Ditinggalkan Di Perhentian Bas 21 Tahun Lalu, Putera Berhasrat Mencari Ibu Bapa Kandungnya
"Apa yang ibu fikirkan dan perasaannya ketika itu?" - Mohamad Putera.
Viral di laman sosial baru-baru ini mengenai seorang lelaki yang mencari ibu bapa kandungnya selepas dia memuat naik keratan akhbar mengenai dirinya yang pada masa itu berusia 10 hari ditinggalkan di satu perhentian bas
Mohamad Putera Zainuddin ditinggalkan di perhentian di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 September 1996 lalu.
Gambar keratan akhbar itu dimuatnaik oleh Putera di laman sosialnya berserta caption:
"So this is the article. Nama JM tu is Normah Mat Rafin. she’s found me. Can anybody help me to track her?"
Misi pencariannya itu mendapat liputan meluas di media massa. Dalam laporan Harian Metro dia memberitahu dia berasa sedih setelah mendapat tahu dia ditinggalkan di sebuah perhentian bas.
"Menitis air mata saya apabila mendapat tahu saya dijumpai di perhentian bas. Bagaimanapun, pasti ada sebab mengapa ibu bapa kandung saya buat begitu," katanya.
Putera berkata dia tergerak hati untuk mencari ibu bapa kandungnya itu lalu dia telah pergi ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan yang menjadi tempat tinggalnya sebelum dijaga oleh keluarga angkatnya pada Jun lalu.
"Keluarga angkat mengambil saya sebagai anak angkat sejak saya berusia sembilan bulan lagi. Ibu bapa angkat saya memang berterus-terang memberitahu saya adalah anak angkat sejak di tadika lagi.
"Saya boleh menerima kenyataan itu," katanya yang juga anak tunggal dalam keluarga angkatnya itu.
Mohamad Putera yang merupakan penuntut di Kolej Perubatan di Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu jauh di sudut hatinya dia ingin mengetahui sama ada kedua ibu bapanya masih hidup
"Saya kembali ke Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah untuk membuka semula fail saya bagi mendapatkan petunjuk lokasi tempat tinggal ibu bapa saya.
"Bagaimanapun, kakitangan rumah kanak-kanak itu hanya menyerahkan fail sebelum meminta saya baca sendiri," katanya.
Menurutnya, hatinya luluh apabila membaca artikel di keratan akhbar yang disimpan di dalam buku rekod berkenaan.
"Saya ingat akan jumpa keluarga kandung dengan mudah sebaik melihat rekod berkenaan, namun sangkaan saya meleset. Tak sangka, saya dijumpai di perhentian bas oleh seorang bidan kampung atau kini dikenali jururawat masyarakat ketika berusia 10 hari," ujarnya.
Namun, bagi Putera dia tidak menyalahkan ibu bapanya, malah akan berusaha mencari keluarga kandungnya itu
"Mereka (ibu bapa kandung) tinggalkan saya dalam keadaan baik, lengkap berselimut, sarung tangan serta sarung kaki bayi dan baju yang comel.
"Mesti mereka menantikan kelahiran saya dan pasti ada sebab mereka lakukan begitu," katanya.
Dia berkata lagi, jika tidak dapat mencari ibu bapa kandung sekurang-kurangnya dia ingin bertemu dengan bidan kampung itu.
"Jika bukan kerana wanita itu jumpa saya, tidak tahu sama ada saya masih hidup atau tidak," katanya.
Dan baru-baru ini, dia telah pergi ke perhentian bas kampung tersebut bagi melihat keadaan lokasi di mana dia ditinggalkan 21 tahun lalu
“Saya sebak. Terlintas di fikiran apa yang ibu fikirkan dan perasaannya ketika meninggalkan saya yang baru berusia 10 hari di tempat itu bersendirian,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Dia mendapat lebih banyak info sewaktu berkunjung ke sana.
"Saya bertemu pakcik Hamid, antara individu terawal yang menemui saya. Dia dalam perjalanan ke tempat kerja dan melihat ada kotak ditinggalkan di perhentian bas itu.
"Selepas mendekati kotak itu dia ternampak tangan saya terkapai-kapai menyebabkan dia memanggil peniaga kedai runcit di hadapan perhentian bas berkenaan untuk membantu," ujarnya.
Peniaga berkenaan memaklumkan kepada pakcik Hamid ada mendengar bunyi kereta berhenti berhampiran kedainya sebelum mengetahui ada bayi ditinggalkan di situ.
"Pada 5.30 pagi, peniaga itu dengar bunyi kereta dan mungkin itu ibu saya. Namun sehingga kini tiada petunjuk untuk saya mengetahui siapa sebenarnya ibu saya," katanya yang memaklumkan dibantu Ketua Kampung Megat, Mohammad Jafri Maarof dalam usaha jejak kasihnya itu.
Mohammad Jafri juga antara yang terawal ke perhentian bas itu 21 tahun lalu selepas berita penemuan bayi di situ tersebar.