Dapat 12K Saja Daripada 300K, Ini Laporan Penuh Isu Pengagihan Wang Mangsa Kemalangan DUKE
Semoga Allah bersama mereka yang benar.
[TERKINI] 'Selesaikan pertikaian atau kami ambil mereka' - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan campur tangan sekiranya hak penjagaan dua beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat nahas jalan raya pada Mei tahun lalu, gagal diselesaikan anggota keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim meluahkan rasa kecewa dengan perebutan hak penjagaan Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 8, dan adiknya, Nur Firuza Aqilah, 5.
“Kami memang ada hak mengambil penjagaan anak ini (diletakkan di institusi kebajikan) bagi kepentingan kanak-kanak itu.
"Namun, ia adalah pilihan terakhir. Apa yang saya utamakan ialah mereka diberi kasih sayang sepenuhnya," katanya.
Rohani berkata, beberapa hari selepas tragedi anggota keluarga dua beradik itu telah sepakat menyerahkan hak penjagaan kepada seorang ahli keluarga, namun kini mereka pula bertelagah mendapatkan hak penjagaan
“Pada masa itu, mereka memberi jaminan kepada kami. Ketika itu, saya amat gembira kerana ahli keluarga sepakat menjaga dua beradik itu dan JKM mahu hak penjagaan diberikan kepada ahli keluarga terdekat.
“Kini, apa yang berlaku amat mengecewakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Pembangunan Wanita dan Keluarga semalam di Putrajaya.
Tambahnya lagi, pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat dan laporan lengkap berhubung keadaan dua beradik itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
18 Oktober: Satu siaran media telah diadakan oleh seorang wanita yang merupakan waris kepada tiga beranak yang maut dalam kemalangan di atas lebuhraya DUKE tahun lalu
Yusnidah Hussain, 48, kakak kepada Allahyarham Fairuz Nizam, 35, dalam satu kenyataan mendakwa anak saudaranya yang dijaganya kini hanya menerima RM12,000 daripada RM300,000 jumlah hasil sumbangan orang ramai yang terkumpul di dalam akaun bank dua adiknya yang lain.
Beliau memberitahu bahawa wang sebanyak itu diperolehi selepas dia membuat laporan polis pada 22 Jun tahun lalu.
"Saya sedih kerana wang yang sepatutnya menjadi hak dua anak saudara saya tidak sampai ke tangan mereka untuk digunakan bagi perbelanjaan sekolah dan harian demi masa depan.
"Alasan yang diberikan oleh adik-adik saya, wang itu hak mereka kerana akaun bank peribadi atas nama mereka.
"Mereka turut memberi alasan dengan menggunakan nama Mufti Wilayah Persekutuan bahawa wang itu sah milik mereka mengikut Islam.
"Padahal saya yang menjaga dua anak saudara saya selepas seminggu kematian ibu bapa mereka hingga ke hari ini.
Menurutnya lagi, disebabkan isu tersebut, hubungan beliau adik beradik berpecah belah sehingga berlaku saman-menyaman dan kes kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur
Bagaimanapun, pihak polis tidak boleh mengambil sebarang tindakan atas sebab ini adalah isu keluarga.
Pihak polis hanya boleh mengambil tindakan jika para penderma yang pernah menderma tampil membuat laporan kerana berlakunya pecah amanah.
Tahun lalu, Muhammad Faizznur, 26 memberitahu media bahawa beliau akan mengambil alih tugas kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu selepas kematian abangnya. Namun, menurut Yusnidah, sehingga kini beliau sekalipun tidak pernah menanya khabar dan menjenguk anak-anak buahnya itu.
Isu menjadi semakin hangat. Ramai netizen mengelar tindakan saudara Faizznur dan menyifatkan beliau sebagai seorang yang tamak dan kejam
Bukan itu sahaja, gambar majlis perkahwinan beliau yang berlangsung pada tahun lalu juga mula tersebar di laman Twitter. Ramai yang membuat andaian bahawa kononnya duit sumbangan orang ramai yang diperoleh itu digunakan untuk majlis tersebut.
Setelah dikecam teruk, akhirnya saudara Faizznur mengeluarkan kenyataan beliau di laman Facebook. Menurutnya, beliau telah difitnah dan media sosial bukanlah medium terbaik untuk merungkai permasalahan ini.
Andaian Faizznur bahawa orang ramai akan menyebelahinya meleset sama sekali. Semakin hari semakin ramai yang menempelak beliau di akaun Facebook miliknya sendiri.
Dan semalam Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi di Facebook berkaitan isu ini
Selain itu, seorang peguam, Salkukhairi Abd Sukor turut terpanggil untuk memberi sedikit pandangan dari sudut perundangan
ISU VIRAL PENGAGIHAN WANG SUMBANGAN TERHADAP ANAK MANGSA KEMALANGAN DUKE : APA KATA PEGUAM?
Saya terpanggil untuk memberikan sedikit komen dan pandangan dari sudut perundangan tentang isu yang sedang viral sekarang berkenaan dengan wang sumbangan orang ramai kepada anak-anak mangsa kemalangan maut di lebuhraya DUKE tahun lalu.
Isu tersebut timbul apabila salah seorang kakak kepada arwah mendakwa bahawa wang sumbangan yang didepositkan oleh orang awam dalam akaun dua orang adik beliau telah tidak diagihkan sepenuhnya untuk tujuan perbelanjaan dan kebajikan anak-anak mangsa.
Walaubagaimanapun, kedua-dua mereka mendakwa bahawa, berdasarkan pandangan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, wang tersebut adalah milik dan hak mereka sepenuhnya kerana ianya di depositkan ke dalam akaun mereka sendiri, bukannya atas akaun anak-anak tersebut.
Maka isu yang timbul dalam kes ini adalah:
1. Sama ada kedua-dua adik beradik tersebut dianggap sebagai pemegang amanah (trustees) kepada anak-anak saudara mereka.
2. Sama ada wang sumbangan orang awam yang didepositkan kedalam akaun kedua-dua mereka tersebut dianggap sebagai harta amanah (trust property).
Jika jawapannya ya, maka apakah kesan terhadap tindakan mereka tersebut dari segi perundangan?
Sebenarnya, kalau kita rujuk kepada Akta Pemegang Amanah (Trustees Act) 1949 (selepas ini disebut sebagai “Akta tersebut”), secara ringkasnya, perkataan pemegang amanah itu didifinasikan sebagai :
“Mana-mana pihak, termasuk lah wakil individu, yang mewakili sesuatu pihak yang berkepentingan (benefesiari) untuk sesuatu tujuan tertentu”.
Maka dalam kes ini, saya berpandangan, untuk menentukan sama ada kedua-dua bapa saudara anak-anak arwah tersebut adalah pemegang amanah yang sah atau sebaliknya, kita perlu lihat kepada persoalan adakah tindakan mereka memberikan nombor akaun kepada orang ramai untuk orang ramai menyalurkan sumbangan ke dalam akaun tersebut dianggap secara tersiratnya sebagai mewakili atau bertindak bagi pihak anak-anak saudara mereka, atau tindakan tersebut hanya untuk diri mereka semata-mata?
Jika jawapannya ya, maka sudah pastilah dalam keadaan tersebut mereka bolehlah dianggap sebagai pemegang amanah bagi pihak anak-anak mangsa tersebut.
Dan justeru itu, wang sumbangan orang ramai kedalam akaun mereka bolehlah dianggap sebagai wang amanah bagi pihak anak-anak mangsa, dan bukannya wang peribadi mereka.
Anda mungkin akan berkata, jika bukan dek kerana bersimpati dengan anak-anak mangsa, sudah pasti orang awam tidak akan sewenang-wenangnya mendepositkan wang kedalam akaun mereka.
Bahkan jika bukan kerana anak-anak mangsa juga, tiada sebab untuk orang awam menjadi “begitu pemurah” untuk mendepositkan wang sumbangan dalam akaun orang yang tidak dikenali.
Justeru, tindakan orang awam mendepositkan wang kedalam akaun mereka berdua adalah kerana mempercayai bahawa kedua-dua mereka adalah orang yang diamanahkan untuk mewakili anak-anak yatim tersebut.
Mungkin nitizen akan melihat, disitulah wujudnya ikatan mereka sebagai pemegang amanah secara tidak lansung, walaupun mungkin kedua-dua mereka tidak pernah mendakwa secara verbal yang mereka adalah pemegang amanah bagi pihak anak-anak saudara mereka.
Persoalan ini saya serahkan kepada pembaca sekalian untuk membuat tafsiran.
Baik, sekarang mari kita lihat pula apakah tanggungjawab seorang pemegang amanah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Akta tersebut.
Diantara tanggungjawab seorang pemegang amanah termasuklah :
1. Tanggungjawab untuk bersifat amanah, setia, jujur dan tidak membuat sebarang keuntungan peribadi terhadap harta amanah.
2. Tanggungjawab untuk menjaga dengan sebaiknya harta amanah tersebut.
3. Tanggungjawab untuk melaburkan harta amanah tersebut secara sah mengikut undang-undang untuk kepentingan benefesiri.
4. Tanggungjawab terhadap benefesiari untuk mengagihkan harta amanah teraebut kepada mereka
5. Tanggungjawab untuk menanggung pengurusan harian dan kebajikan benefesiari terutamanya yang bawah umur.
Maka daripada apa yang digariskan tersebut, sekiranya benar kedua-dua mereka dianggap sebagai pemegang amanah, adalah menjadi kewajipan kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab mereka sebagai pemegang amanah seperti di atas.
Kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab di atas, termasuklah kegagalan mengagihkan wang sumbangan orang ramai tersebut bagi kepentingan anak-anak arwah, mungkin bolehlah dianggap sebagai Pecah Amanah (Breach of Trust).
Jadi apakah tindakan yang boleh diambil untuk merungkai kes di atas.?
1. Secara peribadi saya berpendapat, bagi kedua-dua bapa saudara tersebut, untuk mengesahkan kedudukan mereka sama ada mereka adalah pemegang amanah kepada anak-anak mangsa atau sebaliknya, mereka wajar memfailkan permohonan di Mahkamah untuk mendapatkan pengesahan atau arahan (direction) dari pada Mahkamah tentang status dan kedudukan sebenar mereka. Perkara ini dibenarkan di bawah Akta tersebut. Secara tidak lansung mereka dapat membersihkan nama baik mereka setelah diviralkan di media massa dan media online yang seolah-olah mereka adalah orang yang tidak amanah.
2. Saman fitnah juga mungkin boleh diambil oleh mereka terhadap kakak mereka atas kenyataan yang telah dikeluarkan. Biarlah Mahkamah yang menentukan kedudukan sebenar mereka dan biarlah Mahkamah juga yang menentukan sama ada kenyataan yang dikeluarkan oleh kakak mereka adalah fitnah atau fakta sebenar.
3. Cuma untuk membolehkan pihak polis membuat siasatan terperinci sama ada wujudnya elemen Pecah Amanah telah dilakukan oleh kedua-dua mereka atau sebaliknya, para penderma berhak membuat laporan polis terhadap kedua-dua mereka. Siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak polis di bawah Seksyen 405 Kanun Kesiksaan atas tuduhan Pecah amanah Jenayah (Criminal Breach of Trust).
4. Jika terbukti bersalah mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Kesiksaan iaitu penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, sebatan dan boleh juga didenda.
Sekian, terima kasih,
Yang benar,
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Peguambela dan Peguamcara
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
Penafian :
Kenyataan di atas hanyalah sekadar panduan umum dan hanyalah pandangan peribadi penulis semata-mata berdasarkan pemahaman dan rujukan ringkas penulis terhadap berita yang disiarkan di media massa dan media online beserta peruntukan undang-undang yang sedia ada. Ianya tidak dalam apa jua keadaan sekalipun dianggap sebagai satu nasihat perundangan kepada mana-mana pihak dan tidak akan mewujudkan apa-apa ikatan atau liabiliti perundangan antara peguam dan anak guam kepada para pembaca dan pihak-pihak yang terbabit. Penulis juga tidak akan bertanggungjawab di atas segala masalah atau kerugian atau kesusahan yang dialami oleh pembaca atau mana-mana pihak susulan daripada kenyataan di atas. Pembaca dan pihak-pihak terbabit dinasihatatkan mendapatkan nasihat perundangan kedua daripada peguam yang dilantik secara rasmi untuk kes yang dihadapi.