Kereta Dicalar Dan Tayar Dipancitkan, Inilah Akibat Bila Parking Berjam-Jam Di Rumah Orang
Boleh pula terlupa dan tak sempat nak alih.
Bila dipanggil selama berjam-jam tak disahut sedangkan parking di depan rumahnya sendiri hanya dibiarkan kosong
Itu antara situasi yang terpaksa dihadapi oleh seorang penghuni yang tidak didedahkan identiti dan lokasinya apabila sebuah Perodua Myvi milik jirannya diletakkan di hadapan rumah tanpa sebarang keizinan daripadanya.
Keadaan menjadi bertambah tegang apabila panggilannya selama berjam-jam supaya mengalihkan kenderaan itu tidak mendapat sebarang respon mahupun sahutan.
"Apa patut aku buat bila tengok kereta jiran sebelah parking depan rumah aku? Panggil berjam-jam tak menyahut. Parking depan rumah dia dibiarkan kosong. Memang cari nahas ni. Hangpa rasa?" kata pemilik rumah yang tidak didedahkan identitinya.
Kejadian ini dipercayai berpunca daripada kesilapan pemilik kenderaan tersebut yang seolah-olah tidak bertanggungjawab
Memetik laporan daripada The Reporter, ini penjelasan pemilik kenderaan Perodua Myvi tersebut:
"Pada 10 Julai 2017, lebih kurang pukul 5 petang, saya balik dari kerja. Kemudian memotong rumput di halaman rumah. Jadi, saya alihkan kereta ke halaman jiran sebelah sebentar.
"Saya potong rumput sehingga jam 7.30 malam. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan saya bergegas masuk ke rumah dan terlupa kereta yang diletakkan di halaman rumah jiran sebelah.
"Keesokan harinya pula, saya terlambat bangun. Saya tergesa-gesa hendak pergi ke tempat kerja dan tak sempat nak alihkan kereta. Saya pergi kerja naik motosikal saja.
"Ketika berada di tempat kerja, saya baru tahu jiran sebelah dah bising. Lalu saya minta pas keluar selama dua jam untuk pulang dan alihkan kereta. Sampai saja di rumah, saya tengok kereta telah diperlakukan macam-macam. Habis kereta dicalar dan keempat-empat tayarnya juga telah dipancitkan," kata pemilik kenderaan tersebut.
Bukan itu sahaja, ayat "AKU BODOH" juga turut ditoreh pada kenderaan tersebut beserta beberapa nota di atas kertas putih
Pemilik kenderaan ini turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan jirannya yang dianggap terburu-buru dan terlalu mengikut perasaan.
Bagi beliau, perkara ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara yang baik memandangkan kedua-duanya merupakan orang Islam.