Individu Ini Kongsi Bagaimana Mereka Bertukar Dari Rokok Konvensional Ke Produk Alternatif
Jom baca dan ikuti perkongsian mereka.
Perubahan teknologi kini telah membuatkan pelbagai industri melalui proses penambahbaikan dan industri gaya hidup turut tidak terkecuali
Misalnya, seperti rokok elektronik (vape dan produk pemanasan tembakau) juga diciptakan sebagai alternatif terbaik bagi menggantikan rokok biasa.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rokok elektronik terbaru juga dikenali sebagai ‘E-Cigs’, ‘mods’, ‘E-Hookahs’ dan pod. Peranti elektronik yang mengandungi nikotin dirujuk sebagai rokok elektronik ‘E-Cigs’, manakala yang tidak mengandungi nikotin adalah vape. Namun, cecair refill yang dijual untuk vape di pasaran berkemungkinan besar masih mengandungi nikotin.
Produk pemanasan tembakau pula tidak membakar tembakau, ia hanya memanaskan tembakau untuk menghasilkan wap bernikotin. Oleh sebab tiada proses pembakaran, maka asap tidak dihasilkan.
Sejak kebelakangan ini, sebenarnya ramai yang beralih ke rokok elektronik sebagai usaha untuk mengurangkan rasa ketagih terhadap nikotin dan juga mengurangkan risiko menghidap kanser paru-paru akibat kandungan tar di dalam rokok biasa.
Namun, orang ramai juga patut tahu bahawa penggunaan produk alternatif terdapat juga risikonya kepada kesihatan walaupun dikatakan lebih baik daripada menghisap rokok.
Jom kita ikuti kisah bagaimana beberapa individu ini bertukar dari rokok konvensional ke produk alternatif:
"Sebatang rokok menghasilkan pelbagai jenis bahan beracun seperti tar dan karbon monoksida yang berbahaya serta memudaratkan kepada kesihatan" - Irfan Azlan, 26 tahun
Di pasaran sekarang, produk alternatif seperti vape, tembakau yang dipanaskan dan e-rokok adalah antara produk yang dikatakan kurang berisiko kepada penggunanya.
Menurut Irfan Azlan berasal dari Putrajaya, dia sendiri merupakan pengguna produk tembakau yang dipanaskan setelah beralih daripada menghisap rokok setahun yang lalu.
"Produk ini tidak dibakar, dan hanya mengeluarkan wap, bukan asap.
"Berbanding sebatang rokok menghasilkan pelbagai jenis bahan beracun seperti tar dan karbon monoksida yang berbahaya serta memudaratkan kepada kesihatan," katanya.
Jelasnya lagi, tabiat merokok memang sukar dihentikan terutama perokok tegar atau bagi individu yang tiada usaha langsung untuk keluar daripada kepompong itu meskipun tahu akibat buruk bakal ditanggung.
"Saya akui bukan senang membuang ketagihan merokok, saya perlu kekuatan mental dan spiritual, selain sokongan moral daripada orang sekeliling bagi meneruskan tabiat berkenaan," kongsinya.
"Hisap vape bantu saya berhenti merokok" - Afiq Khir, 31 tahun
Menurut Afiq Khir yang berasal dari Ampang, Selangor, dia merupakan seorang perokok lebih dari 10 tahun.
Katanya, dia cuba pelbagai cara untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya, sehinggalah pada dua tahun lalu segalanya berubah selepas dia cuba menghisap vape.
"Dalam tempoh sebulan, saya berhenti merokok dan hisap vape. Berdasarkan kajian dan daripada pengalaman sendiri, saya rasa hisap vape boleh membantu perokok mengatasi sindrom ketagihan nikotin dalam tubuh mereka," katanya ketika ditemu bual SAYS Seismik.
Kongsinya lagi, sebotol cecair perisa (flavour) iaitu bahan utama yang digunakan dalam dalam rokok elektronik itu boleh bertahan selama tiga minggu dengan harga RM24, berbanding rokok berjenama terkenal berharga RM17 yang hanya mampu bertahan selama dua hari.
"Saya dah cuba berhenti rokok dengan menggunakan produk seperti gula-gula getah NRT dan ‘nicotine pouch’ tetapi tak dapat perasaan yang sama kecuali semasa saya mencuba vape" - Amsyar Jailani, 21 tahun
Menurut Amsyar Jailani yang berasal dari Shah Alam, Selangor, dia mula terjebak dengan tabiat merokok pada umur 16 tahun tetapi cuba berhenti menghisap rokok untuk menjimatkan wang.
“Dulu, saya berbelanja sebanyak RM50 seminggu untuk menanggung ketagihan saya,” kongsinya.
Oleh itu, dia telah mencuba produk seperti ‘nicotine pouch’ dan gula-gula getah nikotin. Namun, dia tidak mendapat perasaan yang sama walaupun terdapat kandungan nikotin dalam produk-produk tersebut.
“Saya dah cuba berhenti rokok dengan menggunakan produk seperti gula-gula getah nikotin dan ‘nicotine pouch’ tetapi tak dapat perasaan yang sama kecuali semasa saya mencuba vape,” katanya.
Jelasnya lagi, dia tahu mengenai risiko menghisap vape, namun baginya merokok lebih memudaratkan kesihatan. Jadi, dia pilih untuk menghisap vape.
Alternatif yang kurang memudaratkan daripada merokok
Walaupun kategori produk alternatif ini dilihat sebagai baharu, pelbagai institusi kesihatan awam telah mengesahkan bahawa penggunaan produk alternatif adalah lebih baik daripada merokok. Contohnya, Centers for Disease Control and Prevention (CDC) Amerika Syarikat mengatakan bahawa “E-rokok berpotensi memberi manfaat kepada perokok dewasa jika digunakan sebagai pengganti lengkap untuk rokok biasa dan produk tembakau lain yang dibakar.”
Di samping itu, beberapa laporan antarabangsa telah pun dikeluarkan, salah satunya adalah seperti laporan ‘Tiada Pembakaran, Tiada Asap: Pengurangan Kemudaratan Merokok Tembakau Global 2018’ yang mendapati bahawa penggunaan e-rokok lebih selamat berbanding merokok secara tradisional.
Jelas, terdapat negara-negara dan kajian institusi awam yang memahami bahawa produk seperti ini kurang memudaratkan dan oleh itu perokok dewasa harus diberikan maklumat tentang produk alternatif supaya mereka dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang terkini tentang pemilihan untuk terus merokok ataupun beralih ke produk alternatif.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!