seismik

"Jangan Tinggal Isteri Di Rumah Mentua Tanpa Rela" - Kisah Wanita Di'seksa' Ibu Mentua

Hendak berkumpul di syurga sebagai sebuah keluarga, syurgakanlah dahulu ahli-ahlinya sejak di dunia.

Cover image via Google

Sudah menjadi impian setiap pasangan suami isteri untuk menjadikan rumah tangga mereka sebagai satu mahligai yang bahagia

Image via Maskulin

Kebahagiaan ini bagaimanapun hanya akan tercapai sekiranya kedua suami dan isteri menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik-baiknya.

Sungguhpun begitu kebahagiaan rumah tangga boleh berkecai jika terdapat pihak ketiga yang campur tangan dalam sesebuah rumah tangga itu.

Ini kerap berlaku dalam senario yang mana ibu mentua sering mengarah anaknya supaya mengikut telunjuknya setiap masa. Si anak lelaki pula kebiasaannya akan akur kepada arahan ibunya kerana takut dianggap 'menderhaka' kepada ibu dan tidak akan masuk syurga.

Tidak semua mentua boleh menjalinkan hubungan baik dengan menantunya. Ramai wanita yang sudah berkahwin mengeluhkan tentang perkara ini.

Image via Mommies Daily

Salah satu contoh adalah daripada perkongsian pengguna Facebook, Umm Zainab Ab Ghafar yang menceritakan tentang kesengsaraan yang dialami kenalannya disebabkan oleh campur tangan keluarga mentua.

Wanita terbabit bukan sahaja diabai sang suami bahkan anak-anak turut terkena tempias. Walaupun dia tidak didera secara fizikal, tetapi mental dan emosinya sering terganggu ekoran sikap acuh tak acuh suaminya yang langsung tidak endah akan keluhannya.

Baca perkongsian di bawah:

Sayang isteri, jangan tinggal-tinggalkan di rumah mentua tanpa relanya, ia tidak selalunya menjadi syurga.

Minggu lepas saya mengikuti satu seminar medical imaging. Berkesempatan bertemu kenalan lama sewaktu di UK, kini dia merupakan seorang MO bertugas di KK di sebuah negeri.

Mulanya sekadar bertegur sapa angkat tangan tanda aku nampak dan aku kenal kau sahaja, tidak berniat hendak berbual. Tapi kemudian dia menyapa dengan ditemani kakaknya.

Bicaranya bermula dengan serangkai ayat, "Aku rasa kau pandai advocate benda-benda hak wanita, nafkah semua ni. Aku nak cakap lebih-lebih pun tak berani. Aku ni dahlah lelaki, belum kahwin pula."

Lalu dia keluarkan telefon pintar, ditunjukkannya gambar tangan bayi (bawah 2 tahun) yang mempunyai luka melecur yang menggelembung besar (second degree burn, blistered).

"Ni patient aku. Budak ni umur setahun lapan bulan. Tangan ni melecur kena ekzos motor."

Allah. Terbayang anak bongsu saya yang waktu itu berada di taska. Sebaya.

"Macam mana boleh jadi melecur ni, negligence ke?" Saya menyoal.

"Itulah aku nak cerita ni."

Pesakitnya itu datang ke klinik dengan ibunya berusia 34 tahun. Anak bongsu dari empat beradik. Tinggal di rumah nenek sebelah bapa, bersama tiga orang adik kepada bapanya. Ekzos motosikal yang terkena pada tangannya adalah kepunyaan salah seorang bapa saudara (adik bapa).

Pada ketika kejadian itu berlaku, abang kepada si bayi sudah nampak adiknya bermain berhampiran motosikal yang masih panas ekzosnya, bila dia hendak ambil adiknya, neneknya menghalang dengan berkata, "Biar dia. Nanti dia kena baru dia tahu benda tu panas. Lain kali dia tak usik dah."

Saya tersentak. Anak itu kecil, setahun lapan bulan. Apalah yang anak sekecil itu tahu tentang serik dan belajar daripada pengalaman, melainkan kejadian itu cuma memberikan trauma besar dan luka tidak hanya pada tangan, malah pada perasaannya.

Abang kepada anak kecil itu turut terluka. Rasa tidak berdaya. Dia sudah berusaha untuk mengalihkan adiknya, namun dihalang si nenek.

"Tengok ni." Kawan saya menyuakan telefon bimbitnya sekali lagi. Gambar seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia 8 tahun, dengan mata lebam seperti ditumbuk.

"Ini abang baby ni yang lagi seorang. Lepas kena belasah dengan pak sedara dia sebab masuk bilik pak sedara dia tanpa kebenaran. Emak dia ambil gambar ni tunjuk pada ayah diapun ayah dia tak percaya. Dia kata entah anak dia bergaduh dengan kawan."

Saya mulai geram. Buta ke bodoh bapa anak-anak malang ini. Lebam pada mata budak itu sebesar penumbuk orang dewasa. Kalau anak bergaduh dengan kawan pun takkanlah sehingga begitu teruknya. Kalau bergaduh dengan kawan pun engkau bapa, tidak ada rasa hendak ambil tindakankah? Jumpa ibu bapa kawan anak yang menumbuk itu ke, jumpa cikgu sekolah ke. Tiada pula tindakan begitu diambil.

Sebab bapanya memang tahu lebam di mata anaknya itu kerja adik bapanya sendiri, cuma bapanya pengecut, takut kepada si nenek (ibu kepada bapanya) dan takut kepada adik beradiknya sendiri. Sehingga dia dismissed sahaja aduan isterinya dan mengabaikan hak anak-anaknya untuk dibela nasib mereka.

Yang makan hati? Sudah tentulah isterinya. Yang menderita, isteri dan anak-anaknya, cedera jiwa, cedera keyakinan kepada si bapa yang sepatutnya bertindak sebagai pembela nasib, pelindung keselamatan mereka.

"Aku tak tahulah hendak kata apa atau buat macam mana. Aku cuma boleh cakap sabar puan je lah. Kau tahu, akak ni tak segan silu dah cerita. Maybe dia tak ada tempat nak luahkan perasaan kot. Sampai basah tudung dia lap air mata. Padahal aku tanya pasal macam mana boleh kena ekzos aje."

Image via Wanita Muslimah

Kawan saya turut bercerita bahawa wanita itu memberitahu kepadanya, pernah sekali pada hari suaminya mendapat gaji, ibu suaminya menelefon suami menyuruh dibelikan KFC.

Si suami balik kerja membawa bucket meal 15 ketul ayam. Anak-anaknya semua teruja, iyalah sekali sekala ayah balik bawa KFC.

Ibu mentuanya kemudian membahagi-bahagikan ayam itu. Wanita itu dan anak-anaknya diberi dua ketul ayam untuk dikongsi berlima. Baki 13 ketul ayam lagi untuk emak mentua dan adik beradik suaminya. Termasuk adik suami yang belum balik kerja, yang jenis makan banyak kalau seketul tidak cukup, kena 3 ketul, dan juga suami wanita ini sendiri yang dapat bahagiannya dua ketul, tanpa segan silu menikmati ayam itu di hadapan anak isteri yang terpaksa berkongsi dua ketul berlima.

Pernah juga orang kampung datang ke rumah, menghantar anaknya berumur 3 tahun pulang setelah terjumpa anaknya di tepi jalan besar. Waktu itu wanita itu sedang memasak dan dia fikir, ibu mentuanya akan membantu dia tengok-tengokkan anaknya, rupanya bukan harapkan pagar, pagar makan padi, harapkan pagar, pagar tidak boleh diharap langsung.

Sewaktu orang kampung itu datang, si nenek cuma berkata, "Anak hang, hang jagalah sendiri". Sedangkan wanita itu perlu memasak untuk seluruh keluarga, untuk semua orang yang tinggal di dalam rumah itu.

Ini adalah secebis kisah derita orang berkahwin dan tinggal di rumah orang tua, terutamanya mentua.

Tolonglah kaum lelaki kalau rasa hendak kahwin, tanyalah pada diri mampu atau tidak sekurang-kurangnya sewa bilik untuk tinggal bersama isteri. Jika tidak mampu, tolonglah jangan kahwin. Tangguh sahajalah hasrat itu dahulu. Puasa banyak-banyak.

Juga, kepada para suami, usahlah pentingkan diri sendiri. Anda memanglah selesa tinggal di rumah keluarga, 'ditimang, dimanja' tapi fikirkanlah perasaan dan hak isteri juga.

Dia tidak dilahirkan oleh ibu yang sama, membesar dalam keluarga yang sama, nilai yang sama bahkan cara bercakap yang sama. Ada keluarga cakap dalam loghat utara, isteri berasal dari pantai timur, ambil masa lama untuk memahami setiap perkara. Ada orang, memang sudah terbiasa cakap dalam keadaan menjerit sentiasa sedang isterinya datang dari keluarga yang rumahnya lebih senyap daripada perpustakaan negara.

Rumah, tempat tinggal adalah nafkah, kewajipan untuk isteri dan anak-anak. Tidak perlu mewah, atau cantik, yang penting dipersetujui bersama oleh suami isteri. Jika ada antara suami atau isteri tidak bersetuju untuk tinggal sebumbung dengan ibu bapa, tapi dibawa juga tinggal di sana, bermakna nafkah belum lengkap diberi.

Rumah ibu bapa tidak dikira nafkah daripada suami walaupun suami menyediakan beras, sardin, ikan, ayam, bil air, gas, elektrik di dalamnya. Selagi suami tidak membayar rumah itu atas tajuk 'bayaran rumah' kepada namanya (melalui sewa beli, jual beli, harga tanah, cukai pintu, ataupun bayar sewa kepada ibunya sendiri) ianya tidak dikira nafkah kepada isteri.

1) Mengapa tinggal di rumah keluarga suami bukan pilihan yang bagus?
Kerana isteri berhak untuk memakai pakaian yang dia selesa di dalam rumah.

2) Mengapa tinggal di rumah keluarga isteri bukan pilihan yang bagus?
Kerana adik beradik perempuan isteri berhak bebas bergerak dalam rumah ibu bapanya dengan selesa.

3) Mengapa tinggal di rumah keluarga / ibu bapa bukan pilihan yang bagus?
Kerana hakikat suami isteri perlukan ruang privasi dan keintiman yang sulit untuk dibicara. Kediaman yang selain sakinah, mawaddah, rahmah untuk menjalankan aktiviti fitrah rumah tangga, juga boleh bertindak sebagai kubu dan bilik mesyuarat rahsia. Yang perbincangan, kata sepakat mahupun pertelagahan di dalamnya tidak dapat didengari telinga luar yang bukan sebahagian daripada ijab kabul yang menghalalkan hubungan sepasang manusia (hanya sepasang - satu lelaki, satu perempuan).

Anak-anak juga berhak untuk membesar, mengeksplorasi zaman kanak-kanak, melakukan aktiviti mengikut kebebasan nilai yang diterap dan diajar ibu bapanya (ibu terutamanya)

Tanpa merasa takut dengan larangan, keliru dengan halangan atau kemarahan orang lain seperti nenek mereka yang mungkin tidak berkongsi cara mendidik atau aspirasi dan zaman menjadi ibu bapa seperti ibu bapanya.

Ini adalah merujuk kepada pasangan yang tinggal di rumah keluarga dalam keadaan masing-masing atau salah seorang tidak setuju sebenarnya, ramai adik beradik yang masih tinggal di dalam rumah yang sama, dan tiada desakan dari segi kemampuan kewangan, jarak rumah ke tempat kerja, penjagaan anak, keselamatan untuk tinggal di rumah sendiri apatah lagi jika tinggal di situ semata atas sebab suami kata senang tidak perlu bayar sewa, ibu suami tidak beri sewa rumah lain sebab takut gaji anaknya habis dan lain-lain desakan yang bukan desakan hidup tapi sebenarnya alasan karut.

Bagi pasangan yang tinggal di rumah keluarga dalam keadaan ibu atau bapa atau mentua yang minta kerana dia tinggal seorang diri sahaja, orang tua tidak sihat dan perlukan penjagaan daripada anak, ibu tinggal sendirian di kampung jadi anak ambil bawa ke rumahnya, atau kemampuan kewangan dan aspek lain yang mendesak seperti ibu atau bapa tunggal yang baru bercerai dan perlu menumpang sementara, suami isteri pjj yang salah seorang lebih dekat dengan rumah keluarga - semua itu totally kisah lain, dan tidak diwakili langsung oleh post saya ini. (Mohon janganlah terasa, kecil hati atau bersikap uncalled defensive pula).

Tempat tinggal adalah kewajipan sebuah perkahwinan. Keputusan tentangnya perlulah dibincang dan diputus bersama oleh suami isteri. Mengatur tempat tinggal tanpa mempertimbangkan pendapat salah seorang ahli perkahwinan itu adalah penganiayaan, sedangkan perkahwinan itu sendiri adalah satu persetujuan antara dua jiwa yang disebut namanya dalam lafaz ijab dan kabul. Jika kurang salah satu, maka perkahwinan akan menjadi kezaliman. Tempat penyeksaan.

(Kalau mahu menyeksa, usahlah berkahwin, kumpul modal pergi buka sarkas atau pindah Mexico, join kartel dadah di sana)

Hendak berkumpul di syurga sebagai sebuah keluarga, syurgakanlah dahulu ahli-ahlinya sejak di dunia.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca tips pikat hati bakal ibu mentua!

Lagi artikel di SAYS Seismik:

You may be interested in: