Jelajah Hong Kong Dengan Itinerari Mesra Muslim & Pengalaman Melancong Yang Unik
Hong Kong bukan sahaja menawarkan hidangan yang lazat, kota ini juga kaya dengan tarikan yang menarik untuk diterokai.
Tahukah anda, baru-baru ini Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) telah melancarkan kempen "Jelajah Hong Kong" untuk menarik pelancong Muslim dari Asia Tenggara berkunjung ke sana
Terkenal dengan pemandangan menakjubkan dan kehidupan bandar yang sibuk, 'bandar yang tak pernah tidur' ini semakin menjadi pilihan terutamanya selepas inisiatif dan tawaran pelancongan menarik yang diperkenalkan oleh pihak HKTB.
Berdasarkan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024, Hong Kong berada di tempat ke-2 sebagai destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi oleh wanita muslim.
Malahan, secara keseluruhan Hong Kong berada di tempat ke-4 daripada 20 destinasi negara bukan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang mesra muslim.
Bagi memastikan Hong Kong terus menjadi pilihan destinasi pelancongan mesra muslim, HKTB telah bekerjasama dengan Perbadanan Pemegang Amanah Dana Komuniti Islam Hong Kong (BOT), sebuah badan berkuasa pensijilan restoran Halal tempatan untuk meningkatkan persekitaran mesra Muslim di Hong Kong.
Bukan itu sahaja, HKTB turut berkolaborasi bersama CrescentRating, iaitu syarikat pemasaran pelancongan Muslim terkemuka antarabangsa untuk menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran menyediakan penginapan dan perkhidmatan mesra muslim.
"Chinesology" - Restoran mewah pertama yang menawarkan makanan halal di Hong Kong
Salah satu pencapaian penting dalam sektor makanan dan minuman (F&B) Hong Kong adalah pengiktirafan Chinesology sebagai restoran "Halal-Friendly".
Pengiktirafan ini telah diberikan oleh BOT, setelah memeriksa menu, pemilihan bahan, perkakas dapur, melalui kerjasama rapat dengan HKTB.
Ada 20 hidangan Cina yang telah disahkan halal, termasuk menu makan tengah hari dan makan malam sekaligus, membolehkan pelancong Muslim menikmati hidangan mewah Cina dengan yakin.
Pengarah Kulinari Chinesology, Saito Chau memberitahu bahawa ramai pelanggan Muslim masih belum berpeluang untuk mencuba masakan Cina.
Justeru itu, pihak restoran berusaha untuk memberikan pengalaman masakan terbaik yang membolehkan pelancong Muslim merasai keunikan masakan Cina dengan rasa yang autentik.
Proses pensijilan halal mereka melibatkan reka bentuk menu, pemilihan bahan, perkakas dapur, dan kerjasama rapat dengan HKTB serta nasihat profesional daripada BOT.
Selain chineselogy, terdapat banyak lagi restoran mesra muslim yang boleh anda pergi di Hong Kong, antaranya:
1. Bombay Dreams: Restoran India pertama di Hong Kong yang menerima pengiktirafan Michelin Guide Bib Gourmand sejak 2009 dan menawarkan masakan India dengan sentuhan moden.
2. Imperial Patisserie: Menyajikan pastri halal yang disahkan tanpa bahan daging atau lemak khinzir dan menjadi kedai pilihan yang boleh dipercayai untuk pastri halal di Hong Kong.
3. Kantin Pusat Islam di Pusat Islam Omar Ramju Sadick: Menawarkan masakan popular Halal cina, termasuk dim sum dan hidangan lain pada harga yang berpatutan di dalam Pusat Islam Osman Ramju Sadick di Hong Kong.
4. MAMTOM: Restoran Vietnam yang menghidangkan masakan panas dengan rasa autentik yang membangkitkan selera.
5. Marouf & Puff Bake: Terletak berhampiran Masjid Kowloon, kafe ini menyajikan kopi dan pastri halal.
6. PASTEAKO: Restoran Itali halal yang pakar dalam pembuatan pasta sendiri dan terkenal dengan daging stik dikeringkan selama 21 hari.
Jelajah Hong Kong dengan itinerari mesra Muslim
Hong Kong bukan sahaja menawarkan hidangan yang lazat, kota ini juga kaya dengan tarikan yang menarik untuk diterokai, terutama bagi mereka yang ingin mendalami sejarah, budaya dan pemandangan indah.
Berikut di bawah antara lokasi dan tempat menarik yang anda boleh lawati di Hong Kong:
1. Masjid Kowloon: Terletak di persimpangan Nathan Road dan Haiphong Road di Tsim Sha Tsui, Masjid Kowloon merupakan masjid terbesar di Hong Kong yang mampu menampung sehingga 3,500 jemaah.
2. Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick: Terletak di 40 Oi Kwan Road di Wan Chai, Hong Kong dan ditubuhkan pada tahun 1981. Bangunan ini direka dan dibiayai oleh arkitek Muslim Cina Osman Ramju Sadick dan mampu menampung kapasiti jemaah lebih 1,500 orang.
3. Hong Kong Disneyland: Luangkan masa bermain dan beriadah dengan keluarga dan rakan-rakan tanpa risau untuk tunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim (dengan adanya ruang solat dan restoran halal seperti Tahitian Terrace).
4. Pulau Cheung Chau: Terkenal dengan Festival Roti Ban tahunan dengan roti ban bertuah yang ikonik dan pemandangan pantai yang cantik.
5. Aqua Luna: Nikmati pelayaran pelabuhan yang indah dan pemandangan panorama Hong Kong pada waktu malam dengan Aqua Luna.
6. Central Market: Rasai pengalaman membeli-belah dan kemeriahan suasana di salah satu pasar kegemaran ramai di Hong Kong.
7. Ngong Ping Village: Pelajari budaya Buddha dan menikmati pemandangan gunung ganang yang menakjubkan di Ngong Ping Village.
8. Kampung Nelayan Tai O: Sebuah kampung tradisional terapung yang memaparkan budaya dan cara hidup nelayan tempatan di Hong Kong.
Untuk maklumat lanjut, bagi anda yang ingin merancang percutian ke Hong Kong boleh lawati laman web Pelancongan Muslim HKTB tentang kemudahan, perkhidmatan dan tarikan mesra Muslim di bandar raya ini!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!