seismik

"Dalam 1 Saat, Semuanya Musnah" - Ketua Ekspedisi Rinjani Kongsi Detik Dihempap Runtuhan

Walaupun berjaya sampai ke puncak, tragedi gempa bumi ini memberi impak besar kepada mereka yang terselamat.

Cover image via Amanda Omeychua

Cuaca baik, langit cerah, dan segalanya tampak baik untuk pergi mendaki ke Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia minggu lalu

Gunung Rinjani merupakan salah satu gunung di Indonesia yang paling popular di kalangan pendaki Malaysia. Terletak di kepulauan Lombok, Gunung Rinjani setinggi 3,726 meter menerima kunjungan ratusan pendaki hampir setiap hari.

Jumlah pendaki yang datang ke gunung agung ini juga kian meningkat saban tahun. Pemandangan kawah gergasi yang menakjubkan dari puncak gunung menjadikan gunung ini begitu istimewa untuk diteroka.

Pemandangan dari puncak Gunung Rinjani. Menakjubkan!

Image via Farouq Johari

Malah, ada juga pendaki yang tidak serik untuk mendaki Gunung Rinjani berulang kali

Salah seorang ketua ekspedisi Gunung Rinjani dari Malaysia, May Lie Laili atau lebih mesra dengan panggilan Amanda Omeychua (Omey), 24, telah mendaki gunung ini sebanyak lima kali dalam masa 5 tahun.

Minggu lepas, Omey mengetuai ekspedisi bertarikh 25-29 Julai 2018 untuk membawa 18 pendaki dari Malaysia menakluk puncak Gunung Rinjani.

Image via Amanda Omeychua

Malangnya, pendakian kelima Omey tidak sama seperti sebelum ini apabila kepulauan Lombok digegarkan dengan gempa bumi sekuat 6.4 pada Skala Richter

Gempa bumi yang melanda Lombok pada Ahad, 29 Julai 2018 telah menyebabkan lebih 500 pendaki terkandas di Gunung Rinjani.

Meskipun keseluruhan ahli ekspedisi yang diketuainya berjaya menawan puncak Rinjani dan berjaya turun dengan selamat, apa yang terjadi selepas itu memberi impak yang besar ke atas karier pendakian Omey.

Image via Amanda Omeychua

"Dalam satu saat, semuanya musnah. Tiada apa yang boleh kami buat," kata Omey

Ahli ekspedisi Omey terpaksa berdepan detik cemas apabila kediaman homestay yang mereka diami tiba-tiba bergegar dengan kuat dan runtuh dalam sekelip mata.

Image via Amanda Omeychua

"Saya hanya mampu menjerit sebaik sahaja merasai gegaran. Saya sebagai ketua ekspedisi bertanggungjawab untuk memastikan semua ahli kumpulan saya selamat.

"Namun, semuanya berlaku terlalu pantas. Kami tidak sempat lakukan apa-apa dan segelintir ahli terperangkap dalam runtuhan, termasuk saya," jelas Omey.

Image via Amanda Omeychua

Menurut Omey lagi, cuaca tampak begitu baik sebelum ini dan mereka tidak diberitahu langsung tentang amaran gempa bumi. Kejadian ini benar-benar mengejutkan mereka.

Omey yang terperangkap di bawah runtuhan rumah tersebut mengalami cedera paling teruk berbanding ahli lain dengan lebih 10 cm jahitan di kepala

Image via Amanda Omeychua

Enam orang dilaporkan cedera, manakala tiga orang dikejarkan ke hospital untuk menerima lawatan lanjut.

Omey menerima jahitan lebih 10 sentimeter di kepala dan turut mengalami cedera lain di bahagian tangan, muka, badan, dan kaki.

Image via Amanda Omeychua

Ketiga-tiga ahli yang dimasukkan ke hospital masih belum pulih sepenuhnya dan perlu tinggal di sana untuk beberapa hari lagi sehingga pemberitahuan lanjut dari pihak Kedutaan Malaysia.

Lebih malang lagi, seorang ahli ekspedisi Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, tak dapat diselamatkan dan terkorban dalam runtuhan tersebut

Image via Ihsan Johor

Menurut Omey, beliau sangat bernasib baik kerana sempat ditarik keluar daripada runtuhan oleh ahli ekspedisi lain. Namun, nasib tidak menyebelahi seorang rakan pendaki apabila berlaku gegaran kedua semasa cubaan untuk menyelamatkannya.

"Ahli ekspedisi berusaha sedaya-upaya untuk menyelamatkan ahli lain yang terperangkap di bawah timbunan rumah.

"Ketika cubaan untuk menarik keluar Iesmawida, bumi secara tiba-tiba bergegar buat kali kedua, sekali gus menggagalkan usaha kami. Tiada apa lagi yang boleh kami lakukan ketika itu. Saya berasa sangat hampa," kata Omey.

Siti Nur Iesmawida (dalam bulatan)

Image via Amanda Omeychua

Omey turut berkata ini mungkin kali terakhir beliau menjejakkan kaki di Gunung Rinjani

"Cukuplah lima kali saya naik Gunung Rinjani. Saya rasa saya perlu berehat sebentar dari dunia hiking untuk tenangkan fikiran.

"Apa-apa pun saya sangat bersyukur kerana terselamat daripada bencana ini. Inilah ujian terbesar pernah saya hadapi dalam hidup saya dan saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian. InsyaAllah saya akan jadi lebih kuat lagi pada masa hadapan," katanya lagi.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Semoga semua pendaki dapat turun dengan selamat. #PrayForLombok

You may be interested in: