Dulu Elaun RM150 Sebulan Kini Dah Jelajah 39 Negara! Ini Kisah Inspirasi Acacia Diana
P/S: Dia bukan anak orang kaya.
Seriously, macam mana nak survive dengan RM150 sebulan?
Soalan ini memang susah nak jawab.
Apabila ditanya semula soalan ini kepada pengembara Acacia Diana, dia juga tidak mempunyai jawapan, walaupun pada suatu masa dulu dia pernah mengalaminya.
Begitulah kehidupan Acacia ketika menuntut di UiTM Shah Alam beberapa tahun lalu sebelum bergelar seorang pengembara.
Menurut Acacia, dia beruntung kerana berpeluang untuk tinggal bersama keluarga di Shah Alam sepanjang pengajiannya di UiTM. Tetapi ibu bapanya hanya memberi duit belanja bulanan sebanyak RM150 sahaja.
"Saya ingat lagi, saya memandu kereta Kancil second hand dan pada satu masa, saya terlanggar bahu jalan dan ada bahagian kecil kereta yang tercabut. Disebabkan saya tidak berduit, saya hanya mampu menampal bahagian tercabut itu dengan duct tape sahaja. Janji boleh jalan!" seloroh Acacia membuka bicara.
Ramai orang di luar sana mempunyai stereotaip bahawa Acacia ini adalah seorang anak orang kaya yang mengembara atas dasar "daddy kasi"
"Daddy kasi" dalam terma pasar orang-orang sekarang memberi makna "Bapa (daddy) memberi (kasi) segalanya kepada anak". Tanggapan seperti ini sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat apabila melihat seseorang yang living the life dengan mengembara hampir sepenuh masa.
Dan bila melihat pada Instagram feed milik Acacia, tidak hairanlah kenapa ramai orang menganggap beliau sebagai seorang anak orang kaya. Banyak negara dah dia jelajah dan gambar-gambar dia semua cantik-cantik weh!
Sebenarnya, Acacia, 27, bukan anak orang kaya. Dia hanya mendedikasikan setiap cutinya dengan bekerja secara part-time sejak berusia 17 tahun selepas tamat persekolahan.
Dari seorang pelayan restoran, penyunting, pekerja kedai buku, penolong perpustakaan, sehinggalah ke pembaca berita RTM, semuanya Acacia terjah sejak 10 tahun yang lalu.
Bercakap kepada SAYS, Acacia yang dilahirkan di Sheffield dan dibesarkan di Manchester sehingga berusia 14 tahun ketika ibunya melanjutkan Masters dan PhD berkata, ibu bapanya telah mendidiknya sedari kecil lagi bahawa dia perlu bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang diingini.
"Selepas habis SPM, saya menghabiskan setiap cuti saya dengan bekerja sehingga ke hari ini.
"Saya ambil apa sahaja peluang yang ada di depan mata, asalkan boleh buat duit dan tidak hanya menghabiskan masa dengan duduk di rumah. Tidak kisahlah kerja apa pun yang pastinya Halal," katanya.
Lihat Acacia sebagai pembaca berita 1NEWS di bawah:
Selepas pulang ke Malaysia pada usia 14, Acacia percaya bahawa dunia ini terlalu luas dan terlalu banyak perkara menakjubkan yang boleh diterokai melalui travel
Ibu bapanya juga amat menggalakkan dirinya mengembara ke merata tempat. Dan minat terhadap bidang seni bina sedikit sebanyak membantu Acacia untuk mengenali tentang sesebuah negara dengan lebih mendalam.
"Saya banyak mempelajari tentang sesebuah negara menerusi seni bina kerana setiap negara mempunyai ciri dan konsep yang berbeza. Lagi banyak saya belajar tentang sesuatu reka bentuk, lagi mendalam cinta saya terhadap negara tersebut.
"Contohnya Sepanyol. Saya amat sukakan seni bina Santiago Calatrava dan Antoni Gaudi. Jujurnya, saya melancong ke Sepanyol semata-mata untuk melihat sendiri dua seni bina agung tersebut dengan mata kepala saya. Perasaan yang saya dapat ketika itu cukup mengagumkan," katanya lagi.
Acacia mula mengorak langkah lebih jauh apabila berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Masters di University of Greenwich di London
Peluang itu digunakan sebaik-baiknya oleh Acacia untuk mengembara ke pelbagai negara serata dunia. Namun, apa yang ramai tidak tahu ialah betapa kerasnya Acacia bekerja separuh masa demi mengumpul dana untuk melancong.
Menurutnya, laman Instagram beliau hanya penuh dengan gambar-gambar khayalan yang tampak begitu indah. Tetapi ramai tidak tahu usaha di sebalik gambar-gambar berkenaan.
"Sepanjang di sana selama dua tahun, saya bekerja separuh masa hampir setiap hari. Saya mulakan hari dengan kelas di universiti dari pagi sehingga petang, kemudian saya akan menyambung hari saya dengan bekerja secara part time di beberapa tempat.
"Saya memang simpan duit 'kaw-kaw' semata-mata untuk travel. Banyak masa saya habiskan sendirian, tanpa berpeluang pergi melepak dengan rakan-rakan lain pada hari minggu. Saya hanya mampu melihat dari jauh kerana saya ada komitmen kerja yang perlu dipenuhi hampir setiap hari," kata Acacia.
Malah, Acacia terlalu gigih menyimpan dana travel sehingga sanggup makan mi segera dan roti sahaja kerana tidak mahu membazir
"Ada satu masa, saya langsung tidak makan luar. Saya hanya duduk di rumah dan masak sendiri. Semua orang pun tahu makan di luar memang lebih mahal berbanding masak di rumah.
"Mungkin ada orang yang fikir saya ni gila kerana sanggup makan mi segera sebab nak travel. Saya akui, cara saya ini mungkin tidak sihat dan tidak sesuai untuk orang lain praktikkan. Namun ketika itu, saya ada matlamat yang telah saya tetapkan dan yang saya ingin capai. Selagi saya belum memenuhi hajat tersebut, selagi itulah saya sanggup," kata Acacia lagi.
Sebelum ini, Tapau TV pernah menerbitkan sebuah video berjudul #PuasaPerantauan yang memaparkan rutin Acacia ketika berada di Greenwich. Lihat di sini.
Kegigihan Acacia itu ternyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya menjelajah ke 39 negara sehingga ke hari ini!
Sepanjang dua tahun di Greenwich, Acacia mampu travel hampir setiap bulan ke negara yang berbeza-beza.
Apabila ditanya trip manakah yang paling istimewa dan memberi seribu makna buat dirinya, Acacia memberikan dua jawapan iaitu Iceland dan Mesir.
"Saya yakin, tidak ada tempat di dunia ini yang begitu magikal seperti Iceland. Negara dengan kepadatan penduduk hanya 330,000 ini menawarkan pemandangan yang amat memukau dan tidak masuk akal. Kecantikannya tidak boleh diterjemah dengan kata-kata.
"Ada satu masa, di kawasan pemandangan terbentang luas yang indah, saya tidak nampak orang lain di situ selain saya dan seorang lagi rakan. Rasa seperti tempat itu kami yang punya. Menariknya tentang Iceland, anda tidak akan dapat duduk diam sepanjang perjalanan sebab semua tempat pun cantik sangat.
"Tapi paling istimewa tentunya pengalaman menyaksikan Aurora Borealis di depan mata. Walaupun sejuk membeku pada ketika itu, perasaan melihat cahaya kehijauan melambai-lambai di angkasa itu benar-benar mengujakan," jelas Acacia penuh teruja.
"Untuk Mesir pula, negara ini sama sekali bertentangan dengan Iceland. Dengan kesesakannya, debunya, penduduknya, dan kemeriahannya, saya rasa serabut dan hampir putus asa selepas sehari berada di sana dan ingin pulang secepat mungkin.
"Namun, detik camping di tengah-tengah padang pasir terus menjadikan trip ini bermakna. Boleh bayangkan memandu selama 5 jam di atas pasir, dengan pemandangan hanya gurun dan padang pasir tanpa sebarang bangunan? Itulah yang saya alami di sana dan itu adalah salah satu pengalaman hidup saya yang paling epik sekali.
"Saya bersama tiga orang rakan berkhemah in the middle of nowhere, dan pada waktu malam, kami hanya nampak bintang-bintang berkelipan di angkasa tanpa sebarang gangguan. Kami hanya nampak bintang dan tiada benda lain," ujarnya.
As far as our eyes can see, it was just stars, and stars on the horizon."
Pada pertengahan 2018, Acacia menarik perhatian syarikat fotografi gergasi Canon dan seterusnya beliau dilantik sebagai salah seorang 'Canon EOS Youth Ambassador'
Acacia mengakui dia bukanlah seorang jurugambar profesional. Kebanyakan gambar melancong yang diambilnya selama ini hanyalah menggunakan iPhone dan kamera amatur sahaja iaitu Canon 600D. Namun Acacia tetap mencuba nasib setelah diberi galakan oleh seorang rakan.
"Pada akhir 2017, Canon membuka penyertaan untuk mencari 'Canon EOS Youth Ambassador'. Seorang rakan saya menggalakkan saya untuk apply kerana menurutnya, saya ada kemahiran mengambil gambar. Jadi saya pun mencuba nasib walaupun tiada kepakaran.
"Saya berasa sangat kecil berada dalam kalangan jurugambar dan para peserta hebat yang lain. Bukan mudah untuk menjadi duta belia Canon. Setiap minggu kami perlu menghadiri kelas dan bengkel fotografi selama 8 bulan. Dari situ mereka mengajar kami, menilai bakat kami, melihat personaliti kami, dan macam-macam lagi," kata Acacia.
Canon akhirnya memilih 6 orang 'Canon EOS Youth Ambassador' termasuk Acacia daripada 30 calon keseluruhan
Sebagai seorang yang datang bukan dari bidang fotografi, Acacia tidak menyangka langsung bahawa dirinya layak dipilih untuk menjadi duta Canon. Namun menurutnya, Canon bukan hanya memilih jurugambar tetapi lebih kepada duta untuk mewakili dan membawa jenama Canon ke tahap yang lebih tinggi.
Dan Canon memilih Acacia atas dasar personalitinya yang menarik, kebolehannya bermesra dengan ramai orang, penguasaan dwi-bahasa, dan minat mendalamnya terhadap travel and photography.
Akhir sekali, Acacia berkata, "There are so many amazing things to be discovered in this world. So don't be afraid to explore!"
Oh ya sebelum lupa, Acacia juga merupakan seorang certified lifeguard. Jadi, kalau siapa-siapa lemas, boleh minta tolong dia selamatkan, okay? :D