Mahasiswa Dan Politik, Apakah Kebaikan Dan Keburukannya?
Suara dan pendapat mereka juga perlu diambil kira.
Mahasiswa juga mempunyai suara keramat dalam mengetengahkan idea dalam pembangunan Malaysia, walau bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mudah
Syed Mohamed Arif bin Syed Abdul Rahim yang merupakan koordinator untuk Barisan Nasional Youth Volunteer Selangor berkata, politik itu merangkumi pebagai aktiviti yang bukan sahaja dari segi intelek dan pentadbiran.
Aktiviti-aktiviti kesukanan, kesukaralewanan, kebajikan dan kesenian juga dititikberatkan.
Tambahnya lagi, semasa beliau masih lagi seorang pelajar beliau bergiat dengan Kelab UMNO, dimana boleh dikatakan sebagai Apolitical, akan tetapi kelab tersebut memegang nama UMNO yang merupakan nama sebuah parti politik.
Mahasiswa seharusnya sentiasa cakna perihal perkembangan semasa yang terjadi di dalam negara
Mustaqim Rosidi yang merupakan Ahli Jawatan Kuasa, Mahasiswa AMANAH berkata sebagai bakal-bakal pemimpin, mahasiswa sangat perlu cakna dan ambil peduli hal-hal politik semasa negara, ini kerana mahasiswa adalah kepimpinan masa hadapan.
Hal-hal politik berkait rapat dengan perbincangan dasar-dasar negara yang akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia.
Antara isu semasa yang mahasiwa perlu tahu dan ambil cakna seperti isu PTPTN, isu kesempitan wang mahasiswa, survival hidup di kampus dan isu-isu lain yang berada dekat dengan pelajar universiti.
Suara mahasiswa penting dalam politik di negara kita kerana mahasiswa adalah golongan terbesar di negara kita yang merupakan agen perubahan utama negara
Kedua-dua mereka setuju yang golongan mahasiswa ini adalah golongan yang intelektual dan merangkumi majoriti masyarakat yang akan bekerja serta menjadi penggerak ekonomi dan pentadbiran suatu hari nanti.
Selain itu, dapat dilihat bahawa mahasiswa yang cenderung kepada politik sama ada menceburi secara langsung atau tidak langsung, akan lebih bermaklumat berbanding mahasiswa yang tidak berminat.
Bagi Mustaqim, secara peribadi beliau melihat teman-teman mahasiswa yang menceburi politik di usia muda juga lebih berketerampilan dalam melaksanakan tugasan-tugasan lapangan dan ketika berhadapan masyarakat di luar dalam bidang kerjaya masing-masing.
Walau bagaimanapun, ada kebaikan dan juga keburukan dalam menyertai politik di usia muda
Bagi Syed, dengan menjadi mahasiswa yang aktif dengan politik kita akan berjumpa pelbagai jenis manusia yang baik atau yang buruk.
Tetapi yang paling penting adalah pengalaman yang tidak dapat dicari di tempat lain.
Keburukannya pula, bagi Mustaqim, mahasiswa yang terlibat dalam politik akan secara automatik dicop sebagai “pembangkang” atau dilabel dengan gelaran-gelaran yang tidak elok.
Selain itu, kadang-kala wujud tekanan daripada pihak dalaman sendiri jika mahasiswa membangkitkan isu-isu tertentu yang diperjuangkannya jika berlawanan dengan pihak kampus.
Malah, mahasiswa juga terdedah kepada risiko digantung atau dibuang pengajian oleh pihak kampus jika didapati terlibat dengan pelanggaran Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971).
Menjelang PRU14 ini, mahasiswa seharusnya bijak membuat pilihan bagi memilih kerajaan yang betul
Menurut Syed, memilih kerajaan adalah sesuatu yang susah dan mahasiswa seharusnya bijak dalam membandingi manifesto yang telah dibentangkan.
Baginya kita seharusnya bertanya kepada diri sendiri "jika saya adalah kerajaan apa yang akan saya lakukan".
Tambahnya lagi, beliau yang merupakan generasi Y akan memilih Barisan Nasional kerana masih banyak yang boleh diperbetulkan dan dibangunkan seterusnya menjadi negara yang berkembang.
Faktor yang paling utama ialah mahasiswa ingin melihat Malaysia yang baru iaitu Malaysia yang bebas rasuah dan skandal serta satu pembaharuan dalam struktur pemerintahan
Bagi Mustaqim pula, persiapan mahasiswa menjelang PRU14 perlu berada di tahap paling tinggi sekarang ini kerana beberapa faktor;
Pertama sekali, kerajaan sedia ada sudah lama dan terpalit dengan pelbagai skandal sehingga menjejas nama baik negera.
Tidak banyak yang mahasiswa tuntut cukuplah sekadar kerajaan peka dan peduli tentang isu mahasiswa.
Selain itu, isu GST juga tidak lari dari tuntutan mahasiswa kerana majoriti mahasiswa ini tidaklah bergaji akan tetapi kehidupan sehariannya tidak lari dari cukai GST yang membebankan.
Tambahnya lagi, mahasiswa juga sudah muak dengan janji-janji kerajaan yang acuh tak acuh, ditambah pula dengan jawapan dan respon menteri yang kadang kala langsung tidak masuk akal.
"Akhirnya saya yakin dengan gandingan pimpinan pakatan harapan Tun dan Anwar serta beberapa pimpinan lain akan menjadi fokus utama golongan mahasiswa untuk melihat Malaysia yang baru, Malaysia yang lebih jauh ke hadapan," ujar Mustaqim.
Bagaimana pula dengan anda? Sudahkah belia semua bersedia untuk PRU14 kali ini?