seismik

'Kenapa Bunuh Anak Saya?' - Ibu Mangsa Tragedi Kerusi Jatuh Tingkat 21 Kongsi Detik Sedih

"Saya tadah otak anak, dia hanya mampu pandang sebelum jatuh rebah."

Cover image via Berita Harian

Ibu mana yang tak sedih bila menyaksikan anak yang dikandung 9 bulan menerima musibah sehingga menyebabkan kematian di depan mata

Baru-baru ini telah digemparkan tentang seorang pelajar berusia lingkungan 14 tahun telah meninggal dunia akibat ditimpa kerusi pejabat yang dikatakan telah dibuang oleh salah seorang penduduk di PPR Seri Pantai, Pantai Dalam dari tingkat 21.

Pelajar itu yang dikenali sebagai Satiswaran telah menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang bertindak membuang kerusi itu ke bawah sehingga terkena beliau yang sedang melalui blok tersebut dalam perjalanan pulang bersama ibunya, Kasthuribai.

Kejadian ngeri itu telah disaksikan oleh ibunya dan penduduk di situ juga ada mendengar bunyi dentuman yang kuat walaupun tidak tahu apa sebenarnya berlaku

Salah seorang penduduk di situ, Halim Mohd Kassim, 47, berkata, ketika kejadian dia yang berada di tempat letak kereta di blok yang sama mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat.

“Saya fikir perkara biasa sebab memang selalu orang buang-buang barang dari atas. Tapi tak lama lepas tu saya mula dengar bunyi jeritan dan ramai orang mula berlari mencari.

"Saya lihat mangsa sudah terbaring kaku dengan keadaan kepala sudah pecah," katanya.

Kejadian itu menyebabkan Satiswaran mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu mendiang berkongsi pengalaman yang tidak akan dilupakan apabila dia dikatakan telah menadah otak anaknya menggunakan kedua-dua belah tangan sambil melihat anaknya itu rebah

Image via Berita Harian

M S Kasthuribai, 45, berkata dia hanya mampu tenung anaknya sebelum jatuh rebah dan menjerit meminta tolong. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh beliau di saat itu.

“Saya tergamam lihat anak terbaring di hadapan mata... kepalanya pecah. Ketika itulah otaknya terburai. Saya tadah dengan kedua-dua belah tangan.

“Saya pangku dia... goncang badan dia tetapi sudah tidak bernyawa. Saya jerit meminta pertolongan,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum anaknya ditimpa kerusi, mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai membawa anak bongsunya itu pergi ke kedai buku untuk membeli kad tambah nilai untuk membuat kerja sekolahnya.

Tiba-tiba ada sebuah kerusi entah datang dari mana melayang dan menimpa anak bongsunya.

Kasthuribai dengan sayu bertanyakan, "Kenapa bunuh anak saya? Dia hanya budak kecil yang tidak mengacau orang pun."

Image via Berita Harian

Menurut ibunya, mendiang adalah seorang kanak-kanak yang baik dan tidak pernah mengacau mana-mana penduduk di situ. Dia juga dikatakan akan membersihkan ruang koridor rumah jika terdapat najis haiwan ataupun air kencing haiwan mahupun orang dewasa yang sengaja kencing di tangga.

Kasthuribai turut menyuarakan luahan yang sangat kecewa, "Anak saya yang baik sudah tiada. Siapa mahu menggantikan nyawanya yang sudah tiada akibat kecuaian orang lain? Anak saya telah menjadi mangsa sikap orang lain," katanya lagi.

Turut simpati, YB Nurul Izzah akan bawa isu ini ke Parlimen dan meminta jaring keselamatan untuk dipasang di bawah lif setiap blok agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi

Kasthurabai menceritakan detik sedih itu kepada YB Nurul Izzah

Image via Berita Harian

Kasthuribai juga telah meminta YB Nurul Izzah untuk mengemukakan hal kematian anaknya ini kepada pihak yang berwajib. Beliau juga bersedia untuk menghadirkan diri ke Parlimen bagi membahas tentang isu keselamatan flat-flat di bawah selenggaraan DBKL pada sidang Parlimen pada Mac yang akan datang.


Mendiang seorang anak yang baik dan disenangi oleh ahli keluarganya. Terkilan dengan kejadian yang telah berlaku, ibunya masih trauma dan sedih tentang pemergian mendiang anak bongsunya itu.

Ahli keluarga mendiang Satiswaran tidak dapat menahan kesedihan

Image via Berita Harian

Situasi di rumah mendiang Satiswaran ketika ibunya menceritakan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu

Image via Malay Mail Online

"Dua hari sebelum kejadian, selepas balik dari sekolah, dia telah membersihkan ruang tamu rumah yang telah digenangi air akibat tempias hujan dari tingkap yang sudah reput. Air pun sudah penuh sehingga ke ruang tamu.

“Tanpa sempat makan dan salin pakaian seragam sekolahnya, dia terus membersihkan rumah terlebih dahulu untuk membantu saya,” katanya lagi.

Mendiang Satiswaran ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk upacara pengkebumian pada pagi ini pada jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Hindu, Kayu Ara, Damansara

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Ikuti lebih perkongsian hanya di SEISMIK!

You may be interested in: