"Kuku Dicungkil, Kaki Dirantai" - Wanita Diculik Gara-Gara Hutang Suami Ini Jadi Perhatian
Mangsa kini dirawat di hospital.
Baru-baru ini, gempar berita seorang wanita diculik disebabkan hutang suaminya
Dia terpaksa melalui detik sukar apabila dikurung dan diseksa selama 10 hari di sebuah rumah di Georgetown.
Wanita itu dicucuh rokok di tangannya sambil kaki dan tangan diikat dengan rantai besi dan kabel. Kuku wanita itu juga diumpil menggunakan jarum.
Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Pulau Pinang dan JSJ Selangor, telah menyelamatkan wanita itu
Menurut sumber, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, terdahulu seorang lelaki Indonesia membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Selangor mendakwa isterinya yang sedang bercuti di Georgetown, diculik sekumpulan individu tidak dikenali.
Lelaki berkenaan mendakwa isterinya dikurung dan dicederakan dan meminta RM540,000 bagi melepaskan mangsa.
"Turut diselamatkan seorang lagi lelaki yang mendakwa dikurung kerana gagal menjelaskan hutang dan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 36 dan 27 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Pasukan polis telah menahan 14 suspek yang disyaki terbabit dalam kes itu
Suspek terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita warga tempatan serta dua lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 70 tahun.
“Mereka ditahan di sekitar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor dan ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah selain lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kesemua suspek termasuk dalang berusia 35 tahun direman tujuh hari sehingga 23 September bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Beberapa barangan juga dirampas termasuk empat kereta, telefon bimbit, pengikat kabel, rantai besi, getah paip dan wang tunai berjumlah RM4,800.
Mangsa kini masih dirawat di hospital serta berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!