Karier Dan Keluarga: 3 Ibu 'Super' Ini Kongsikan Bagaimana Mereka Terus Mengejar Impian
"Yang penting hati mesti kena ikhlas." - Zarina Zainuddin.
Bukan mudah untuk imbangi hidup berkeluarga dan berniaga. Ada yang merasakan seperti terlalu sukar untuk menguruskan dua perkara berbeza pada satu masa yang sama.
Realiti kehidupan sememangnya penuh dengan cabaran dan rintangan. Namun begitu, tak semuanya sukar untuk ditempuh. Dan walaupun kadang-kadang masalah yang dihadapi tampak begitu besar, dengan usaha yang gigih, pasti akan jumpa kepada jalan penyelesaian yang dicari-cari selama ini.
Antara karier dan keluarga, 3 ibu super ini memilih kedua-duanya, walaupun berhadapan pelbagai cabaran
Perkenalkan 3 ibu *super; Suriani Ilias, Adlyna Razak, dan Zarina Zainuddin. Mereka bertiga mempunyai anak-anak yang memerlukan sepenuh perhatian ibu, dan pada masa yang sama mereka juga sibuk menguruskan perniagaan masing-masing.
Bagaimana mereka mampu melakukannya? Ikuti perkongsian mereka bertiga di bawah:
Ibu super 1: Suriani Ilias. Ibu kepada 3 orang anak kecil, bekerja, dan berniaga dalam masa yang sama.
Pada mulanya, Suriani hanya menolong mempromosikan bisnes rakan dan mendapat komisen daripadanya. Lama-kelamaan, Suriani berasa selesa dengan perniagaan tersebut dan membuat keputusan untuk terjun ke dalam bidang itu sepenuh masa.
Inspirasi untuk berniaga terhasil atas pemerhatian terhadap rakan-rakan lain yang telah berjaya dalam perniagaan, sehingga ada yang sanggup melepaskan jawatan kerja. "Jika mereka boleh, saya juga mesti boleh," bisik hati kecil Suriani.
Suriani mula berkecimpung dalam perniagaan makanan kesihatan berasaskan makanan sunnah yang diberi nama Qaseh Suriani sejak 6 bulan lalu
"Saya sebenarnya ada banyak buat bisnes online sebelum ini sejak 2012. Tapi saya mula serius dalam perniagaan pada Disember 2015 apabila saya tubuhkan Qaseh Suriani.
"Memang banyak masalah yang timbul pada mulanya. Bukan senang nak berurusan dengan para pelanggan. Ada diantara mereka yang terlalu cerewet dengan soal harga, suka memperlekeh tahap keberkesanan produk yang saya jual, dan ada juga pelanggan yang cepat putus asa. Belum sembuh 100% dah berhenti gunakan produk saya," kata Suriani.
Lagi satu masalah yang dihadapi adalah dari segi masa. Suriani perlu ada masa untuk kerja, untuk perniagaan, dan untuk keluarga.
"Sebagai seorang ibu kepada 3 orang anak, memang agak sukar bagi saya untuk membahagi masa pada mulanya. Anak saya sekarang berumur 8 tahun, 6 tahun, dan 4 tahun. Semuanya masih kecil dan sangat memerlukan perhatian ibu.
"Senang kata, sekarang ini saya ada 3 komitmen berbeza iaitu pekerja, peniaga, dan juga ibu. Walaupun saya berniaga, tetapi saya masih bekerja sepenuh masa. Saya perlu bijak menguruskan masa dan memaksimumkannya sehabis baik," kata Suriani lagi.
Menurut Suriani, salah satu tip bijak dalam pengurusan masa ialah menyediakan jadual dan menyenaraikan rutin dari hari pertama sehingga ke hari terakhir dalam satu-satu bulan
"Hidup saya memang sibuk. Maklumlah, saya perlu menguruskan kebajikan anak-anak dan perniagaan dalam masa yang sama. Jadi, agak sukar untuk saya mempunyai masa untuk perkara lain yang saya rasa tak penting.
"Tetapi, sepadat mana pun jadual saya, saya tetap akan beri keutamaan kepada anak-anak dan suami. Berniaga tetap berniaga tetapi keluarga adalah lebih utama dalam hidup saya. Setiap bulan saya akan senaraikan rutin dari hari pertama sehingga hari terakhir.
"Masa itu emas. Saya tak boleh sia-siakannya begitu saja. Dengan adanya jadual, saya rasa tiada masalah untuk saya membahagikan masa dengan efisien. Dan lebih mengejutkan, kadang-kadang saya rasa masa yang saya habiskan bersama keluarga adalah lebih banyak berbanding bisnes." katanya.
Menurutnya lagi, tiada apa yang boleh menghalang seseorang daripada berniaga dan berjaya walaupun sudah bergelar ibu
"Saya lakukan semua ini semata-mata demi kesejahteraan anak-anak dan keluarga saya. Saya ingin berikan yang terbaik dan hanya yang terbaik buat mereka.
"Ada sesetengah pihak yang suruh saya berhenti dan hanya fokuskan kepada kehidupan anak-anak. Bagi saya, tiada masalah untuk saya berniaga dan menjadi ibu kepada 3 orang anak dalam satu masa. Masa bersama anak-anak dan keluarga tetap saya berikan keutamaan dan saya tetap beri layanan yang secukupnya," ujar Suriani.
Ibu super 2: Adlyna Razak. Niat pada mulanya hanya mahu tampung kos perkahwinan, kini bidang pastri sudah menjadi perniagaan separuh masa.
Adlyna Razak sebelum ini tak pernah terfikir pun untuk berniaga. Sehingga satu hari ketika menghadiri satu gathering bersama kawan-kawan, Adlyna membawa kek pavlova untuk dijadikan pencuci mulut. Kemudian seorang rakannya bertanya sama ada dia mengambil pesanan atau tidak untuk kek tersebut.
Dari situ, terdetiklah satu perasaan ingin mencuba selepas mendapat maklum balas positif. Dari situ juga Adlyna sedar bahawa bekerja di bawah majikan tidak akan membawanya pergi jauh. Adlyna merasakan rugi kalau bakat dan minat dalam bidang baking dan pastri ini dipersiakan begitu sahaja.
Lagipun, pada waktu itu Adlyna sedang mencari jalan untuk menambahkan pendapatan bagi persiapan perkahwinan. Dengan sokongan moral daripada keluarga, tunang (kini suami), dan sahabat handai, Adlyna membuat keputusan untuk memulakan perniagaan.
Dari situlah tertubuhnya idea The Amateur Baker. Adlyna memulakan perniagaan kek secara kecil-kecilan di rumah.
"Saya bukanlah seorang yang pakar dalam pembuatan kek. Saya pun baru saja berjinak-jinak dalam dunia pastri ini. Sebab itulah saya menggelar diri saya sebagai amateur baker. 'The Amateur Baker' dipilih kerana saya merasakan bahawa perjalanan saya sebagai seorang baker masih jauh. Masih ada banyak perkara untuk saya pelajari dalam dunia kek dan juga selok-belok perniagaan.
"Berdasarkan minat yang ada, saya jadikan ia sebagai satu sumber pendapatan sampingan. Tak pernah saya sangka minat saya terhadap baking boleh membantu saya menjana pendapatan tambahan untuk menampung kos perkahwinan 3 tahun lalu.
"Walaupun perniagaan ini tak besar, saya percaya setiap perkara harus ada permulaan. Selagi kita tak mulakan sesuatu, selagi itulah impian kita tak boleh jadi kenyataan. Jujur saya katakan memang saya ada perasaan ragu-ragu pada mulanya. Namun saya teruskan juga atas dasar minat," kata Adlyna mulakan bicara.
Apabila ditanya tidak takutkah beliau bersaing dengan jenama kek yang lebih popular, Adlyna hanya menjawab, "You can never go wrong with food."
"Benar, zaman sekarang ni sudah terlalu ramai orang meniaga. Dalam industri pembuatan kek pun sudah agak saturated dan padat. Tetapi saya sentiasa berpegang pada satu prinsip iaitu 'You can never go wrong with food'. Bermakna, kalau makanan yang kita jual itu sedap, berbaloi, dan memuaskan, pasti akan ada orang yang beli dan beli lagi.
"Saya selalu berpesan kepada diri saya, jangan sesekali mengutamakan keuntungan yang berlipat ganda tetapi pelanggan tidak gembira. Saya lebih utamakan pelanggan yang gembira dengan makanan saya. Saya percaya, setiap kata itu adalah doa, semakin pelanggan saya kata sedap dan nak lagi, semakin bertambahlah pelanggan dan pesanan yang saya dapat," katanya.
Semenjak bergelar ibu, Adlyna mengakui jadual hidupnya banyak berubah. Daripada ada banyak masa terluang, kini rutin beliau agak padat setiap hari dan kadang-kadang sampai tak ada masa.
"Saya mempunyai seorang anak lelaki berumur setahun dua bulan yang sihat. Selepas bergelar ibu, masa saya memang agak suntuk sedikit. Maklumlah, saya bekerja, saya ada perniagaan pastri separuh masa, dan saya juga perlu beri perhatian kepada anak saya.
"Setiap malam saya akan buat jadual untuk hari esok. Tapi, terus terang saya cakap agak susah untuk ikut apa yg dirancangkan. Kita hanya mampu merancang tetapi pada masa yang sama, ia memerlukan ketentuan dari diri kita sendiri untuk melakukannya atau tidak.
"Menjaga anak kecil yang sedang membesar bukanlah perkara yang mudah, tetapi masih boleh diuruskan. Malangnya, kadang-kadang saya terpaksa batalkan beberapa pesanan kerana terpaksa mengalihkan fokus saya sepenuhnya kepada anak," katanya lagi.
Walaupun begitu, Adlyna tetap ingin meneruskan perniagaan pastri ini dan bercadang untuk mengembangkannya pada masa akan datang
“Menjadi seorang ibu merupakan proses pembelajaran setiap masa. Ada hari, kita mungkin akan tersilap langkah, maka kita boleh belajar dari situ. Sekiranya kita melakukan apa-apa kesalahan atau berlakunya perkara yang diluar jangkaan kita, redha dan don’t be too hard on yourself. Ingat, Tuhan juga merancang perjalanan hidup kita.
"Tak semestinya saya ada anak, saya tak boleh berniaga. Saya ada impian yang saya ingin capai. Bila anak-anak dah besar nanti, mereka boleh jadikan saya sebagai role model untuk mereka terus berjaya dalam hidup. Siapa lagi yang mereka pandang tinggi kalau bukan ibu dan bapa meraka sendiri. Saya percaya kepada konsep ini kerana saya juga memandang tinggi kepada kedua ibu bapa saya untuk menggapai impian seperti mereka," jelas Adlyna.
Ibu super 3: Zarina Zainuddin. Seorang pelakon, selebriti, ahli perniagaan, isteri, dan ibu kepada 2 kanak-kanak autistik dan 2 kanak-kanak normal.
Lumrah hidup sebagai seorang selebrtiti, karier dalam bidang hiburan tidak begitu menjamin masa depan bagi sesetengah orang. Kita sendiri boleh lihat ramai selebriti yang terkandas di tengah jalan selepas gah mencipta nama. Zarina Zainuddin turut tidak terkecuali.
Walaupun pernah gagal selepas 3 tahun membuka hair and beauty saloon, Zarina tetap mengorak langkah dalam bidang kecantikan. Selepas dua tahun mengambil kursus jangka panjang dalam bidang merawat kulit, Zarina menubuhkan Sirna Sari Kosmetik dan kini merupakan pemilik syarikat kecantikan Addura Marketing Sdn Bhd yang sudah bertapak selama 16 tahun.
Selain itu, Zarina juga suka memasak, malah ramai orang yang sukakan masakannya. Dari situlah timbulnya inspirasi untuk menjadikan hobinya kepada sebuah perniagaan.
"Pada mulanya, saya membuat pulut kuning untuk disedekahkan kepada masjid. Kemudian pulut kuning saya menjadi bualan orang ramai sejak dari itu. Saya mula mendapat tempahan yang banyak. Pada masa yang sama, saya juga gemar membuat kuih raya.
"Saya jadi lebih bersemangat bila orang mula recognize masakan saya. Saya sering bawa makanan ke set shooting untuk menjamu kawan-kawan dan para krew produksi sampai kadang-kadang ada yang tertunggu-tunggu masakan saya. Bila lihatkan dari segi keuntungan, memang tak banyak mana. Tapi itulah duit yang paling berkat saya pernah dapat sebab saya masak sendiri dengan penuh kasih sayang," kata Zarina.
Zarina mengakui memang sukar untuk membahagikan masa sehingga memaksanya untuk bangun pada pukul 4 pagi setiap hari
"Perkara yang paling mencabar bila saya terpaksa membahagikan masa antara perniagaan, karier saya dalam lakonan, dan juga tugas saya dalam mendidik dan membesarkan anak, di samping melayan makan minum dan keperluan suami. Saya cuba bangun seawal 4 pagi untuk memastikan kesemuanya dapat saya laksanakan.
"Memandangkan kesihatan suami tak mengizinkan untuk dia bekerja keras, saya teruskan perjuangan ini dan ianya amat letih tetapi menyeronokkan. Saya perlu bersabar, berusaha, dan tak boleh mudah putus asa. Segala rezeki Allah dah atur untuk kita jadi saya perlu berfikiran positif dalam apa yang saya lakukan," kata Zarina lagi.
Walaubagaimanapun, segala urusan akan dipermudahkan jika ianya dilakukan dengan hati yang ikhlas
"Pada saya, tidak ada perkara yang mudah dalam hidup ini. Memang agak sukar bagi saya menguruskan segala benda dalam satu masa. Namun begitu, dari kepayahan itulah kita akan belajar untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.
"Sebagai ibu, saya harus sentiasa pamerkan teladan yang baik di hadapan anak-anak. Yang penting, apa saja yang kita lakukan mestilah dengan hati yang ikhlas, dan bila anda rajin berusaha, anda adalah inspirasi buat anak-anak anda.
"Biasanya saya akan bangun awal dan begitu juga anak-anak. Saya akan kejutkan mereka jam 6 pagi untuk solat subuh walaupun mereka sedang cuti sekolah. Kemudian siapkan sarapan mereka dan saya latih mereka untuk kemas bilik sendiri, mandi pagi, dan bersihkan halaman rumah. Dengan latihan yang saya sudah beri sejak kecil, kini perkara-perkara sebegitu sudah menjadi rutin buat mereka. Jadi, ini sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan saya yang sentiasa sibuk," katanya.
Membesarkan kanak-kanak autisme sememangnya merupakan satu cabaran besar buat Zarina. Walaupun begitu, setiap daripada mereka mempunyai kelebihan masing-masing.
"Saya ada empat orang anak, kesemuanya lelaki. Dua daripada mereka menghidapi autisme sejak dilahirkan iaitu anak pertama dan kedua. Seorang, Azal saya bawa ikut saya pegi shooting, tolong saya bawa baju-baju, tandakan watak saya dalam skrip, dan saya ajar dia apa yang patut seorang p.a (personal assistant) buat. Dia amat berdisplin dan fokus pada kerjanya.
"Yang seorang lagi pula, Azil saya tak dapat bawa kerana terlalu hyperactive. Dia hanya tinggal di rumah bersama maid. Dua lagi anak saya masih bersekolah Tingkatan Satu dan Darjah Empat.
"Pada mulanya, memang susah nak fahamkan si adik-adik dengan keadaan abang-abangnya. Kadang-kadang saya rasa kehidupan kita dengan orang autistik seperti dua dunia berbeza. Saya perlu jelaskan keadaan Azil dan Azal kepada anak ketiga dan keempat saya yang mereka lebih memerlukan perhatian kerana mereka istimewa. Adik-adik kecil perlukan masa untuk memahami semua ini. Kadang-kadang, keadaan emosi si abang yang bercelaru membuatkan adik-adiknya jadi takut untuk tinggal di rumah.
"Namun saya selalu tegaskan kepada mereka, apa jua keadaan, mereka kena terima hakikat bahawa inilah abang-abang mereka. Satu hari nanti, bila saya dan ayahnya tiada lagi di dunia ini, hanya abang-abang sahaja tempat untuk mereka bergantung. Mereka harus bersedia dari sekarang, lawan sifat takut, dan bertenang untuk terima situasi ini," jelasnya.
Bagi Zarina, adalah penting bagi anak-anaknya melihat si ibu bekerja supaya mereka lebih menghargai pengorbanan seorang ibu
"Perniagaan adalah untuk masa depan mereka. Dengan melihat saya bekerja keras, baru mereka tahu bagaimana susahnya untuk mencari duit dan membesarkan 4 orang anak. Saya cuba elakkan daripada terlalu manjakan anak saya dengan wang Ringgit dan harta benda. Mereka akan dapat duit bila ada keperluan sahaja.
"Jujur saya katakan, saya kalau boleh nak duduk di rumah saja menguruskan anak-anak. Akan tetapi kehidupan di bandar besar ini memerlukan saya keluar bekerja mencari rezeki, semuanya dilakukan demi kelangsungan hidup anak-anak dan keluarga saya," kata Zarina.
Wahai ibu-ibu di luar sana, masih belum terlambat untuk anda gapai impian dan buktikan tiada apa yang mustahil untuk anda berjaya!
Percayalah bahawa anda sebenarnya lebih daripada hanya seorang ibu. #MoreToLife
Nestum ada berita baik untuk ibu-ibu semua. Dengan hanya menghasilkan Kuih Raya yang sedap, resipi anda bakal berubah menjadi satu empayar bisnes pada masa akan datang. Jom buat Kuih Raya dan realisasikan hobi ini sebagai satu perniagaan!
Berminat nak join? Mudah saja, anda hanya perlu ikuti 3 langkah di bawah:
1. Beli mana-mana produk Nestle Nestum
2. Ambil gambar kreatif biskut/kuih bersama pek Nestum
3. Hantar gambar beserta resipi ke laman Dear Nestle
Mudah kan?
Untuk maklumat lanjut mengenai Nestum Empayar Kuih Raya, sila layari laman web Nestum atau pergi ke Facebook Nestum Malaysia.