Tun M: "Muka Saya Tidak Lagi Haram, Tak Perlu Lagi Koyakkan Gambar Muka Saya"
Tun M sentiasa sinis.
Seperti yang umum sudah tahu, semalam, 9 Mei, Pakatan Harapan (PH) telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti mudah 113 daripada 222 kerusi
PH yang merupakan gabungan daripada empat parti politik pembangkang yang baru dibentuk, telah menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.
Hal ini sekali gus akan menaikkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun M sebagai Perdana Menteri ke-7 negara, namun buat masa ini, upacara mengangkat sumpah masih belum berlangsung.
Walaupun terdapat kelewatan dalam pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri baru, itu tidak menghalang Tun M daripada memperlihatkan sifatnya yang terkenal dalam memberi komen sinis dan berbentuk sindiran
Ketika menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh para wartawan di sidang media kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pagi tadi, Tun M yang kelihatan tenang membalas pertanyaan dalam nada menyindir yang turut meringankan mood lebih-lebh lagi dalam situasi yang masih tegang ini.
Apabila ditanya mengenai kelewatan dalam upacara mengangkat sumpahnya yang sepatutnya diadakan pada pukul 9.30 pagi tadi, Tun M berkata terdapat kelewatan dalam melakukan segala perkara.
"Kita akan mempunyai PM, kelewatan akan bermakna kita tidak mempunyai kerajaan dan apabila anda tidak mempunyai kerajaan, anda tidak mempunyai undang-undang," katanya.
"Saya sangat mengantuk pagi ini. Saya bangun lewat. Banyak orang bangun lewat."
Apabila ditanya sama ada kelewatan dalam upacara mengangkat sumpahnya itu adalah disebabkan kerabat diraja tidak menyukainya, Tun M berkata beliau tidak tahu.
"Saya tidak tahu tentang sesiapa yang tidak menyukai saya. Saya seorang yang baik."
Beliau menambah, "Saya mempunyai sokongan majoriti anggota Parlimen. Itulah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Ini bukan tentang saya tidak suka kamu, saya suka kamu atau saya sayang kamu."
Kemudian, apabila para jurugambar ingin mengambil gambar, Tun M keluarkan kenyataan yang agak lucu
“Sekarang ini suka saya katakan bahawa muka saya tidak lagi haram, anda tidak perlu lagi koyakkan gambar muka saya.
"Saya tiada berkata apa-apa yang menentang kerajaan.
"Lagipun, pada masa ini tidak ada kerajaan. Sesiapa sahaja yang mendakwa bahawa dia menasihati kerajaan banyak cakap benda mengarut. Saya dengar Pendakwa Raya berkata dia adalah penasihat kerajaan... Karut!," ujarnya lagi.
Saksikan video penuh sidang media kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pagi tadi ini di bawah: