Pasangan Mampu Beli Rumah Berjumlah Hampir RM700K Hasil Duit Menabung Bersama
Mereka menabung bersama sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pendapatan mereka.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Siapa sangka hasil tabungan telah membantu anda dan pasangan untuk mendapatkan rumah impian
Begitulah perkongsian daripada pasangan suami isteri yang kini memiliki kediaman idaman jenis teres dua tingkat yang terletak di Mambau, Negeri Sembilan.
Mereka mampu membelinya selepas menyimpan 20 peratus daripada hasil pendapatan setiap bulan. Mohd Sollehi Arshad, 31, dan isterinya, Munirah Mahmud, 30, yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga membeli kediaman itu pada harga hampir RM700,000.
Beli selepas tertarik dengan kawasan rumah
Bercerita kisah mereka kepada Harian Metro, ketika itu dia dan isteri membeli-belah barangan keperluan rumah dan melihat pameran jualan rumah.
"Apabila melihat kepada lokasi dan ciri kediaman itu, kami merasakan ia sesuai untuk dimiliki.
"Saya dan isteri memang merancang membeli rumah sendiri kerana sebelum ini kami tinggal di rumah yang diberikan keluarga. Namun, tidaklah begitu serius dengan membuat tinjauan dan sebagainya.
"Namun, apabila mengunjungi pameran jualan itu dan penerangan 'jurujual', kami tertarik dengan konsep kediaman, lokasi dan paling penting ia berada berdekatan dengan rumah ibu bapa kami," katanya.
Menurutnya, proses membeli kediaman pertama mereka itu juga berjalan lancar dan mengambil masa yang agak singkat kerana segala urusan pembelian diuruskan jurujual.
"Pada saya, perkara paling penting untuk membeli rumah ini adalah dengan adanya simpanan yang baik dan ia membolehkan pihak bank yang ingin memberikan pembiayaan yakin dengan kemampuan kita.
"Setiap bulan saya dan isteri memang membuat tabungan bersama sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pendapatan kami dikhaskan untuk tabungan dan digunakan untuk membeli perkara yang penting antaranya persediaan untuk membeli rumah," katanya.
Selain daripada mempunyai tabungan di dalam simpanan yang baik. Dia dan isteri juga amat mementingkan kewangan selepas membeli kediaman itu kerana ia turut memerlukan perbelanjaan.
"Apabila kita sudah membeli rumah, bakal terdapat kos tambahan dari segi untuk pengubahsuaian dan juga hiasan dalaman supaya saya dan isteri dapat tinggal dengan selesa di dalam kediaman ini.
"Jadi, kami juga mempunyai simpanan supaya perbelanjaan selepas mendapat kunci kediaman dapat dilakukan dengan baik. Namun, ia harus dilakukan dengan mengikut kemampuan peribadi," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!