seismik

Lelaki Share Kisah Isteri Persiapkan Dirinya Dengan 'House Chores' Sebelum Meninggal Dunia

Arwah telah meninggalkan suami bersama tiga orang anak yang masih kecil; Khaleef, 4 tahun, Khaleel, 3 tahun, dan Khaleed, 7 bulan.

Cover image via Facebook Khairul Abdullah

Setiap seseorang itu pasti akan diuji tuhan, semua orang akan merasai kehilangan

Image via Islam Itu Indah

Kesakitan kehilangan orang tersayang. Yang selalu disisi, dihati dan menemani jiwa setiap hari. Namun bila sampainya masa tuhan untuk ambil dia semula. Kita akan rasa satu dentuman halilintar yang memecah gunung-ganang, iaitu sakit yang tidak terhingga.

Namun begitu, harus dilihat bahawa sebenarnya kenangan dengan mereka itulah yang akan menjai sumber kekuatan. Ingatan bersamanya yang mampu membuat kita meneruskan hidup di samping tidak lupa untuk mendoakannya  dia, kerana dia ada dalam jalur masa hidup kita nan indah dulu.  

Seorang pengguna Facebook, Khairul Abdullah telah berkongsikan kisah dia meneruskan hidup sekembalinya isteri tercinta ke Rahmatullah awal Ogos lalu

Arwah telah meninggalkan suami bersama tiga orang anak yang masih kecil; Khaleef, 4 tahun, Khaleel, 3 tahun, dan Khaleed, 7 bulan. Arwah telah meninggal dunia akibat jangkitan kuman yang menyebabkan kegagalan organ.

Jika sebelum ini, segala urusan rumahtangga dilakukan bersama, kini Khairul terpaksa melakukannya seorang diri. Walau bagaimanapun, arwah isterinya telah pun mempersiapkan dirinya terlebih dahulu.

Baca perkongsian penuh di bawah:

Saya bernasib baik.

Tanpa sedar, isteri telah mempersiapkan saya bagi menghadapi saat ini.

Saya sering diajak untuk mengemas rumah bersama. Saya vakum, dia mop. Saya susun buku, dia lap meja, saya cuci toilet, dia kemas katil dan seterusnya begitulah.

Rutin mengemas diganti-ganti. Jadi saya tahu dan pernah buat kesemuanya.

Adakah dia sedang mempersiapkan saya?

Dia sering inginkan masakan yang dimasak di rumah. Keistimewaanya adalah memasak lauk pauk. Namun saya sering diminta masak masakan laian seperti laksa, segala jenis mee dan juga kek. Itu kebolehan saya.

Ketika dia mengandungkan Khaleef, kami jauh di perantauan. Memang takde peluang nak nikmati segala masakan sewaktu bulan puasa.

Macam-macam diinginkan dan habis segalanya saya kena masak, dari murtabak ke roti jala, dari sate sehingga ke soto dan segala jenis masakan.

Lalu saya handal memasak. Saya champion. Saya boleh memasak apa sahaja.

Memang dia sedang mempersiapkan saya.

Anak sulung kami, Khaleef, sayalah yang menjaganya sejak di hospital lagi.

Nurse memanggil saya untuk mengajar cara menguruskan bayi seperti membasuh berak, memandi dan memakaikan lampin.

Di Jerman memang begitu, suami harus belajar menguruskan anak.

Kebetulan saya seorang freelance yang mempunyai kontrak pekerjaan secara fleksible. Peluang tersebut saya ambil untuk menjaga Khaleef sepenuh masa.

Jadi saya belajar dan praktik lalu jadi pandai apabila melakukannya setiap hari. Saya sangat cekap dan tidak kekok menguruskan bayi.

Masuk anak kedua saya bertambah pandai. Masuk anak ketiga maka saya dah jadi champion.

Memang dia sedang mempersiapkan saya.

Anak-anak diajar untuk duduk di dalam carseat sejak hari pertama keluar dari hospital.

Walaupun anak menangis dia tidak mahu mengambilnya walaupun saya suruh begitu.

Katanya anak harus dididik, nanti mereka tiada disiplin. Walaupun kesian melihat anak menangis namun dia mahu hati saya keras di dalam mendisplinkan anak.

Memang benar, dia sedang mempersiapkan saya.

Apabila berseorangan begini menguruskan anak ke sekolah atau ketika keluar dari rumah ianya sangat membantu. Bayangkanlah kalau anak jenis tak duduk dalam carseat?

Macamana saya nak bawa baby? Macamana dengan si abang dan adik yang bakal melompat dan bergaduh di belakang? Pasti menganggu tumpuan pemanduan saya.

Jadi saya bernasib baik. Semua yang saya belajar, amalkan dan didik pada anak-anak rupanya sangat berguna untuk saya hari ini.

Sememangnya dia sedang mempersiapkan saya.

Katanya kami perlu ada dryer di rumah. Tak perlu lagi jemur pakaian. Nanti dengan anak yang bertambah, jumlah pakaian bertambah dan kerja nak membasuh jadi semakin berat.

Dan memang benar. Kerja-kerja laundry jadi sangat mudah. Namun kerja melipat dan menyusun masih lagi berat. Dia tidak mahu saya buat katanya saya seringkali gagal mengikut prosedur dan spesifikasi yang telah dia tetapkan.

Namun dia sering mengajak saya meneman dia ketika melipat dan menyusun pakaian. Yang pakaian begini harus disusun begini di dalam almari ini. Yang ini pula harus begini dan seterusnya. Semuanya bersistem dan ianya sangat memudahkan.

Dan hari ini, walaupun adik yang datang ke rumah tolong melipat pakaian, ianya tetap disusun seperti sistem yang telah ditetapkan. Mudah untuk saya mencari pakaian terutaman pakaian anak-anak yang saya perlu siapkan setiap pagi.

Sememangnya dia telah mempersiapkan saya.

Beberapa minggu sebelum pemergiannya dia ada memberitahu saya tentang fail-fail setiap urusan rumahtangga.

Dari fail anak-anak, schedule vaksin, akaun bank, akaun tabung haji, di mana letaknya segala dokumen dan pelbagai maklumat pengurusan kewangan yang perlu saya tahu.

Alhamdulillah, hari ini semuanya saya tahu. Semuaya tersusun kemas di dalam fail dan di dalam rekod excel yang dia buat. Semua login serta password akaun media sosial, perbankan, email dan sebagainya saya tahu.

Dengan mudah saya menutup semua akaun media sosial beliau dan juga akses ke akaun perbankan dan akaun-akaun online yang lain.

Akhirnya, memang saya telahpun bersedia.

Pemergiannya sangat mengejutkan. Saya dan anak-anak sentiasa redha yang jodoh kami dengannya hanya setakat itu sahaja.

Hidup perlu diteruskan bagi menunaikan amanahnya.

Ramai orang kagum bagaimana saya melakukannya. Seorang lelaki yang perlu menjaga 3 anak kecil yang seorangnya masih lagi bayi.

Bolehkah dia tukar lampin? Bolehkah dia beri susu? Bolehkah dia beri makan? Bolehkah dia tidurkan anak-anaknya? Bolehkah itu, bolehkah ini dan macam-macam lagi.

Yer, saya boleh.

Ini kerana saya telahpun bersedia.

Terima kasih wahai sayang.

Terima kasih.

Adakah anda semua sudah bersedia?

#diariseorangsuperdaddy

Boleh lihat perkongsian saudara Khairul dalam satu temubual di bawah:

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: