Cerita Sebenar Kedai Mamak Caj 'Aircond' Sampai RM10. Betul Atau Tidak?
Ingatkan kena bayar makan minum je. 'Aircond' pun kena bayar jugak.
Kecoh sebentar di laman sosial apabila gambar sehelai resit dari sebuah restoran mamak tersebar yang menunjukkan kedai tersebut mengecaj kegunaan penghawa dingin kepada pelanggan
Pernah tengok mana-mana restoran yang mengecaj kegunaan aircond? Rasanya inilah pertama kali. Malah, caj yang dikenakan bukannya 50 sen ataupun RM1, tetapi RM10! Mahal betul. Nilai RM10 tu dah boleh beli hidangan sepinggan lengkap siap dengan minuman sekali.
Restoran mamak ini dikatakan terletak di Bangsar. Namun nama restoran tidak didedahkan kepada umum.
Selepas tersebar, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak berpuas hati ke atas perkara tersebut. Masing-masing menganggap caj yang dikenakan itu melampau dan tidak masuk akal.
Seorang pemilik restoran di Taman Permaisuri, Cheras turut menempelak perbuatan berkenaan. Menurutnya, restoran 5 bintang pun tidak pernah kenakan apa-apa caj penyaman udara.
“Restoran lima bintang pun tak kenakan caj pendingin hawa, inikan pula kedai mamak. Kalau begitu, lebih baik pelanggan makan tepi jalan sahaja kerana mereka tidak perlu menanggung kos tambahan.
“Sebagai pemilik restoran, selain memastikan menu yang ditawarkan adalah pada harga yang berpatutan, keselesaan pelanggan juga adalah menjadi keutamaan,” jelas Azman Jusoh kepada Malaysian Digest.
“Pastikan letak papan tanda atau notis yang jelas mengenai perkara itu. Jangan ‘sorok’, (dan) akhirnya pelanggan yang tidak berpuas hati. Tetapi, sebagai pelanggan, mereka pastinya akan mempersoalkan caj tersebut, tambahan dengan adanya GST," tambahnya lagi.
Setelah mendapat perhatian orang ramai, akhirnya pemilik restoran mamak yang didakwa itu tampil memberi penjelasan. Dia berkata caj yang dikenakan itu sebenarnya satu kesilapan yang tak disengajakan.
“Sejak bil itu tersebar di Internet, ramai pelanggan datang dan bertanyakan perkara sebenar.
“Saya mahu tegaskan, kami tak kenakan bayaran itu. Ini adalah kesilapan pekerja ketika memberi bil itu kepada pelanggan. Kami telah buka bil lain dan tidak kenakan sebarang caj pendingin hawa kepada mereka,” jelasnya.
Katanya lagi, jika pelanggan menggunakan bilik di tingkat atas restoran itu untuk mengadakan mesyuarat atau berjumpa rakan-rakan tanpa memesan makanan atau minuman, maka pihaknya akan mengutip RM10 caj pendingin hawa daripada mereka yang duduk melebihi dua jam di premis berkenaan.
“Tetapi, jika mereka ada pesan makanan dan minuman, maka caj itu tidak akan dikenakan," katanya.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!