9 Kali Najib Buat Pembangkang "Panas Punggung" Pada Ucapan #Bajet2018
Ouch!
Selesai sudah pembentangan #Bajet2018 yang dibawakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi
Namun begitu, dalam pada memberi ucapan, sempat juga Perdana Menteri "melepaskan tembakan" ke arah pakatan pembangkang dengan ayat-ayat "pedas" dan mencengkam.
1. "Orang Kedah semua baik-baik. Cuma seorang dua saja yang mudah lupa diri."
Sayang seribu kali sayang,… dalam pada kita ingin membina peradaban santun susila di antara satu sama lain, sampai hati,… dan,… tergamak sungguh ‘Orang Itu’ memaki,… mencerca,… etnik bangsa dari keturunan Bugis.
Tapi,… tak mengapalah,… apa yang penting,… kita wajar terus Berjiwa Besar, bak kata seloka dalam loghat Utara:
Orang Kedah semua baik-baik dan ramah-ramah,
Cuma, sorang dua sajaa, yang mudah lupa diri,
Kerajaan BN ini ikhlas, kerja untuk negara dan ummah,
Ni dia Bajet yang kita semua dok nanti-nanti.
2. "Pembangkang nak jual negeri juga ke?"
Hah…!!! Baru-baru ini, saya mendapat khabar berita,… katanya,… YAB Menteri Besar Selangor, merangkap Ahli Parlimen Gombak sendiri, telah pun berkunjung ke Tanah Besar China. Kita nak tanya,… YB Gombak,… Nak jual Selangor ke?
Demikianlah kata orang,…
Berhati-hatilah kalau mahu meludah ke langit, takut-takut nanti,… ia jatuh setepek,… terpalit ke muka sendiri.
Itu belum lagi dikira lawatan-lawatan ke luar negara yang dibuat oleh YB Bagan, juga YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Itupun kira macam mana,… kita kira macam mana, nak jual negeri juga ke..?
3. "Kita berasa simpati dan berbaur kagum dengan ketabahan Wan Azizah."
Menyentuh hal ini,… kita sesungguhnya berasa simpati dan berbaur kagum dengan ketabahan seorang insan bernama Wan Azizah,… atau lebih dikenali dengan nama Kak Wan,… dalam menempuh liku-liku hidup beliau yang begitu mencabar….. namun, berkat kesabaran,… Kak Wan terus cekal berjuang,….
Nampaknya, Kak Wan ada bersama-sama kita pada hari ini,…
Justeru, marilah kita sama-sama memberi tepukan kepada Kak Wan Azizah binti Wan Salleh, yang berada di atas sana,… contoh Sahabat AIM yang telah berjaya menjadi jutawan di bidang ternakan dan pemprosesan ayam, dengan modal permulaan hanya sebanyak 500 ringgit daripada AIM sejak 1993.
4. "Pihak pembangkang tanpa segan silu membuat 'u-turn' terhadap BR1M."
Sejak BR1M diperkenalkan, terbukti rakyat teramai menerimanya dengan senang hati dan rasa syukur. Jelas sekali, BR1M merupakan suatu bentuk subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukannya, terbukti keberkesanannya.
Hatta, pihak pembangkang yang begitu negatif terhadap inisiatif ini dan menuduh sebagai “dedak” itu dan “umpan” ini, tapi kini tanpa segan silu membuat “u-turn”, dan khabarnya Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah akur akan benarnya program BR1M oleh Kerajaan ini.
5. "Tanpa GST, bayangkan macam mana negara boleh menampung perbelanjaan rakyat."
Bercakap tentang GST lagi, pihak Kerajaan minta, agar sudah-sudahlah dipolemikkan sebagai isu politik,… kerana terbukti GST menjadi penyelamat kepada ekonomi kita tahun ini, kerana tanpa kutipan GST 41 bilion ringgit ini, kita tidak dapat bayangkan macam mana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat.
Jelasnya, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat tentang keputusan menerima sistem GST, ada yang kata GST diterima tapi based on zero-rate,… dan yang terbaru dah nak kembali ke SST pula,…
Tapi hakikatnya, apa yang telah Kerajaan lakukan itu, terakam dalam sejarah sebagai langkah berani yang terbukti kebenarannya.
6. Isu tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang mengorbankan 11 nyawa
Walau semaju mana kita mengejar arus kemodenan negara, kita tetap wajib memelihara kelestarian alam sekitar, sebagai khazanah warisan tanah air anak cucu kita.
Berkait ini, kita terkejut dengan tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Sabtu lepas, yang telah menimbus lebih 20 mangsa, dan 11 daripadanya disahkan meninggal dunia. Dengan tidak disangka-sangka, terbitnya serangkap keluhan, bagi meratapi peristiwa ngeri itu.
Yang terlebih syahdu, kerana ia dinukilkan sendiri oleh Ahli Parlimen DAP yang kita segani dari sebelah sana, Yang Berhormat Kepong, bertajuk, “Tanah Runtuh di Lereng Bukit” di ruangan Twitternya, yang berbunyi:
Ibu jaga anak kan sakit,
Darah tubuh beban kesihatan,
Pemaju bina leretan bukit,
Tanah runtuh korban insan.
Sebetulnya, apa kias yang YB Kepong ingin sampaikan, hanya Tuhan sahaja yang tahu,…
7. "The only thing consistent with the opposition is that they are continuously inconsistent."
Oleh semuanya itu, maka, ter-Nyahlah segala apapun bentuk Keraguan, yang cuba dipolemikkan oleh Pakatan pembangkang.
Realitinya, pakatan pembangkang-lah sebenarnya yang selama ini,… berada dalam Keraguan. Mereka ragu dengan kepimpinan mereka,… mereka curiga-mencurigai antara satu sama lain,… malah, mereka saling guna-memperguna sesama sendiri,… dengan izin Tuan Yang Dipertua dalam Bahasa Inggeris, when there is no certainty in political leadership, how can they be trusted to provide a sound economic leadership.
Waima, kononnya mahu menghapuskan BR1M, kini menyokong pula,… nak meniadakan GST, tapi kini, nak mengekalkan pula dengan zero-rate dan tambah balik SST,… nak memotong cukai itu dan cukai ini,… nak menghapuskan pinjaman PTPTN, tapi kini ternyata nak diadakan kembali,… nak memperkenalkan subsidi minyak, tapi kini beralih kepada subsidi bersasar,… dengan izin sekali lagi bak kata orang putih, THE ONLY THING CONSISTENT WITH THE OPPOSITION IS THAT THEY ARE CONTINUOUSLY IN-CON-SIS-TENT.
Apa yang kita sering dengar, asyik-asyik U-turn,… asyik-asyik u-turn,… and more u-turn,… sehingga segalanya membuat pemikiran rakyat dikeliru, didamak dan diracuni.
8. "Rakyat kini semakin bijak menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu intan."
Oleh itu, biarpun kita diherdik-herdik dan ditikam-tikam,… tak sedikit pun kan goyah Barisan ini,… kerana kita yakin bahawa, rakyat kini semakin bijak menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu intan.
Terlebih penting, pabila rakyat menghakimi dengan bijak nanti, dan terus bersatu hati dengan Kerajaan ini, barulah terbentang luas masa hadapan Malaysia yang cerah, saujana mata memandang.
Bagai disesuaikan dengan kalam Megat Terawis satu ketika dulu,… bila rakyat dan Kerajaan menjadi satu, barulah negara gagah perkasa kerana,…
Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita,… kalau nipis dihiris,… maka nipislah jadinya,… kalau tebal dihiris,… maka teballah jadinya…
9. "Kita wajib menggigit amanah dengan taring-taring sampai ke titisan darah terakhir."
Lalunya, bersumpah dan berjanjilah,… bersumpah dan berjanjilah bahawa, kalaupun terpenggal putus tangan dari badan,… sekalipun lumpuh kaki tidak bermaya,… amanah dan harapan rakyat yang kita genggam jangan sekali-kali terlepas dan tergadai kepada pihak lawan.
Ayuhlah,… kita wajib tetap menggigit amanah yang diberikan itu, dengan taring-taring dan geraham-geraham masing-masing,… sampai ketitisan darah yang terakhir,… membawa Barisan Nasional,…. menuju kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum Ke-14 nanti. InsyaAllah.