"Ini Bukan Negeri Taliban" - Sultan Johor Arah Dobi Mesra Muslim Tutup Dan Mohon Maaf
Panas!
Sebuah kedai dobi yang melaksanakan dasar “mesra Muslim” di Muar, Johor telah menjadi topik hangat di media sosial sejak beberapa hari lalu
Dobi yang mencetus kontroversi itu turut menarik perhatian ahli agama terutamanya Dr MAZA yang menganggapnya sebagai amalan sempit ke arah ekstremisme.
Beliau berkata Islam adalah agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang yang sepatutnya memudahkan bukan menyusahkan.
Dalam masa yang sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris berasa bimbang dengan kewujudan dasar sebegini yang dianggapnya sebagai satu petanda yang menakutkan.
Bagi mengelakkan perbalahan lebih lanjut, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengarahkan supaya dobi itu hentikan operasi dengan segera
Jika pemiliknya enggan, kedai tersebut akan berdepan tindakan ditutup oleh baginda sendiri.
Memetik laporan mStar, Tuanku Sultan Johor bertitah baginda tidak boleh terima perkara mengarut seperti ini. Menurut baginda, negeri Johor adalah sebuah negeri yang progresif, moden, dan bersederhana.
"Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis,
"Beta mahu pemilik dobi itu memohon maaf kepada beta dan seluruh rakyat Johor. Dia telah membuat orang Johor malu dan marah kerana ini bukanlah apa yang Johor mahukan.
"Pemilik itu juga telah melanggar visi Johor untuk bersatu, hidup harmoni, bersederhana dan bertoleransi. Kalau dia mahu meneruskan juga perkhidmatan dobi Muslim itu, dia boleh keluar dari Johor. Beta cadangkan dia buka kedai di Afghanistan. Pemikirannya sempit dan tidak seiring dengan apa yang diperjuangkan di negeri ini," titah baginda.
"Perlakuan ekstremis tiada tempat di negeri beta."
Titah Sultan Ibrahim, pada mulanya pemilik dobi itu meletakkan papan tanda untuk Muslim sahaja dan apabila isu ini menjadi kontroversi, dia menukar papan tanda kepada "Mesra Muslim".
"Tak usah berlagak pandai, ia tetap sama. Pemilik dobi itu perlu dibersihkan otaknya.
"Beta mahu hentikan ekstremism. Perlakuan ekstremis tiada tempat di negeri beta. Kita ada maruah sebagai Bangsa Johor dan beta mahu tahu di mana pemilik dobi itu belajar agama? Islam mengajar untuk bertoleransi dan menghormati kepercayaan orang lain," titah baginda lagi.
Selepas menerima teguran, pemilik premis tersebut akhirnya memohon maaf dan akur dengan titah Sultan
Bercakap kepada Free Malaysia Today, pemilik Elit Laundry yang enggan dinamakan memohon maaf kepada Sultan Johor, rakyat negeri Johor dan seluruh rakyat di Malaysia yang tersinggung dengan dasarnya yang menerima kecaman pelbagai pihak.
“Saya sudah patuh pada titah Tuanku. Saya memohon maaf pada Tuanku, rakyat Johor atas apa yang berlaku dan berharap kekecohan selama beberapa hari ini akan reda. Saya sudah tidak menggunakan papan tanda berkenaan.
“Saya memang tiada niat untuk menjadikan isu ini suatu perkara yang besar,” katanya.
Bagaimanapun, perniagaan dobi itu tetap berjalan seperti biasa.