Majikan Buat Tak Peduli, Gadis Dedah Usaha Bapa Sedekah Barang Dapur Pada Warga Bangladesh
Alhamdulillah.
Kini sudah memasuki minggu ketiga Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan
Susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dijalankan ketika ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang bertujuan untuk membantu meringankan beban yang dialami masyarakat umum.
Muhyiddin berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat ini berjumlah RM250 bilion yang mana ia akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Namun begitu ketika di musim Perintah Kawalan Pergerakan ini, antara insan lain yang turut terjejas adalah warga asing yang menetap dan bekerja Malaysia.
Ketika perintah tersebut berlangsung, sudah tentulah punca pendapatan mereka sedikit terjejas lebih-lebih lagi jika gaji yang diterima mereka sebelum ini diperoleh secara harian.
Justeru, memahami kesukaran yang sedang dialami warga asing ketika ini, seorang bapa mengambil inisiatifnya yang tersendiri dengan membantu menghulurkan bantuan kepada mereka
Usaha yang dilakukan lelaki berhati mulia tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter yang juga merupakan anaknya iaitu @atashazmi.
Menurut gadis itu, dia berbangga dengan usaha dilakukan oleh bapanya ketika ini yang menghulurkan bantuan kepada sekumpulan warga Bangladesh.
Katanya, majikan warga asing berkenaan telah mengabaikan kebajikan mereka malah sedikit pun tidak menghulurkan bantuan kepada kelompok terbabit.
Tindakan murni yang dibuat oleh bapa gadis ini secara tidak langsung telah menyentuh hati netizen di Twitter
Sejak artikel ini ditulis, perkongsian tersebut telah mendapat lebih daripada 11 ribu RTs dan 18 ribu tanda suka.
Rata-rata mereka menyifatkan ia sebagai satu usaha yang sangat baik dan mengucapkan tahniah kepada keluarganya yang mengambil berat akan keperluan golongan terjejas.
Malah, mereka turut mendoakan agar keluarga gadis ini sentiasa dimurahkan rezeki sebagai balasan atas usaha mereka membantu orang yang tidak berkemampuan.
Alhamdulillah, bersyukur apabila masih ada insan yang mengambil berat tentang kesusahan orang lain seperti bapa gadis ini. Harap ia dapat dijadikan contoh oleh orang di luar sana.