Kafe Di Pulau Pinang Ini Jual Nasi Biryani & Nasi Tomato Berharga Hanya 10 Sen. Murahnya!
Minuman manis dan perisa seperti sirap, teh O dan kopi O juga dijual dengan harga 10 sen segelas.
Berbekalkan niat mahu bersedekah, seorang peniaga makanan di Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau, telah memulakan langkah menjual juadah dengan harga hanya 10 sen!
Ibrahim Abdul Rahim, 37, pemilik Baen Cafe, telah mengambil inisiatif menjual nasi tomato dan nasi beriani kosong dengan harga hanya 10 sen sepinggan. Bukan itu sahaja, minuman yang dibancuh dengan gula dan perisa seperti sirap, teh O dan kopi O juga dijual dengan harga 10 sen segelas.
“Sudah setahun saya berniaga di sini dan sejak itu juga mula menjual nasi beriani dan nasi tomato yang belum dicampur lauk dengan harga 10 sen sepinggan.
“Selain itu, air yang dibancuh dengan perisa dan gula juga dijual dengan harga 10 sen, tetapi ia hanya untuk mereka yang makan di sini dan tidak boleh dibungkus,” katanya kepada akhbar Harian Metro.
Idea menjual nasi dengan harga 10 sen itu tercetus ekoran keadaan ekonomi ketika ini yang semakin meningkat di samping ingin membantu meringankan kos kehidupan pelanggan
Menurut Ibrahim, “Sebelum ini, saya pernah memberi percuma setiap air minuman kepada pelanggan yang datang makan ke kedai saya, tetapi ia menimbulkan perasaan malu dalam kalangan penunjung serta ada yang tidak gemar dengan minuman percuma.
“Namun, perniagaan saya ketika itu juga cukup menguntungkan kerana orang ramai datang kerana harga makanan dijual berpatutan," ujarnya.
Selain daripada nasi beriyani dan nasi tomato, pengunjung di kafe tersebut juga boleh menikmati juadah lain seperti nasi campur beraneka lauk dengan harga yang jauh lebih murah daripada kedai biasa, malah harganya 50% jauh lebih murah!
“Sebagai contoh, ayam goreng yang dijual RM3 di kedai lain, kami menjualnya dengan harga RM1.50, ikan cencaru yang dijual RM5 di kedai lain hanya dijual RM3 di sini,” katanya.
Menurut Ibrahim, meskipun harga jualan makanannya sangat murah jika dibandingkan dengan kedai makan yang lain namun dia masih peroleh keuntungan hasil daripada perniagaannya itu
Bahkan Ibrahim percaya rezeki keuntungannya itu diperoleh hasil daripada kesenangan serta kemudahan yang diberikannya kepada orang ramai.
Ibrahim yang mengamalkan konsep bersedekah berpendapat bahawa ramai peniaga hanya menjual makanan dan minuman dengan harga murah ketika perniagaan mereka sedang merudum dan ia tidak digalakkan kerana dilihat tidak ikhlas dalam berbuat demikian.
“Seharusnya, peniaga yang mahu bersedekah dalam berniaga seharusnya menjual dengan harga murah sebaik mereka mula berniaga.
“Dengan menjual makanan dan minuman dengan harga yang murah, sedikit- sebanyak saya sudah bersedekah,” katanya.
Tambahan lagi, Baen Cafe turut menyediakan tandas dan surau bagi kegunaan pelanggan malah sentiasa dipenuhi orang ramai ketika waktu makan tengah hari.
Baen Cafe beroperasi setiap hari dari pukul 7.00 pagi sehingga 4.00 petang.