seismik

Pelajar Malaysia 21 Tahun Dari Kedah Mati Lemas Di New Zealand

Mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat hari ini setelah hilang sejak semalam.

Cover image via SAYS via Stuff

[TERKINI] "Dia berkelakuan aneh sebelum pulang, malah dia tak peluk cium kami macam biasa"

Image via BERNAMA

Bapa kepada Abdul Amzar Azim yang ditemui lemas di Tasik Karapiro, New Zealand Ahad lalu berkata anaknya menunjukkan perubahan yang sangat ketara, beberapa hari sebelum berangkat balik ke negara itu.

Menurutnya seperti yang dilapor oleh BERNAMA, anaknya yang baru kembali ke New Zealand setelah bercuti tiga bulan sejak November, menunjukkan perangai pelik seperti memasuk dan mengeluarkan semula pakaiannnya ke dalam bagasi berulang kali, seminggu sebelum berangkat.

“Bilik dia macam tongkang pecah, dia seolah-olah terlalu berat hati untuk kembali ke New Zealand. Pada hari dia nak bertolak balik pula, dia tak bercakap sepatah pun dengan kami dan tidak memeluk dan mencium kami seperti biasa,” kata Azmi Abd Seman, 49.

Walaupun sedih dengan berita kematian ini, Azmi bersyukur kerana anaknya ditemui dalam keadaan wajah yang berseri-seri

Azmi berkata anaknya sebelum ini kerap ke tasik tersebut bersama rakan-rakannya yang lain untuk beriadah, namun hanya pada hari kejadian, Allahyarham memutuskan untuk mandi di situ.

“Selalunya dia tidak akan mandi tetapi pada hari itu dia kata mahu mandi namun rakannya yang lain tidak ikut sama. Hanya dia seorang. Rakannya di sana memaklumkan mayat anak saya ditemui di dasar tasik. Walaupun sedih, saya gembira kerana mereka beritahu wajahnya sangat berseri-seri ketika ditemui,” kata Azmi lagi.

Ahad, 26 Februari 2017: Satu ketika, dia sedang bergambar di Tasik Karapiro. Kemudian, dia terus hilang dan tidak dapat dikesan.

Pencarian seorang lelaki berusia 21 tahun yang hilang pada Ahad, 26 Februari 2017 telah dibatalkan apabila cuaca mula gelap pada sebelah petang. Namun, penyelam polis menemui mayat pada tengah hari keesokan harinya (hari ini).

Rakan serumah, Amar Rafaee berkata mangsa, Abdul Azim Amzar (atau Am) meninggalkan Flat Hamilton East bersama 4 rakan lain untuk berbasikal di sepanjang Hamilton River Trail sebelum beliau lemas

Dipercayai, pelajar kejuruteraan mekanikal dari Malaysia itu meminta salah seorang rakannya untuk mengambil gambar beliau sedang terapung di atas permukaan tasik.

Menurut Amar, sejurus selepas rakannya mengambil gambar, tiba-tiba mangsa menjerit dan terkapai-kapai meminta pertolongan. Katanya lagi, beberapa orang yang berada berdekatan kawasan itu cuba untuk menyelamatkan mangsa.

Beberapa orang rakan mangsa berada di tempat kejadian.

Image via Mark Taylor/Fairfax NZ

Difahamkan, Tasik Karapiro merupakan sebuah lokasi yang popular dan selamat untuk berenang

Tasik Karapiro.

Image via Accommodation Cambridge

Ahli Majlis Daerah Waipa, Liz Stolwyk berkata sebahagian kawasan tasik adalah zon berenang yang selamat untuk keluarga.

"Daripada apa yang saya faham, mangsa dikatakan berenang di bahagian selatan, tetapi ditemui di bahagian lain. Bermakna, ada kemungkinan mangsa terkeluar daripada zon selamat yang menyebabkan beliau lemas," kata Liz.

Liz juga berkata tasik ini selalunya tenang dengan kedalaman yang agak cetek dan tidak merbahaya.

"Pada masa ini paras air sangat rendah iaitu pada pada paras lutut. Ramai anak kecil berenang di kawasan ini kerana ia cetek," katanya lagi.

Dalam pada itu, Amar Rafaee memberitahu bahawa sudah menjadi kebiasaan bagi rakannya itu untuk pergi berbasikal ke Tasik Karapiro

"Saya tidak tahu jika dia adalah perenang yang baik, tetapi dia memang boleh berenang.

"Terdapat sekumpulan penduduk Malaysia yang agak besar di sini kira-kira 70 orang. Kami kenal setiap seorang daripada mereka. Jadi, sudah menjadi rutin yang normal bagi rakan-rakan saya untuk berbasikal ke Tasik Karapiro," ujar Amar.

Mangsa merupakan pelajar di Universiti Waikato sejak setahun yang lalu.

Universiti Waikato, New Zealand.

Image via Waikato Institute of Education

Ibu bapa mangsa telah sedia maklum terhadap kejadian malang yang menimpa ke atas anak mereka

Namun, mereka sekeluarga memutuskan untuk tidak ke New Zealand memandangkan pihak bertanggungjawab memaklumkan akan menguruskan jenazah anak mereka sehingga tiba di Kedah, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hutan Kampung.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Abdul Azim Amzar. Semoga ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Amin.

LIKE Facebook dan Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baru-baru ini juga terdapat seorang rakyat Malaysia terkandas hampir dua bulan di Ecuador. BACA SINI:

You may be interested in: