seismik

Idea Resipi 'Baby Food' Sesuai Untuk Si Manja Berumur 6 Bulan Ke Atas. Jom Cuba, Mummies!

Dapatkan pelbagai idea menu idea makanan untuk bayi 6 bulan hingga 12 bulan yang sangat ringkas dan penuh nutrisi!

Cover image via Shutterstock via Monjunction | Buona Pappa

Usia 6 bulan merupakan antara detik paling mengujakan untuk mana-mana parents. Ibu bapa mana yang tidak excited untuk lihat si manja mereka mencuba solid foods buat pertama kali?

Image via Reddit

Sebagai rujukan, umur 6 bulan disyorkan oleh badan-badan perbadanan kesihatan seperti World Health Organisation dan UNICEF sebagai umur optimum untuk bayi mula mencuba makanan.

Ini adalah kerana secara umumnya, bayi berumur 6 bulan mempunyai sistem penghadaman yang agak matang dan bersedia untuk mula menerima makanan. Pada umur ini juga, bayi selalunya sudah mula pandai menelan makanan.

Ingin dapatkan idea menu yang boleh disediakan untuk bayi anda? Ikuti resipi-resipi mudah mengikut setiap peringkat umur ini!

Nota penting: Maklumat dan resipi yang dikongsi di dalam artikel ini bertujuan untuk pengetahuan am sahaja. Untuk mendapatkan kepastian, bincangkan pelan makanan anda bersama doktor bayi anda terlebih dahulu.

Image via SAYS

Pada peringkat umur ini, makanan yang diberikan kepada bayi anda lebih elok jika dimasak terlebih dahulu supaya ianya mudah dihadam.

Hidangkan puri makanan yang tidak dicampurkan dengan bahan-bahan lain buat masa ini. Ini bertujuan untuk anda ketahui jika bayi anda mempunyai reaksi alahan terhadap sesuatu makanan.

Antara makanan sesuai untuk bayi berumur 6 - 8 bulan:
Buah-buahan: Pisang, epal, pir, avokado
Sayur-sayuran: Lobak merah, ubi keledek, kacang peas
Bijirin: Barli, oat, nasi

1. Pisang puri

Bahan-bahan:
- 1 biji pisang (dikupas dan dihiris)
- Air masak / susu ibu / susu formula

Cara-cara:
1. Lenyekkan pisang.
2. Panaskan adunan selama 25 saat atau lebih untuk lembutkan lagi pisang.
3. Cairkan adunan dengan air / susu.
4. Siap untuk dihidang!

Sumber resipi: Momjunction

2. Lobak merah puri

Bahan-bahan:
- 1 biji lobak merah (dibuang kulit dan dipotong kiub)
- Air masak / susu ibu / susu formula

Cara-cara:
1. Cuci bersih lobak merah. Jika boleh, gunakan lobak merah organik.
2. Masukkan ke dalam blender dan kisar hingga hancur.
3. Cairkan dengan air / susu.
4. Siap untuk dihidang!

Nota: Kaedah mengukus lebih baik daripada merebus kerana ianya dapat mengekalkan kandungan zat di dalam bahan makanan.

Sumber resipi: Momjunction

3. Bubur nasi

Image via Aya Chalo

Bahan-bahan:
- 1/4 cawan beras (dicuci bersih dan dikisar halus)
- 1 3/4 cawan air

Cara-cara:
1. Didihkan air.
2. Masukkan beras dan kacau.
3. Biar reneh dan teruskan mengacau sekurang-kurangnya 10 minit.
4. Siap untuk dihidang!

Nota: Untuk mendapatkan kandungan khasiat yang lebih baik, beras perang boleh digunakan sebagai alternatif.

Sumber resipi: Aya Chalo

Image via SAYS

Pada peringkat umur ini, anda boleh mencuba gabungan buah-buahan dan sayur-sayuran yang disukai si manja untuk menghasilkan perisa yang lebih menyelerakan.

Makanan berprotein seperti ayam dan daging juga boleh mula diperkenalkan. Telur juga boleh dicuba tetapi mulakan dengan telur kuning sahaja. Telur putih boleh menyebabkan masalah dari segi reaksi alahan, dan selalunya akan diberikan kepada bayi berumur 1 tahun ke atas sahaja.

Bayi pada peringkat umur ini juga boleh mula mencuba produk tenusu dipasteur seperti keju dan dadih.

Antara makanan sesuai untuk bayi berumur 8 - 10 bulan:
- Buah-buahan: Mangga, pic, plum, kelapa, betik, anggur, kiwi
- Sayur-sayuran: Brokoli, kubis bunga, timun, asparagus, labu, terung, bawang
- Protein: Ayam, daging, telur kuning, tauhu 
- Produk tenusu dipasteur: Keju, dadih

1. Brokoli bawang putih puri

Image via Buona Pappa

Bahan-bahan:
- 1 kepala brokoli (bahagian floret sahaja)
- 1 ulas bawang putih
- Air masak

Cara-cara:
1. Cuci bersih brokoli dan bawang putih. Jika boleh, gunakan brokoli organik.
2. Kukus brokoli dan bawang selama 10 minit.
3. Kisar bersama sedikit air hingga hancur.
4. Siap untuk dihidang!

Sumber resipi: Buona Pappa

2. Telur kuning hancur

Image via Weelicious

Bahan-bahan:
- 1 biji telur rebus (ambil telur kuning sahaja)
- 1 sudu kecil air masak

Cara-cara:
1. Lenyekkan telur kuning hingga hancur.
2. Masukkan air dan gaul sebati.
3. Siap untuk dihidang!

Sumber resipi: Weelicious

3. Bubur oat kurma keju

Bahan-bahan:
- Oat (direndam)
- Labu (dipotong kiub)
- Bawang merah dan bawang putih (dicincang)
- Puri kurma
- Keju (diparut)
- Minyak zaitun

Cara-cara:
1. Tumis bawang putih dan bawang merah.
2. Masukkan labu.
3. Masukkan air dan masak hingga empuk.
4. Masukkan oat dan gaul.
5. Masukkan puri kurma dan gaul.
6. Apabila sudah kembang, masukkan parutan keju.
7. Siap untuk dihidang!

Sumber resipi: Mummy Zahra Nak Cerita

Image via SAYS

Pada peringkat umur ini, bayi anda kemungkinan besar sudah mula berminat untuk cuba perisa dan tekstur baru!

Puri yang dihidangkan tidak perlu terlalu cair - kisarnya sedikit kasar dan chunky untuk tekstur lebih menarik. Makanan lembut dipotong kiub kecil juga boleh dihidangkan. Anda boleh juga bereksperimen dengan rempah dan herba untuk berikan perisa-perisa baru untuk dicuba si manja.

Bahan-bahan berperisa masam juga boleh diperkenalkan pada waktu ini, contohnya seperti beri, tomato, dan buah-buahan sitrus.

Ikan juga biasanya mula diperkenalkan kepada bayi di peringkat umur ini.

Antara makanan sesuai untuk bayi berumur 10 - 12 bulan:
- Buah-buahan: Beri, buah-buahan sitrus
- Sayur-sayuran: Tomato, bayam, kekacang
- Protein: Ikan
- Bijirin: Pasta

1. Tuna, tomato dan bayam lenyek

Image via Annabel Karmel

Bahan-bahan:

- 1 biji bawang leek (dihiris)

- 300g ubi kentang (dikupas kulit dan dipotong kiub)

- 1 sudu kecil mentega

- 160g tuna tin (dibuang minyak)

- 50g sayur bayam (dicincang)

- 1 biji tomato (dipotong kiub)

- 50g keju Cheddar parut


Cara-cara:

1. Cuci kesemua bahan sehingga bersih.

2. Rebus bawang leek bersama ubi 15 minit hingga empuk.

3. Toskan dan lenyekkan.

4. Panaskan mentega dan tumis bayam dan tomato hingga lembut. Masukkan tuna, ubi kentang, dan bawang leek. Gaul.

5. Masukkan keju dan gaul.

6. Siap untuk dihidang!

Nota: Jika boleh, gunakan bahan-bahan organik.

Sumber resipi: Annabel Karmel

2. Strawberry smoothie

Bahan-bahan:

- 8 biji strawberi (dibuang tangkai)

- 1/2 biji pisang (jika mahu)

- 1/4 cawan yoghurt

- 1 cawan air masak / susu ibu / susu formula 


Cara-cara:

1. Cuci strawberi hingga bersih.

2. Masukkan strawberi, pisang, yoghurt, dan air / susu. Kisar hingga sebati.

3. Siap untuk dihidang!


Sumber resipi: Love and Duck Fat

3. Banana cinnamon toast

Bahan-bahan:

- 1 keping roti (dipotong menjadi bentuk fingers)

- 1 biji pisang

- 60ml susu ibu / susu formula

- Sedikit serbuk kayu manis


Cara-cara:

1. Di dalam mangkuk, lenyekkan pisang, susu, dan serbuk kayu manis hingga sebati.

2. Celupkan roti di dalam adunan dan panaskan di atas kuali selama 1 ke 2 minit hingga keemasan.

3. Siap untuk dihidang!


Sumber resipi: Onehandedcooks.com.au

Image via SAYS

Pada peringkat umur 1 tahun ke atas, bayi anda boleh mula menikmati makanan dewasa! Yang penting, pastikan makanan tersebut dihidangkan dengan potongan kecil untuk mengelakkan risiko tersedak atau tercekik.

Perasa seperti garam dan lada juga boleh diperkenalkan pada tahap ini. =)

Selamat mencuba!

Image via Giphy

Ada resipi baby food anda sendiri untuk dikongsikan? Beritahu kami di ruangan komen!

Dapatkan banyak lagi tips khas untuk ibu bapa di sini:

You may be interested in: