Kerap Tinggalkan Solat Tapi Ingin Berubah? Ikuti Cara Qadha Solat Fardhu Yang Ditinggalkan
Sembahyanglah kita sebelum kita disembahyangkan.
Solat merupakan ibadah yang penting dan wajib dilakukan di samping membentuk peribadi manusia kerana ianya mampu menghalang seorang Muslim daripada melakukan perkara mungkar, iaitu perkara salah dan terlarang
Bukan itu sahaja, solat juga dapat memberi ketenangan jiwa, tidak kira sama ada ketika seseorang itu dalam kesusahan atau dalam kegembiraan.
Solat dari sudut bahasa beerti doa atau memohon kebajikan dan pujian manakala dari sudut syarak pula, solat diertikan “beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir disudahi dengan salam, dilakukan dengan keadaan beribadah kepada Allah S.W.T dengan menurut segala syarat yang telah ditentukan."
Solat diwajibkan kepada seluruh umat islam yang telah baligh, berakal, dan suci daripada hadas kecil dan besar.
Namun begitu, ramai di kalangan kita yang pernah tertinggal solat fardhu sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja bahkan ada yang tidak menunaikan solat fardhu sehingga bertahun lamanya
Boleh jadi seseorang itu tertinggal solat atau tidak menunaikan solat fardhu kerana masih jahil agama, lagha, leka dengan dunia, kesibukkan bekerja, malas dan sebagainya tetapi walau apa pun alasan hutang solat fardhu wajib diganti kerana hukum meninggalkan solat fardhu adalah berdosa besar.
Ayat ini menunjukkan bahawa solat fardhu menjadi kewajipan orang Islam dan mempunyai waktunya yang telah ditetapkan.
Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Orang yang meninggalkan kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.
Dalam naskhah tersebut ada menyatakan sesiapa yang meninggalkan solat fardhu secara sengaja wajib bertaubat dan sekiranya dia mengingkari, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak boleh dimandikan, dikafankan, disembahyangkan serta dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka.
Sementara itu, sekiranya dia telah berubah ke arah yang lebih baik dan ingin kembali ke pangkal jalan, dia wajib mengqadha semula kesemua solat fardhu yang telah ditinggalkannya sejak akil baligh.
Cara qadha solat fardhu yang sudah lama ditinggalkan
Bagi mereka yang ingin ganti atau qadha solat fardhu yang sudah bertahun lamanya ditinggalkan boleh melakukannya dengan menunaikan qadha solat fardhu bermula dari sekarang semampu yang mungkin walaupun secara beransur-ansur sehingga selesai di samping perlu bertaubat kepada Allah SWT.
Mereka hendaklah menghitung solat yang ditinggalkan dengan ghalib zan atau yakin supaya dapat diqadhakan semua solat yang pernah ditinggalkan.
Tapi bagaimana ingin mengetahui selama mana perlu diganti solat fardhu? Menurut Ustaz Azhar Idrus andai kita telah qadha solat fardhu melebihi solat fardhu yang pernah ditinggalkan, kita akan merasa satu perasaan di dalam hati yang meyakinkan kita bahawa solat qada kita telah cukup. InsyaAllah.
Penerangan adalah seperti video di bawah.
Untuk memudahkan qadha solat fardhu, seseorang itu boleh melakukan solat qadha selepas solat fardhu misalnya selepas melakukan solat fardhu zohor disambung terus dengan solat qadha zohor dan begitulah untuk waktu-waktu solat fardhu yang lain.
Solat qadha juga boleh dilakukan 5 waktu solat qadha sekali gus sebelum tidur atau ketika tengah malam semampu yang mungkin.
Sebagai infomasi, solat qadha fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali ulama' kata haram untuk qadha solat fardhu semasa khatib sedang naik di atas mimbar untuk membaca khutbah. Wallahualam.
Informasi dipetik daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.