Tun Mahathir: "Tak Mungkin Ada Lebuh Raya Tanpa Tol" - Ini Reaksi Netizen
Menurut Tun Mahathir, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol adalah mustahil dan tidak mungkin dapat diwujudkan.
Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan manifesto lebuh raya bebas tol yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya terdahulu
Menurut beliau, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol adalah mustahil dan tidak mungkin dapat diwujudkan.
“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini menjadi beban yang besar.
“Pada masa itu saya menentang, saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma…ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Tun Mahathir juga mempersoalkan siapa yang akan bertanggungjawab dalam menyelenggara atau membina jalan baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol
“Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya, mereka mahu meraih keuntungan tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?” katanya.
Selain itu, beliau turut berkata bahawa walaupun tiada jalan bertol di negara England, namun kerajaan disana mengenakan cukai yang sangat tinggi ke atas petroleum dan apabila harga petroleum naik, kenaikan cukai akan menjadi lebih tinggi.
“Jadi, mereka menggunakan wang itu. Bagaimanapun, jika anda memperoleh wang daripada hasil jualan petroleum, rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya juga perlu membayar.
“Tetapi di sini, pengguna (lebuh raya) yang bayar. Inilah pegangan kita, bagi mereka yang tidak menggunakan (lebuh raya) mengapa mereka perlu bayar?” tambahnya lagi.
Tun Mahathir sebelum ini pernah berkata bahawa kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara yang diikrarkan oleh kerana sebahagiannya akan mengakibatkan kerugian yang sangat besar buat negara jika dilaksanakan.