saya yang membuat infak tepung pelita ketika Ramadan baru-baru ini.
"Rakan saya mula jual tepung pelita. Apabila ada pelanggan mahu infak dia akan beri kepada orang miskin, kaya, bukan Islam dan Islam.
"Jadi saya terfikir apa salahnya ambil peluang mencari pahala dan rezeki dalam masa sama," katanya.
Bagi Wan Nur Elisa, dia menggunakan kesempatan yang ada ini untuk melakukan perkhidmatan tersebut sementara mencari pekerjaan yang lain
Tidak bercadang untuk menjadikan ia sebagai pekerjaan tetap, gadis ini berkata meskipun caj RM1 itu dilihat agak murah namun dia yakin ia mampu membantu orang ramai.
"Mungkin bayarannya kelihatan murah dan tidak berbaloi namun saya yakin ia mampu membantu orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai perkhidmatan yang dibuat olehnya itu, dia berkata pelanggan hanya perlu menghantar pesanan WhatsApp maklumat berkaitan nombor rumah, blok dan tingkat kediaman dihuni.
"Saya sendiri akan pergi mengutip sampah diletakkan di hadapan rumah mereka. Tetapi saya hanya hadkan dua bungkusan sampah bagi setiap kediaman.
"Saya hanya menerima sampah domestik dan tidak menguruskan pembuangan peralatan atau perabot besar berikutan pangsapuri ini tiada kemudahan lif.
"Bagi saya khidmat angkat sampah berkenaan bukan untuk mencari duit semata-mata, tetapi sebagai usaha bersedekah dengan cara berbeza," katanya lagi.