Kerajaan Mungkin Perkenal Tol Percuma Musim Perayaan Kepada Golongan B40 & M40 Sahaja
Ia bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi impak kepada rakyat yang memerlukan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan dijangka memperkenalkan mekanisme khas yang memberikan tol percuma atau diskaun hanya kepada golongan berpendapatan rendah seperti B40 dan M40, melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU)
Perkara itu adalah antara jangkaan dilaksanakan kerajaan susulan tindakan menamatkan pemberian tol secara percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini.
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T Saravanan, berkata PADU yang dibangunkan sebagai repositori data nasional, boleh digunakan untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat.
"Dengan pengumuman pendekatan yang lebih bersasar dalam pemberian tol percuma, terdapat beberapa jangkaan terhadap pelaksanaan langkah ini.
"Salah satunya ialah kerajaan mungkin memperkenalkan mekanisme khas yang memberikan tol percuma atau diskaun hanya kepada golongan berpendapatan rendah seperti B40 dan M40," katanya.
Tambahnya, langkah kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan.
Keputusan kerajaan tidak menawarkan tol percuma memberikan tiga isyarat penting pada rakyat
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, tahun lalu.
Dalam masa sama Saravanan berkata, keputusan kerajaan untuk tidak lagi menawarkan tol percuma sempena musim perayaan memberikan tiga isyarat penting kepada rakyat.
Beliau berkata, isyarat pertama, langkah itu mencerminkan usaha kerajaan dalam menyesuaikan perbelanjaan fiskal, yang menunjukkan keutamaan terhadap pengurusan kewangan negara yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
"Ini juga menunjukkan kerajaan berusaha mengurangkan subsidi berskala besar yang boleh memberi tekanan kepada kewangan negara dalam jangka panjang.
"Kedua, keputusan ini menunjukkan keutamaan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada keperluan yang lebih kritikal, seperti bantuan kepada golongan rentan dan pembangunan infrastruktur awam yang lebih berkesan," katanya.
Manakala, isyarat terakhir pula memberi gambaran bahawa kerajaan bertindak balas terhadap tekanan ekonomi semasa, termasuk peningkatan kos sara hidup dan cabaran ekonomi global, dengan mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam mengurus kewangan negara.
Ia juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi impak kepada rakyat yang memerlukan, bukannya sekadar langkah populis yang membebankan kewangan negara dalam jangka masa panjang.
Mengulas lebih lanjut, Saravanan berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan diskaun tol pada waktu luar puncak bagi menggalakkan penyuraian trafik dan penggunaan lebuh raya yang lebih cekap, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas pada musim perayaan.
"Pendekatan lain yang dijangka adalah melalui pemberian insentif perjalanan secara digital, seperti baucar tol atau rebat yang boleh ditebus melalui aplikasi diiktiraf kerajaan dalam tempoh tertentu.
"Langkah ini diharapkan dapat memastikan manfaat diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekali gus mengelakkan pembaziran sumber negara dan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan sistem lebuh raya negara," katanya.
Sementara itu, dari sudut penyelarasan subsidi, langkah ini boleh dianggap sebagai satu pendekatan yang baik kerana ia dapat membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan dengan memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang benar-benar layak.
Penggunaan sistem seperti PADU dalam menyasarkan penerima manfaat adalah satu langkah bijak kerana ia membolehkan penyaluran subsidi yang lebih tepat dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada mereka yang tidak memerlukannya.
"Selain itu, langkah ini juga akan meningkatkan kecekapan dalam penggunaan sumber awam dengan menyalurkan dana ke sektor yang lebih penting seperti kesihatan, pendidikan, dan pembangunan ekonomi yang memberikan manfaat jangka panjang kepada negara.
"Pendekatan ini juga dapat mengurangkan ketirisan subsidi yang sering berlaku apabila bantuan diberikan secara menyeluruh tanpa mengambil kira keperluan sebenar penerima," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!