seismik

'Nanti Mak Kata Saya Bodoh' - Rintihan Murid Tahun 1 Yang Meruntun Hati Gurunya

"Anak-anak juga ada maruah dan harga diri." - Cikgu Asmadi Samad

Cover image via Astro Awani

"Mak kata saya bodoh"

Kipas usang dalam bilik darjah ini masih utuh berputar meskipun pelbagai bunyi dikeluarkannya. Tidak laju, namun angin yang dihasilkan cukup untuk membuat mata anak-anak semakin layu. Apatah lagi apabila waktu sudah menginjak ke jam 6 petang.

Kesemuanya seolah-olah sudah tidak bermaya. Termasuklah saya, seorang guru mendekat usia 40 tahun yang masih melompat dan bermain dengan anak-anak tahun satu ini.

Dalam layu mata menahan mengantuk yang amat sangat, tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon dari salah seorang rakan guru yang turut mengajar di tahun 1. Meminta saya untuk segera hadir ke kelasnya.

Beliau sudah menunggu di luar kelas saat saya menghampiri kelasnya. Bercekak pinggang sambil tersenyum. Saya sebenarnya mengkagumi guru wanita ini. Usianya sudah mendekat 50, namun masih gigih bertenaga mengajar anak-anak di tahun 1 ini.

“Akak rasa si Azril tu dah terberak kat dalam seluar,”bisiknya perlahan apabila saya betul-betul berada dekat dengannya.

Begitu berhati-hati dia agar suaranya tidak didengar oleh anak murid-anak murid yang lain. Sangat prihatin dia menjaga aib anak muridnya.

“ Cubalah madi tengokkan”, sambungnya lagi.

Ini seolah-olah sudah menjadi sebahagian tugas ‘rasmi’ku. Menyelesaikan kes-kes murid lelaki yang terkencing atau terberak di dalam seluar.

Perlahan saya mengetuk pintu kelas, memberi salam kepada murid – murid yang sedang tekun membuat latihan.

facebook.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via hannahumairah.blogspot.com

“Azril, mari ikut cikgu sekejap”, laungku sambil tersenyum ke arahnya. Murid- murid lain sekadar mengangkat kepala memerhatikan Azril dengan perlahan bangun dan berjalan menuju ke arahku. Barangkali tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

Saya membawanya masuk ke tandas lelaki. Mengunci tandas daripada dalam agar tidak ada orang lain yang memasukinya.

“Azril berak dalam seluar ke?” soal saya.

Dia mengangguk lemah. Raut wajahnya menjadi suram kelat. Barangkali menggambarkan betapa secara dalaman beliau sebenarnya amat tersiksa dengan apa yang berlaku.

“ Tali pinggang tak boleh bukak”, sambungnya secara tiba-tiba.

Aku melemparkan senyuman. Tidak mahu aku menekannya lagi dengan wajah ketat atau marah kepadanya. Bagi saya anak-anak dalam keadaan ini sudah tentu menjadi serba salah. Macam- macam barangkali ada dalam benaknya.

Barangkali bimbang di marahi oleh guru kerana tidak ke bilik air untuk membuang air besar. Pasti juga malu kepada rakan sebaya yang lain yang mungkin selepas ini akan mengejeknya kerana berak di dalam seluar. Ya, sudah pasti macam -macam lagi rasa yang bercampur baur. Tidak mahu saya menekannya lagi dengan wajah ketat dan masam mencuka.

“Takpe. Mari kita bersihkan dulu. Nanti lepas ini cikgu akan telefon mak atau ayah kamu untuk ambil kamu dalam sekolah,”pujukku.

facebook.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Harian News/Facebook

Serta merta wajahnya berubah. Matanya mula berkaca-kaca. Dadanya mula berombak-ombak. Kembang kempis hidungnya menahan tangis yang ingin keluar.

Dalam teresak-esak itu dia berkata,
“Nanti mak kata saya bodoh lagi, taknak. “

Terpinga-pinga saya mendengar kata-katanya. Saya merendahkan badan mengadapnya.
“Azril, takkan mak nak cakap Azril macam tu, “bangkang saya meragui kata-katanya.

“ Mak cakap kat kawan-kawan dia saya tak pandai. Pergi sekolah tak tahu belajar apa. Tak pandai”, sambungnya dengan esak tangis yang semakin kuat.

“Azril, mak tak cakap Azril bodohkan?”, soal saya inginkan kepastian. Bukan apa kadang-kadang anak-anak memang bijak membuat kesimpulan. Malangnya kesimpulan yang dibuat selalunya menggunakan perbendaharaan kata yang sering mereka dengar dan guna.

“ Tapi mak cakap abang tak pandai. Kat kawan-kawan dia”, sambungnya membahasakan dirinya abang.

“Tak pandai bukan semestinya bodoh. Azril kan baru darjah 1. Belum pandai lagi. Nanti lama-lama kalau Azril belajar betul-betul Azril pandailah,“ jawab saya menenangkannya.

Saya faham kadang-kadang anak-anak ini dengan akal gopoh mereka akan cepat membuat kesimpulan dari apa yang mereka dengan dan lihat. Apatah lagi sekiranya perkara tersebut dilakukan oleh ayah dan ibu mereka.

Saya percaya kadang-kadang ada ibu atau bapa yang bersembang sesama rakan dan secara tak sengaja berseloroh menggunakan perkataan –perkataan yang tanpa mereka sedar memberikan makna yang berbeza kepada anak-anak.

“Entahlah anak aku ni, tak tau dia ke sekolah belajar apa. Tak pandai-pandai”.
“Kau tengoklah anak aku ni, asyik main je. Tu yang tak pandai-pandai tu.

Bahkan ada sesetengah ibu bapa juga yang tanpa rasa bersalah menjatuhkan air muka anak-anak di depan rakan- rakan mereka dengan menggunakan ayat-ayat yang tidak sepatutnya.

“Ok lah kawan, aku jalan dululah. Anak-anak aku kat belakang ni dah macam monyet dah melompat."

facebook.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via ibudoakan.com

Kawan,

Apa sangat yang anak-anak kita faham mengenai bahasa-bahasa gurauan yang kita gunakan dengan rakan-rakan kita. Anak-anak juga ada maruah dan harga diri. Bukankah dengan menghina mereka sedemikian rupa di hadapan orang lain boleh menjatuhkan maruah dan harga diri mereka. Bukankah kita yang sepatutnya menanamkan rasa bangga dengan diri mereka dan melindungi maruah mereka.

Saya pernah ditegur oleh seorang sahabat yang saya anggap seperti guru saya hanya kerana mengatakan kepadanya bahawa anak saya hantu rambutan. Suka sangat kalau dapat buah rambutan.

“Hantu ni buruk sangat perangainya. Kamu nak anak kamu jadi hantu sungguh ke? Dia dengar apa yang kamu cakap. Tapi dia mungkin tak faham pun istilah main-main hantu yang kamu sebut,”tegurnya yang bagaikan genggaman kuat yang meramas jantung. Pahit tapi itulah kebenarannya.

Azril barangkali salah seorang murid yang sering berhadapan dengan perkara ini. Sehinggakan gurauan ibunya bersama rakan-rakannya turut dianggap serius dan dirumuskan dengan kefahamannya sendiri..

Matanya masih berkaca-kaca. Sambil tangannya terus menjirus-jirus kakinya yang sudahpun bersih.

Saya kembali berdiri mengadapnya. Membantunya menutup pili air dan memimpinnya ke kawasan berlantai kering di dalam tandas murid lelaki. Mengeluarkan persalinan baru dari beg plastik putih dan memakaikan untuknya. Pakaian sekolahnya yang berjeruk basah itu saya masukkan ke dalam beg plastik hijau untuk di bawa balik.

facebook.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Astro Awani

“Esok, Azril datang sekolah macam biasa ya. “Nanti cikgu telefon bagitahu ibu elok-elok. Insyaallah ibu tak marah.

Kami berdiri di luar pintu tandas. Sekolah telah mula lengang. Murid-murid lain sudahpun beransur pulang. Dari jauh terkocoh-kocoh kelibat seorang lelaki tinggi lampai menuju ka arah kami. Ayahnya.

Saya bersalam dengan ayahnya dan menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Menunjukkan betapa ketatnya talipinggang yang dijerut sehingga menyukarkannya untuk membuka talipinggang tersebut.

Terselit juga sedikit nasihat untuk menjaga tutur kata dan bahasa di depan anak-anak yang sedang membesar. Bukan bermakna saya yang terbaik atau pandai serba serbi, tetapi kerana inilah suara dari anak-anak kalian yang kalian amanahkan untuk dididik. Lalu kami sampaikan hasrat mereka buat kalian yang mereka letakkan segala pengharapan.

Asmadi Abdul Samad
Suara anak-anak tahun 1

p/s : Di bawah saya kongsikan jenis talipinggang yang selalu buatkan anak-anak terberak dalam seluar. Sangkutnya boleh jadi terlalu ketat sehingga anak-anak gagal membukanya. Kalau bak buang air kecil ok lagi, tapi kalau nak terberak memang malapetaka. Pastikan ianya tidak di ikat terlalu kemas. Labih elok lagi pakai yang jenis ada lubang.

facebook.com

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Dalam pada itu, kisah ini juga meruntun hati kami:

You may be interested in: