seismik

[PENDAPAT] Kenapa Perlu Kaitkan Status Bea Meow Ini Dengan Agama Islam?

Status Bea Meow yang menjadi viral tempoh hari telah disalah erti. Lain yang ingin disampaikan, lain pula yang diterjemahkan. Bagaimana perkara sebegini boleh terjadi? Farouq Johari dari SAYS SEISMIK memberi hujah serta pendapat mengenainya.

Cover image via SAYS.com

Pada 11 Mei lalu, seorang pengguna Facebook, Bea Meow berkongsi satu pengalaman sedih melalui satu status tentang bagaimana dia melihat seorang lelaki memukul pasangannya sebelum menaiki pesawat tetapi langsung tidak diendahkan orang ramai

Gambar yang dimuat naik Bea Meow menunjukkan seorang lelaki berbaju merah yang dikatakan memukul pasangannya di hadapan orang ramai semasa hendak menaiki pesawat Malindo Air dari Sabah ke Kuala Lumpur.

Image via Facebook Bea Meow

Baca status penuh Bea Meow di bawah:

Saya yakin, audiens yang membaca artikel ini boleh memahami Bahasa Inggeris dengan baik. Oleh itu, saya rasa tidak perlulah untuk saya terjemahkan status di atas kepada Bahasa Melayu.

Jadi, apakah isu yang cuba disampaikan oleh Bea Meow melalui status tersebut?

Pertama: Mentaliti orang Asia yang kadang-kadang tampak seperti tiada harapan.

Kedua: Sikap "jangan jaga tepi kain orang" dalam masyarakat kita yang semakin lama semakin membimbangkan.

Ketiga: Kelakuan tidak sopan di tempat awam yang semakin berleluasa.

Keempat: Keganasan terhadap wanita mahupun lelaki yang tidak sepatutnya dibiarkan.

Status ini berjaya mencuri perhatian ramai dan terus menjadi viral dalam sekelip mata. Menerusi ruangan komen, orang ramai menyokong tindakan Bea Meow yang lantang bersuara dan mengutuk perbuatan mereka yang hanya mendiamkan diri.

Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang sangat membingungkan saya, yang mungkin anda juga turut sependapat

Perkara ini bukan berkenaan status tersebut, tetapi tentang bagaimana sesetengah pihak memberi respon yang langsung tidak ada kena mengena dengan isu yang sedang dibincangkan, terutamanya golongan Islam yang ekstremis.

Bea Meow mendakwa terdapat beberapa orang Islam menghantar mesej secara peribadi di Facebook untuk membela lelaki tersebut dan menyuruhnya untuk mendalami ajaran Al-Quran

Bea Meow tidak sangka statusnya itu akan dikritik.

Image via Facebook Bea Meow

Bea Meow berkata dia tidak pernah bermaksud untuk menganak-tirikan Islam, sebaliknya dia hanya marah kerana tiada sesiapa yang bertindak untuk bersuara dan berkata apa-apa ketika serangan itu berlaku di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

"Tiba-tiba saya menerima banyak mesej inbox di Facebook mengatakan kepada saya supaya 'Jangan jaga tepi kain orang', dan saya tidak memahami al-Quran."

"Ramai daripada mereka memberitahu saya bahawa dalam al-Quran, terdapat satu usul dimana suami boleh mendisiplinkan isteri. Pertama, dia boleh memberi nasihat kepadanya, kemudian tidak berkongsi katil semasa tidur."

"Dan jika kedua-dua perkara itu masih tidak berjaya, si suami mempunyai hak untuk memukul isterinya secara ringan, bukan sehingga cedera, demi mendisiplinkannya," kata Bea Meow.

Dan disebabkan itu, Bea Meow berhasrat untuk memadam status tersebut kerana telah menyinggung perasaan sesetengah umat Islam di negara.

Saya sebagai seorang yang beragama Islam sangat faham tentang isu suami mendisiplinkan isteri itu. Tetapi persoalannya di sini, adakah Islam membenarkan keganasan terhadap wanita, tidak kiralah di tempat awam atau secara tersembunyi?

Tidak sama sekali.

Adakah hanya kerana mereka suami isteri, mereka boleh buat apa saja sesuka hati mereka di tempat awam? Tidak juga sama sekali.

Dan lebih menghairankan, adakah Bea Meow menyebut perkataan "Melayu" atau "Islam" atau "Agama" dalam status berkenaan? LANGSUNG TIADA!

Jadi bagaimana isu Islam, al-Quran, dan isu suami isteri ini boleh timbul??

Satu perkara yang Bea Meow tulis hanyalah "tudung". Ini disebabkan wanita yang ditampar itu memang tidak dinafikan memakai tudung. Adakah hanya kerana perkataan "tudung" itu diguna pakai, ramai umat Islam tersinggung?

Tak percaya? Cuba anda baca semula status Bea Meow. Saya berani jamin beliau langsung tidak ada menyebut tiga perkataan sensitif di atas.

Saya lihat, masih ada golongan Islam di Malaysia yang seperti tidak faham dengan fokus utama status tersebut. Walaupun ia langsung tidak ada kaitan dengan soal agama, golongan ini tetap ingin mengaitkannya dengan agama Islam.

Seperti yang telah saya senaraikan tadi, ada 4 perkara yang cuba disampaikan dalam status tersebut, dan soal agama, Islam, Melayu, dan perkauman langsung tidak ada dalam senarai

Kenapa perlu lari daripada fokus utama?

Kenapa perlu kaitkan Islam, agama dan perkauman dalam perkara yang langsung tiada kaitan?

Adakah terlalu sukar untuk orang ramai melihat kepada mesej utama yang cuba disampaikan melalui status tersebut?

Apa yang orang kita nak sebenarnya?

Soalan-soalan ini anda perlu tanya, bincang dan jawab sendiri.

Dalam pada itu, ramai yang memberi semangat kepada Bea Meow untuk tidak memadam status tersebut kerana ia langsung tiada kaitan dengan isu agama mahupun kaum. Fokus utama adalah tentang keganasan di tempat awam.

Kes ini juga lebih kurang sama seperti yang dialami kakak kepada Leroux Yap pada April, apabila tiada seorang pun yang berani bersuara ketika dia diherdik dengan kasar oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Yang menjadi tanda tanya ialah, setiap hari, sering kali saya lihat rakyat Malaysia berbilang bangsa dan berlainan agama makan bersama di satu meja, dan semua orang tampak sangat mesra antara satu sama lain. Jadi kenapa isu sebegini masih timbul?

Ini adalah salah satu perkara yang selalu saya persoalkan dalam minda saya. Berdasarkan pemerhatian dari lensa mata saya sendiri, saya lihat rakyat Malaysia tidak ada masalah untuk hidup dalam keadaan majmuk.

Kita tidak ada masalah untuk hidup berjiran, kunjung-mengunjung ke rumah, bertegur sapa, menjadi kawan baik, makan satu meja, bekerja dalam satu pejabat dan macam-macam lagi. Masing-masing boleh menghormati adat, budaya, dan kepercayaan kaum dan agama yang berlainan.

Tetapi, realiti kehidupan sebenar ini sangat jauh berbeza di alam maya.

Saya lihat, kita semua lebih cenderung dengan pemikiran "agama siapa atau kaum mana paling hebat" dan masing-masing tidak melepaskan peluang menjadi hero, jaguh dan wira dalam peperangan papan kunci.

Kita seperti tidak serik ingin mencetuskan perbalahan antara perkauman dan agama dalam apa-apa topik perbincangan, walaupun sesuatu perkara itu langsung tiada kaitan.

Apa yang saya lihat sekarang, mentaliti masyarakat Malaysia kini semakin tenat

Walaupun dihidang dengan pelbagai berita dari pelbagai sudut pandangan di era teknologi ini, pemikiran rakyat kita masih sempit. Satu peribahasa yang paling tepat dalam menggambarkan situasi ini ialah "bagai katak bawah tempurung." Tetapi bukan semuanya begitu.

Mentaliti rakyat Malaysia masih lagi di "kelas ketiga". Dan walaupun kita bakal mencapai status negara maju menjelang 2020, saya tidak nampak mentaliti kita akan melonjak ke "kelas pertama" dalam masa 5 tahun ini.

Sekiranya sengketa agama dan perkauman ini masih tidak selesai (yang mana saya lihat tak akan selesai dalam masa terdekat), selagi itulah negara Malaysia tidak boleh maju kehadapan.

Walaupun dipenuhi hutan konkrit beserta projek mega bertaraf dunia kelas pertama yang menelan belanja berbilion Ringgit, tidak ada apa yang boleh kita lakukan untuk menambah baik sistem pemikiran dalam minda rakyat Malaysia.

Kita sendiri yang perlu berubah mulai sekarang. Jangan hanya mahu mengubah kerajaan, mentaliti itu yang lebih penting. Ayuh bangun dan UBAH!

Leroux Yap telah berkongsi kisah kakaknya dicaci melalui Facebook pada 17 April lalu dan kini mendapat hampir 6,500 shares. CERITA PENUH:

You may be interested in: