Dobi Mesra Muslim Amalan Sempit Ke Arah Ekstrem, Bertentangan Dengan Sifat Islam - Dr MAZA
Pelanggan bukan Islam perlu mencari perkhidmatan dobi yang lain.
Baru-baru ini viral di media sosial mengenai sebuah kedai dobi yang melaksanakan dasar “mesra Muslim”
Kedai dobi di Muar, Johor itu menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan beragama Islam sahaja atas faktor kesucian.
Pemilik dobi berkenaan berkata beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim yang mementingkan kebersihan.
Pelanggan bukan beragama Islam didakwa tidak dibenarkan masuk dan perlu mencari perkhidmatan dobi yang lain.
Dasar "mesra Muslim" yang diguna pakai ini menimbulkan pelbagai persepsi orang ramai di media sosial
"Jadi, darah pun kena asing? Macam mana pula dengan sudu garpu di kafe, perkakas hospital, dan wang kertas yang dipakai?"
Ada juga yang berpendapat perkhidmatan dobi sebegini sepatutnya disediakan di masjid, bukan di tempat awam
Sementara itu, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim berasa terkejut dengan pelaksanaan dobi "Islam sahaja" tersebut
Melalui Instagram, Tunku Idris meluahkan rasa bimbang terhadap kewujudan premis berkenaan yang mengundang perbalahan antara masyarakat.
Tunku Idris menganggap ini adalah satu petanda yang menakutkan.
Dalam satu lagi post yang berasingan, Tunku Idris menulis:
"Islam mengajar saya tentang toleransi dan menghormati orang yang berlainan kepercayaan. Bukan tentang kehebatan ke atas orang lain."
Pendapat Tunku Idris dilihat selari dengan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr MAZA yang menganggapnya sebagai amalan sempit
Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata amalan itu bertentangan dengan ajaran Islam yang memudahkan penganutnya, pada masa sama tidak sesuai dalam masyarakat yang pelbagai agama dan budaya.
“Semua pandangan yang sempit seperti ini akan membawa negara kita ke arah ekstremisme dan hilang imbangan untuk hidup dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya.
"Islam itu agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang. Fikah itu ke arah memudahkan bukan menyusahkan," katanya.
Dr MAZA turut menasihatkan umat Islam agar tidak membuat andaian berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan mereka
"Jika asal sesuatu bahan itu bersih, tidak zahir padanya najis sama ada dari segi warna, bau ataupun rasa, maka ia dikira bersih.
"Andaian yang berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan bukan ajaran Nabi Muhammad yang mudah dan memudahkan kehidupan manusia.
"Saya bimbang nanti ada menggesa orang Islam tidak boleh guna duit yang telah digunakan orang bukan Islam. Ini kerana mereka mengandaikan mungkin ada najis semasa duit itu bertukar tangan.
"Kemudian perlu diasingkan pula bekas makanan yang digunakan orang bukan Islam di restoran. Takut nanti ada kesan khinzir di mulut mereka," katanya lagi.