Lelaki Kongsi Pasang Surut Jadi 'Penanggung Tunggal' Kewangan Keluarga. Cukup Ke Duit?
"Rupanya, Allah tarik sesuatu untuk nak bagi sesuatu."
"Patutkah aku berhenti kerja untuk jaga anak-anak di rumah?"
Soalan seperti itu mungkin seringkali bermain di fikiran ibu-ibu yang mempunyai keinginan untuk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada rumahtangga dan anak-anak.
Namun begitu, tidak ramai yang mempunyai keberanian untuk melakukannya lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang tinggi ini. Banyak yang perlu difikirkan. Dengan kos pengurusan rumahtangga lagi, kos anak-anak lagi, nak bayar hutang lagi dan macam-macamlah!
Walau bagaimanapun, memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa bukanlah sesuatu yang mustahil
Apa yang penting adalah ianya perlu mendapat persetujuan sepenuhnya oleh kedua-dua suami isteri di samping persediaan dari segi mental, fizikal dan emosi perlu diberi perhatian sebelum seorang isteri (atau suami) mula bertindak untuk berhenti kerja.
Paling utama sekali, niat untuk berhenti kerja itu kena betul bagi mendapat keberkatan Yang Maha Esa. Seorang pengguna Facebook, Firdaus Shakirin telah berkongsikan kisah pasang surutnya bersama isteri apabila dia memilih untuk menjadi 'penyumbang tunggal' kewangan keluarganya.
Baca perkongsian penuh di bawah:
"Nak berhenti kerja ke tak..."
Ini berlaku pada saya dan isteri. Saya ada cakap kat isteri, nanti anak dah masuk sekolah rendah, darjah 1, berhenti la kerja, jaga anak-anak, besarkan anak-anak, ajar dia kerja-kerja sekolah. Saya tak nak pagi-pagi dia tunggu van depan rumah seorang-seorang. Umur baru 7 tahun, takut jadi apa-apa ja. Saya juga tak nak pengasuh ambik alih tugas kami untuk mendidik anak-anak.
Saya berdoa semoga niat untuk menjadikan isteri surirumah sepenuh masa itu termakbul dan saya minta Allah cukupkan rezeki saya untuk menanggung isteri dan anak-anak.
Memang dah set sebelum kahwin lagi pun yang saya nak kerja betul-betul, cari duit, ubah hidup saya supaya saya boleh 'letak isteri di rumah'. Planning untuk 3,4 tahun akan datang.
Lepas itu isteri tanya, "Nanti cukup ke?"
Insyaallah cukup saya kata. Kalau tak cukup pun, kita buat bagi cukup.
Nak dijadikan cerita, pengasuh saya mengandung setelah hampir 10 tahun dia tunggu, dia mengandung. Anak yang ketiga, insyaAllah. Gembira untuk dia, kurang gembira untuk saya dan isteri.
Siapa yang akan jaga anak saya yang 3 orang itu lepas ini? Budak-budak dah besar 3 tahun, 4 tahun. Dah kenal orang ini, mana mahu tukar orang baru. Then pattern shif pula, 2 orang jaga siang, satu orang jaga malam. Sebab yang kecil itu masih breastfeed dan ikut jadual isteri.
Hmm. Takpelah, saya cakap kat wife, tanya pengasuh, dia nak jaga sampai bila. Dia kata, dia jaga setakat mana yang dia larat. So, mungkin sampai dia sarat lah kot, lagi 4,5 bulan.
Sempat kot saya bersedia.
Tapi, kesian pengasuh tu, bukan rezeki dia, dia keguguran dan nak kena pantang
Dia cakap tak dapat jaga anak lagi dah. Jadi, immediately isteri saya ambil semua cuti yang dia ada. Annual leave, unpaid leave, MC, sampai habis sehinggalah bos tempat kerja call tanya, "Nak datang kerja atau tak?"
Fikir punya fikir, wife ada hutang dia, saya ada hutang saya. Dua-dua hutang banyak lagi. Kereta seorang sebiji, PTPTN lagi, duit rumah lagi, anak-anak akan hantar ke tadika lagi. Dua pendapatan, akan jadi SATU. Macam mana nak hidup? Tak cukup. Saving pun tak banyak. Cukup-cukup ja.
Wife terpaksa jugak berhenti. Saya kerja seorang.
Baru tengah sesuaikan diri, kami diuji lagi, lepas 6 bulan wife berhenti kerja, saya pula diberhentikan kerja disebabkan kilang yang saya kerja itu nak kurangkan pekerja. Sektor oil & gas. Ramai yang diberhentikan dan dapat gaji 3 bulan.
Saya dah pening. Wife tak kerja, saya pun bakal tak kerja. Dalam satu hari, beratus-ratus saya apply dalam Jobstreet, LinkedIn. Contact semua member-member, contact bos-bos lama. Bos-bos lama semua bagi respond yang positif, nak saya kembali bekerja dengan mereka. Respond dari application saya pun menggalakkan, banyak company call panggil interview.
Semua saya pergi. Saya tengok mana yang boleh bagi gaji yang lebih kurang dengan gaji saya sekarang ni.
Nak dapat gaji rendah sangat, komitmen banyak. Saya pun terima lah tawaran bekerja di satu kilang ni, gaji kurang 300 dari gaji lama. Jauh pula dari rumah. Baru masuk 2 hari, bos lama berbangsa Cina telefon, bagi gaji lebih 1K dari gaji sekarang.
Allahu. Lebih 1K. Rupanya, Allah tarik sesuatu untuk nak bagi sesuatu. Sekarang gaji ada lebih 1K plus 3 bulan duit pampasan.
Alhamdulillah, kini dah setahun pun kerja seorang, masih cukup. Sangat-sangat ajaib sebab 'duit cukup' walhal dua pendapatan jadi satu kot. Hutang masih sama. Hidup disesuaikan dengan pendapatan yang ada. Kalau dulu, bila-bila masa boleh pergi bercuti, sekarang ini, kena planning, kumpul duit berbulan-bulan baru boleh pergi. Beli barang keperluan pula, dulu ambil ja apa nak ambil, masuk troli. Sekarang kena buat list apa yang takde, beli cuma benda yang takde sahaja.
Banyak perubahan untuk menyesuaikan perbelanjaan dengan pendapatan seorang diri ini. Dah tak mewah macam dulu dah. Hidup biasa-biasa ja.
Tapi alhamdulillah, masih mencukupi sehingga ke hari ni. Nasihat saya, cuba sedaya upaya untuk penuhi hak-hak isteri, hak-hak anak-anak, jangan berkira dengan mereka. Then insyaAllah, selebihnya gaji kita itu cukup sampai hujung bulan. Allah yang cukupkan. Kalau isteri kirim suruh beli apa-apa, saya jarang sekali nak kata tak boleh, mesti beli. Sama juga bila anak-anak teringin nak apa-apa, mesti tunaikan juga.
Dan hubungan dengan Pemberi Rezeki itu pun kena lah jaga elok-elok. Semua yang kita dapat ini, datang dari-Nya. Dia yang memberi. Kalau kita ;tak baik' dengan DIA, macam mana DIA nak 'baik' dengan kita.
Kepada isteri-isteri diluar sana, doa dari kalian yang seorang suami perlukan bagi mencapai impiannya untuk meletakkan kalian ditempat yang sebaiknya untuk kalian.
Semoga bermanfaat. Maaf, panjang sangat.
Lain orang lain caranya. Sebelum memilih untuk berhenti kerja dan jadi surirumah sepenuh masa, bincang masak-masak dengan suami terlebih dahulu.
Semoga yang baik-baik sahaja jadi selepas itu. Amin!