Solat Terbantut Sebab Bayi Asyik 'Kacau'? Ini Panduan Solat Sambil Dukung Bayi Yang Betul!
Jangan sengaja melewat-lewatkan solat walau apa gangguan pun!
Pernah tak ibu atau bapa yang mempunyai bayi terpaksa melewatkan solat sebab di'ganggu' anak kecil itu?
Bagi mereka yang mempunyai anak kecil pasti pernah merasai situasi dimana anda ingin menunaikan solat tetapi sering terbantut ekoran bayi anda itu meragam. Disebabkan itu anda perlu menunggu anak untuk tidur terlebih dahulu kerana risau jika dibiarkan dia akan mula merayap.
Bahkan semua suri rumah pasti pernah berhadapan dengan situasi ini sewaktu nak solat di rumah atau di mana saja. Dikhuatiri bayi anda akan mula menangis apabila si ibu seperti tidak peduli lagi tentangnya ketika bersolat. Oleh kerana tidak sampai hati meninggalkan anak sendirian, pasti solat ibu tak khusyuk dan kadang-kala terpaksa berhenti solat sehingga anak kembali reda.
Sebenarnya solat boleh sahaja dilakukan walau dengan kehadiran bayi. Caranya? Dukung sahaja bayi itu semasa solat.
Mungkin masih ramai yang tidak tahu bagaimana cara untuk menunaikan solat sambil mendukung bayi. Bahkan ada juga yang tertanya-tanya apakah hukum solat bersama anak kecil, samada ianya sah ataupun tidak.
Oleh kerana tidak tahu dan tidak pasti, barangkali mereka terpaksa melengahkan atau menangguhkan solat kerana risaukan bayi mereka, walaupun waktu solat semakin habis tetapi dengan niat akan menunaikannya apabila terdapat waktu terluang.
Satu perkongsian di laman Facebok oleh Puan Insyirah Soleha benar-benar dapat membantu anda menyelesaikan masalah ini. Puan Insyirah telah berkongsikan panduan tentang solat sambil mendukung bayi dan juga cara-cara menunaikannya langkah demi langkah.
Islam merupakan satu agama yang bukan sahaja indah tetapi sangat mudah. Malahan Islam mempunyai hukum untuk menunaikan solat bersama bayi samada didukung atau dibawa bersama ke masjid.
Ini menjadikan sesiapa saja yang mempunyai anak kecil boleh solat dengan bayi anda tanpa sebarang masalah.
Baca perkongsian penuh Puan Insyirah di bawah:
Selalu ibu-ibu bila ada anak kecil, tak seronok terasa peluang ibadah semakin sempit. Selalu rindu nak solat berjemaah dengan kawan-kawan.
Jadi, suami cadangkan untuk kami berkongsi cara untuk solat dengan anak kecil. Mungkin ada masa anak meragam tak mahu duduk, ibu pula dah makin singkat waktu untuk solat. Daripada luput waktu solat, boleh sahaja solat dengan anak kecil.
1. Ibu ayah boleh salin pampers anak sebelum solat. Kalau memang pampers anak berat dengan air kencing atau berak, basuh dahulu. Bagi anak selesa.
2. Ibu biasanya dapat agak masa untuk salin pampers anak, jadi boleh sedia untuk tukarkan pampers anak sebelum solat.
Permasalahan mendukung anak yang memakai pampers:
1. Berhubung dengan najis
متصل بالنجاسة
2. Menanggung najis
حامل النجاسة
Dua perkara ini berbeza:
Contoh berhubung dengan najis ialah tahi cicak pada pakaian kita semasa solat.
Contoh menanggung najis ialah kita solat atas karpet masjid, ada najis pada hujung saf.
1. Najis pada pakaian
2. Najis pada karpet.
Apa hukum kedua-dua situasi tersebut?
1. Sah kedua-dua solat?
2. Tidak sah kedua-dua solat?
3. Salah satu sah?
Solat tidak sah sekiranya najis pada pakaian kita semasa solat, tetapi solat sah sekiranya tahi cicak hujung karpet tempat solat.
Sama juga seperti dukung bayi BELUM BERSUNAT dan PAKAI PAMPERS, kita tidak menempel najis pada tubuh kita.
Ia juga terpakai kepada mana-mana sahabat yang berniat bawa anak menunaikan umrah, sama kondisi seperti persoalan solat.
Kalau kita mencari sebab tak boleh, memang selamanya kita akan cakap tak boleh. Dalam Islam, sentiasa ada solusi untuk setiap tribulasi.
Isteri, suka sangat bila suami tawarkan diri untuk jadi imam dan solat berjemaah.
Selepas suami solat berjemaah di surau/masjid, boleh balik rumah solat sunat 2 rakaat sambil isteri jadi makmum untuk solat fardhu. Jadi, isteri boleh solat berjemaah dengan suami.
Saya kongsikan video bagaimana untuk solat dengan bayi kepada para bapa supaya selepas ini boleh sama-sama berjemaah dengan isteri dan anak-anak.
Contoh bapa solat sambil mendukung bayi atau anak kecil
Contoh solat sambil mendukung anak kecil atau bayi untuk ibu
NOTA TAMBAHAN:
Ibu bapa mestilah memastikan dada sentiasa mengadap ke arah kiblat.
Semoga bermanfaat untuk semua ibu ayah yang berusaha biasakan anak-anak dengan rutin solat.
Wahai Tuhanku,
Jadikanlah aku dan zuriat keturunanku dari kalangan orang yang mendirikan solat, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang soleh.
Ummu Amir & Abu Amir Saif Azuran.
Sebarkan kasih sayang.
#SolatDenganBayi
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua muslimin dan muslimat.
Ingat, jangan sengaja melambatkan solat!