Pelajar Tahfiz Di Sarawak Menang Pingat Emas Pertandingan Genius Matematik Dunia
Tahniah buat anda berdua!
Jika sebelum ini kita digemparkan dengan berita kontroversi yang melanda pelajar tahfiz, namun baru-baru ini, dua orang pelajar tahfiz dari Sarawak berjaya meraih pingat emas dalam Pertandingan Matematik Dunia ke-14 2017 (WMC 2017)
Pertandingan yang menghimpunkan ramai pelajar dari seluruh dunia tersebut berlangsung di Manila, Filipina pada 22 dan 23 April lalu
Memetik laporan Utusan Borneo Online, Jad Haris Sabaruddin, 12, dari Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub (MATTARY) dan Najmi Asyraaf Abdul Halim, 10, dari Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hasan yang mewakili pasukan Sarawak menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi pingat emas di kejohanan itu.
Seramai 24 murid sekolah rendah dari Sarawak dipilih mewakili negara dan kebanyakan mereka memperoleh pingat perak dan gangsa
Jad berkata kemenangan itu adalah hasil daripada pengorbanan dan usaha yang berterusan.
“Latihan berterusan, sokongan daripada kedua-dua ibu bapa saya selain semangat untuk terus bersaing tanpa mengenal kalah, itulah rahsia kejayaan saya,” katanya.
Kaedah Matematik Sakamoto ini melibatkan ilmu menganalisis masalah, menentukan fakta daripada persoalan dan memegang hubungan data antara satu sama lain
Murid yang mengambil bahagian perlu menyusun dan mengaitkan maklumat secara sistematik dalam bentuk jadual dan menterjemah maklumat itu dalam gambar rajah linear.
Gambar rajah linear itu akan digunakan untuk memahami logik pengiraan untuk langkah seterusnya dan persamaan dijana dengan pengiraan akhir.
Dalam pada itu, dalam satu laporan MalayMail, bapa kepada Najmi Asyraaf tidak dapat menyeka air mata kegembiraan apabila anaknya diumum pemenang pingat emas pertandingan itu.
Abdul Halim Idris tidak menduga Najmi Asyraaf Halim mampu menggondol kejayaan itu walau hatinya berdoa agar mendapat sekurang-kurangnya gangsa.
“Apabila mereka mengumumkan namanya untuk hadiah utama, saat itulah saya menangis,” katanya seperti dilaporkan New Straits Time.